kawan

Saturday 7 May 2011

dengki dalam panji semirang


Pengertian Panji
Apabila meneliti cerita-cerita panji gelaran “Panji atau Apanji” hanya muncul sewaktu tokoh Inu dan Galoh Chendera Kirana dalam penyamaran dan pengembaraan. Dalam cerita ini, gelaran Raden Panji digunakan walaupun tokoh tidak dalam pengembaraan.
Menurut S. Prowiroatmodjo, Panji ialah gelaran langsung bangsawan, pangkat dalam ketenteraan atau yang setaraf dengan pangkat Wedana. Pandangan ini ada kebenaran kerana gelaran ini hanya digunakan oleh tokoh protagonis dan tidak antagonis. Tokoh protagonis (wira) berketurunan bangsawan seperti Raden Inu, putera kepada Raja Kuripan dan tidak daripada orang kebanyakan seperti yang diberikan oleh Pigeaud:
Panji or Apanji is an old title. As usual its value fluctuated through the
times. In the fourteenth and fifteenth centuries in the Majapahit Kingdom it was a
title of prince s of the blood. So the hero who appeared romantic tales written in
this period or shortly afterwards was given the title panji, prince which soon was used a name
                                                                                                                         (Pigeaud,1967:206)
Pandangan Pigeaud ini telah diberikan terlebih dahulu oleh Poerbatjaraka dan beliau telah menegaskan bahawa nama Panji ini telah digunakan dalam susur galur keturunan raja-raja Jawa sebagaimana yang terdapat dalam kitab Babad Tanah Jawa dan gelaran panji digunakan oleh anak panji (Panji) Amiluhur yang menjadi raja di Jenggala (M. Ramlan, 1975:5 dan Abd. Rahman Kaeh, 1989:18)
Dengan demikian, Panji diberikan berbagai-bagai pengertian sehinggalah Juynboll menterjemahkannya sebagai “bijnaam” (nama keluarga) dan “bijgenaamd vekzeeg eentitel” (Abd. Rahman Kaeh, 1989:18)
Berhubung dengan pandangan Juynboll menganggapnya sebagai nama keluarga, kemungkinan beliau mengaitkan nama keluarga yang lumrah ada pada masyarakat barat. Beliau mungkin tidak menyedari bahawa orang Timur, lebih-lebih lagi orang Jawa sama sekali tidak menggunakan nama keluarga. Pastinya kata “panji” mempunyai konotasi yang tepat untuk dianalisis.
Dalam memberikan pengertian panji, Robson berpendapat: Panji is a derivation from panji, a flag or banner, meaning having (as) a flag,’’ that is,
a kind of title, the one who has such –and such on his flag. The title Panji found, for
instance, in the Majapahit period, and especially in the inscriptions of the Kediri period.
Pendapat Robson telah dikupas secara panjang lebar oleh Abd. Rahman Kaeh yang mempersoalankan landasan yang menjadi dasar antara tokoh dengan Panji, seperti kupasan di bawah ini: “Robson tidak menjelaskan hal di atas secara terperinci, kecuali ia mengatakan bahawa terdapat hubungan antara nama tersebut dengan zaman Majapahit dan Kediri.” (Abd. Rahman Kaeh)
Bagi menjelaskan hujahan, Abd. Rahamn Kaeh telah mengaitkannya dengan tokoh Jayalengkara yang menurunkan “tunggul wulung” di Majapahit sebelum meninggal dan naik ke langit. Ketancapan tunggul ini telah membawa panyakit di Majapahit dan wabak ini terhindar setelah Jayengrana (ayah Cekel Waneng Pati) mencabutnya. Menurut Abd. Rahman Kaeh lagi mungkin adanya kesamaan fungsi antara tunggul atau panji sakti yang sering membawa tuah kepada tokoh yang menggunakannya. Pandangan beliau memang ada kebenarannya kerana Raden Inu dan Galoh endera Kirana sewaktu menggunakan gelaran Panji dalam pengembaraan, sering berjaya dalam sebarang peperangan, atau kadangkala tokoh wira atau wirawati ini sering dapat mengatasi sebarang kesukaran sehingga seolah-olah gelaran Panji ini mempunyai satu kesaktian yang paling ampuh.
Sebagai rumusan, dapat dibuat kesimpulan bahawa gelaran Panji hanya diperuntukkan kepada anak raja (khususnya wira dan wirawati) swaktu mereka berkelana, mengembara mencari kekasihnya. Gelaran Panji digunakan sebagi satu perisai yang membentingi diri tokoh agar tidak dikenali orang-orang yang ditemuinya. Gelaran Panji juga terpaksa digunakan sebagai azimat kekuatan kerana ketika pengembaraan dan penyamaran inilah tokoh terpaksa unggul melawan segala gejala yang mendatang.

Sinopsis Hikayat Panji Semirang
Pengenalan
Berdasarkan teks Hikayat Panji Semirang, ceritanya bermula dengan pengenalan keempat-empat ratu yang bersaudara di antara satu sama lain, iaitu Ratu Kuripan, Daha, Gegelang dan Biku Gandasari. Mereka ini ialah jelmaan para dewa kayangan. Ratu Kuripan adalah saudara yang tertua dan dia menjadi raja di negeri Kuripan. Baginda mempunyai seorang isteri serta anak yang bernama Raden Inu Kertapati. Sementara Ratu Daha saudara kedua kepada Ratu Kuripan. Baginda mempunyai tiga orang isteri iaitu Permaisuri, Mahadewi dan Paduka Liku. Dikatakan Ratu Daha adalah seorang yang terlalu mengasihi perempuan dan terlalu mengikut kata-kata perempuan.
Dalam bahagian ini juga diceritakan tentang Ratu Gegelang. Baginda mempunyai seorang anak lelaki bernama Raden Singa Menteri. Manakala saudara keempat para ratu di Jawa iaitu Biku Gandasari. Baginda dikatakan bertapa di gunung Wills dan tidak berkahwin. Baginda berupaya mengetahui perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada jauh ataupun dekat. Dalam bahagian pengenalan ni diceritakan yang Galoh Chendera Kirana dan Raden Inu Kertapati telah ditunangkan. Bagaimanapun terjadi perpisahan di antara mereka berdua setelah Permaisuri Daha diracuni oleh Paduka Liku.

Peristiwa Semasa Pengembaraan
Pada bahagian ni watak-watak akan keluar mengembara. Dalam masa pengembaraan ini banyak peristiwa terjadi. Misalnya penyamaran, pertukaran nama, peperangan, permainan wayang dan sebagainya. Babak paling menarik dalam cerita panji adalah babak-babak penyamaran. Penyamaran dalam cerita-cerita panji bertujuan untuk: menyembunyikan identiti sebenar supaya jalan cerita menjadi bertambah panjang dan menarik.
Raden Galoh Chendera Kirana bertindak melarikan diri dari istana dan membina sebuah negeri yang lain. Ketika itu dia telah mengarahkan kedua-dua pengiringnya (yang telah menyamar menjadi pahlawan) bertindak merampas harta benda orang yang lalu lalang berhampiran dengan negeri mereka. Raden Galoh Chendera Kirana pula bertindak menyamar menjadi pria dan menukar nama menjadi Panji Semirang. Antara yang dirampas ialah barang-barang hantaran pihak Raden Inu kepada Galoh Chendera Kirana yang disangkakan oleh mereka masih berada di istana Ratu Daha. Rampasan itu membuatkan Raden Inu sendiri yang kemudiannya pergi ke negeri Panji Semirang. Penyelesaian dapat dilakukan bagaimanapun Inu tidak tahu raja yang sedang berhadapannya adalah Galoh Chendera Kirana. Raden Inu kemudiannya ke istana Daha dan diberitahu bahawa Raden Galoh Chendera Kirana telah hilang dari istana. Sebagai ganti, Inu dikahwinkan dengan Galoh Ajeng. Inu pula sentiasa teringat-ingat Panji Semirang (Galoh Chendera Kirana) yang ditemuinya semasa dalam perjalanan ke istana Daha. Tambahan pula dia merasa benci dengan sikap Galoh Ajeng yang terlalu mengada- ngada.
Akibatnya Inu lari meninggalkan isterinya itu lalu keluar mengembara mencari Panji Semirang yang dirasakan olehnya mempunyai daya tarikan yang istimewa dan “unik.

Peleraian Cerita
Peleraian cerita berlaku apabila watak Raden Inu telah bertemu dan mengenali pemain gambuh yang diminatinya itu adalah Raden Galoh Chendera Kirana ketika menyamar di sini berlaku penyamaran nama. Yang aneh dalam setiap cerita panji, watak Galoh pasti akan mengenali watak Inu yang sedang menyamar. Bagaimanapun Inu sukar sekali untuk mengenali Galoh Chendera Kirana yang sedang dalam penyamaran. Cuma dikatakan Inu amat tertarik dengan orang yang sedang berhadapan dengannya dan cara layanan Inu terhadap “lelaki” yang bersama- samanya agak aneh. Layanannya seolah-olah lelaki itu perempuan terutama terhadap Panji Semirang.
Identiti Galoh Chendera Kirana diketahui oleh Raden Inu apabila dia ternampak Raden Galoh Chendera Kirana sedang bermain-main dengan anak-anakkan emas pemberiannya. Selepas pertemuan itu kedua-dua mereka pulang ke istana Ratu Kuripan dan dikahwinkan.
Petikan :Hikayat Panji Semirang
Muka surat:24-25
Terbitan:Pustaka Antara
Paduka Liku melihat hal anak-nya, Galoh Ajeng itu mata-nya balut bekas menangis, sakit-lah hati-nya teramat sangat, lalu mengadap ke-bawah duli Sang Nata. Paduka Liku itu lalu duduk berderet dengan Mahadewi di-hadapan Sang Nata itu. Pada masa itu Galoh Chendera Kirana dudok jauh tanda menghormati pada ibu-nya. Baginda Sang Ratu melihat tingkah laku paduka anakanda sangat hormat dan ta’adzim itu, bertambah- tambah-lah belas kasehan hati-nya, sebab di-lihat-nya, bahawa puteri-nya itu mengetahui akan darjat diri-nya dan lemah lembut segala barang laku-nya. Baginda Sang Ratu memanggil Chendera Kirana, di-ajak-nya santap. Ia pun datang-lah dengan ta’adzim serta menyenbah, lalu santap bersama-sama dengan Sang Nata dan Mahadewi itu. Pada masa itu Paduka Liku dan Galoh Ajeng itu sakit hati teramat sangat dan timbul-lah kedengkian di-dalam hati-nya, kerana melihat Chendera Kirana santap. Sunggoh masing- masing santap, tetapi hati Paduka Liku dan Galoh Ajeng tiada terlepas daripada kedengkian itu. Sa-telah sudah santap lalu kembali-lah dan masing-masing di-iringikan oleh dayang-dayangnya. Sa-telah masing-masing sudah tiba ka-dalam istana-nya, Paduka Liku tiada juga hilang sakit hati-nya dan tiada mengetahui apa yang akan di-buat- nya. Pada ketika itu lalu ia membuat tapai dan di-buboh-nya rachun, lalu di-taroh-nya di- dalam bokor emas. Sa-telah sudah lalu di-suroh persembahkan oleh dayang-dayang-nya pada permaisuri, dayng-dayang itu pergi-lah membawa persembahkan yang di-taroh di- dalam bokor yang amat majlis dan permai itu sa-hingga tiada tersangka, bahawa telah berchampor dengan rachun.
Dayang-dayang itu pun berjalan menuju ka-istana permaisuri. Sa-telah sampai lalu di-persembahkan-nya persembahan itu dengan manis muka-nya seraya berdatang sembah, katanya:
“Ini-lah persembahan Paduka Liku yang tiada dengan seperti-nya, yang di-iringi dengan
sujud, di-suroh Paduka Liku persembahkan ka-bawah duli tuan-ku”
Permaisuri lalu menyambut bokor itu sambil memandang muka dayang-dayang yang amat manis itu, serta di-suroh-nya dayang-dayang-nya menyalin bokor itu, lalu di-salin dayang-dayang-lah bokor itu. Sa-telah itu lalu kembali-lah dayang-dayang itu dan di- persembahkan-nya apa-apa yang telah di-perbuat-nya itu. Paduka Liku bersuka hati teramat sangat dan berfikir di-dalam hati-nya:
“Pada hari ini-lah permaisuri itu akan mati dan aku-lah yang akan menggantikan-nya menjadi permaisuri, jikalau Chendera Kirana yang memakan itu, neschaya ia pun akan mati juga dan anak-ku Galoh Ajeng akan aku jadikan tunangan Raden Inu Kertapati, supaya kerajaan negeri Daha dan Kuripan di-dudokki-nya semua, kerana patut-lah ia menggantikan”
Sa-telah sudah ia berfikir yang demikian, lalu di-suroh-nya dayang-dayang-nya menutup pintu. Dayang-dayang itu lari menyembunyikan diri-nya, hanya tinggal Galoh Ajeng dan Paduka Liku sahaja di-dalam puri itu dan rupa-nya tiada lain yang di-fikirkan-nya hanya: “Jikalau permaisuri memakai tapai itu, ia ta’dapat tiada, pada hari itu akan mati”

Falsafah Dalam Petikan
Berdasarkan petikan falsafah yang terdapat di dalamnya ialah mengenai perasaan hasad dengki. Akibat dari perasaan tidak puas hati maka timbullah perasaan iri hati atau dengki. Misalnya dari perasaan tidak puas hati Paduka Liku terhadap layanan yang diberikan oleh Sang Nata kepada Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana, maka timbullah perasaan iri hati atau dengki yang teramat kepada mereka. Paduka Liku telah bertindak membuat tapai yang diisinya dengan racun untuk diberikan kepada Permaisuri. Paduka Liku beranggapan bahawa jikalau Permaisuri yang memakan tapai itu dan meninggal dunia, dia akan diangkat kedudukan menjadi permaisuri. Manakala seandainya Raden Galoh Chendera Kirana yang memakan tapai dan meninggal dunia, maka dia akan menunangkan anaknya Raden Galoh Ajeng dengan Raden Inu Kertapati dan ingin menguasai kerajaan Daha dan Kuripan.
Jika kita mengkaji di sebalik petikan, perkara yang ingin diutarakan adalah berkaitan dengan perasaan iri hati atau hasad dengki. Cuba kita mengimbas sejarah silam di mana kenapa iblis tidak mahu bersujud kepada Nabi Adam a.s ? Sebab iblis sangat dengki terhadapnya. Barang sesiapa di antara kita memiliki sifat dengki atau iri hati, maka sesungguhnya kita telah memiliki salah satu sifat iblis. Rasulullah s.a.w bersabda, “melepaskan dua ekor serigala lapar di kandang kambing tidak lebih besar bahayanya jika di bandingkan dengan seorang muslim yang rakus terhadap harta dan dengki terhadap agama. Sesungguhnya dengki itu memakan habis kebaikan, seperti api membakar kayu”
(HR. At. Tirmidzi)
Seseorang pendengki hidupnya tidak akan mulia di dunia. Malaikat pun akan benci dan muak kepadanya. Jika kelak meninggal dunia, dia akan mendapat kedudukan yang teramat hina di sisi Allah s.w.t. Manakala di Yaumul Hisab timbangannya akan terbalik sehingga neraka Jahanam akan menerkamnya. Itulah nasib malang yang akan Allah timpakan kepada seorang yang bergelar “pendengki” Apa itu dengki ?
Hasad dengki ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Perkataan hasad berasal dari bahasa Arab iaitual-hasad. Seseorang yang memiliki sifat hasad ini mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada dirinya. Dalam bahasa Melayu perkataan dengki digandingkan dengan perkataan hasad bermaksud “kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang sangat. Jadi hasad dengki merupakan perasaan tidak senang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan.
Secara garis kasar sifat dengki ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama dengki yang diharamkan. Seseorang berasa tidak senang akan kenikmatan yang diperolehi orang lain dan berasa bahagia kalau orang lain mendapat musibah. Hal ini terbukti apabila Paduka Liku telah bertindak menganiayai Permaisuri dengan memberikan tapai berisikan racun. Ini telah menyebabkan Permaisuri memakannya dan mengalami sakit lalu meninggal dunia. Tindakan ini berpunca dari perasaan Paduka Liku yang dengki terhadap Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana atas layanan yang diberikan ke atas mereka. Ini dengki yang diharamkan kerana sifat seperti ini termasuk ke dalam tingkat ketiga penyakit hati.
Kedua, dengki yang dibolehkan berupa rasa iri kepada kenikmatan orang lain tetapi tidak ingin menghilangkan kenikmatan tersebut daripadanya. Melihat orang lain memiliki rumah bagus misalnya, kita merasa iri hati ingin memiliki hal yang sama da tidak dengan merampas hak orang tersebut tetapi dengan cara berusaha igin memiliki rumah seperti itu dengan usaha sendiri. Keinginan seperti ini wajar sahaja di dalam Islam. Bahkan “kebolehan” merasa dengki seperti ini insya Allah akan berpahala apabila berbuat sedemikian seperti melihat oarang berilmu dan gemar mengamalkan ilmunya, giat berdakwah dengan penuh keikhlasan dan kita pun ingin melakukakan dan melihat oarang kaya yang gemar membelanjakan hartanya ke jalan Allah, lantas kita juga ingin berbuat hal serupa.
Antara punca-punca yang nmencetuskan perasaan dengki ialah disebabkan kebencian dan permusuhan. Sifat ini muncul kerana pernah disakiti, difitnah, salah satu haknya dilanggar atau sebab-sebab lain yang merugikan dirinya. Misalnya Paduka Liku sakit hati apabila Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana mendapat layanan lebih daripada Sang Ratu dan Sang Nata. Manakala dirinya dan Raden Galoh Ajeng tidak mendapat layanan sedemikian rupa. Maka tidak hairanlah timbul rasa kebencian dalam diri Paduka Liku sehingga sanggup meracuni Permaisuri dengan memberi tapai yang racun.
Selain itu, hadirnya naluri untuk selalu lebih daripda orng lain. Naluri ini merupakan jalan menuju penyakit dengki. Paduka Liku begitu dengki apabila Permaisuri dan Raden Galoh Chendera Kirana mendapat layanan lebih daripadanya. Hal ini membuatkan Paduka Liku berhasrat untuk melenyapkan (mambunuh) salah seorang daripada mereka. Allah s.w.t berfirman dalam QS An-Nisa A:32
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepada
sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian lain. (kerana) bagi lelaki ada
bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pun ada bahagian
daripada apa yang mereka usahakan. Dan mohonlah kepada Allah sebahagian
daripada kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.
Punca yang lain membawa sifat kedengkian dalam hati ialah disebabkan mempunyai akhlak yang buruk. Orang yang buruk akhlaknya akan kikir berbuat kebaikan dan tidak suka melihat oarang lain mendapat kebaikan. Jika mereka melihat sesuatu yang tidak disukai, mereka pasti akan mengutuk dan sibuk menyalahkan. Oarang seperti ini hidupnya akan selalu sengsara dan di akhirat kelak akan mendapat pindaan pahala yang mereka miliki kepada orang yang didengkinya. Rasulullah s.a.w menyebutnya sebagai orang muflis. Ia membawa kebaikan tetapi pahala itu habis untuk mengantikan dosa yang dilakukannya kepada orang lain.
Kita hidup seharusnya seperti oarng yang memandikan mayat. Ia akan senang apabila ada yang membantu. Ketika berkiprah dalam dakwah hendaklah kita bersyukur tatkala ada saudara seiman yang memiliki misi yang sama dan ditakdirkan ilmu dan jemaahnya lebih ramai dari kita. Jika seseorang itu memiliki perasaan dengki, ini menunjukkan iman seseorang itu belum cukup sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada iblis. Sifat dengkilah maka iblis atau syaitan mengoda Adam sehingga terkeluar dari syurga dan kerana dengki juga maka terjadi pembunuhan antara Qabil dan Habil.
Secara kesimpulannya, cuba kita renungkan punjangga Arab pernah berkata “orang hasad tidak akan senang hidupnya dan orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan. Orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta”. Ibnu Sina pernah berucap “saya tidak sempat dengki di dunia ini, kenapa saya harus dengki, apatah lagi dengki kepada orang soleh ? Bukankah dunia ini tiada apa- apa jika dibandingkan dengan akhirat kelak. Apakah perlu kita dengki?












analogi cinta dalam panji semirang

“ Anak panahnya yang dipegangnya seolah-olah hendak gugur ke bumi dari sebab hatinya
amat rawan melihat Raden Inu. Lalu ia mengambil sapu tangan dan ditutupkannya pada
mukanya…”
                                                                                                                             (hal. 71)
“ Masakan, apabila kakanda bersahabat dengan laki-laki, boleh berkasih sayang demikian,
hingga ikat pinggannya kekanda rumrum. Kalau-kalau kekadang bersahabat dengan seorang
perempuan juga, maka kekanda perbuat demikian itu. Banyak juga laki-laki bersahabat
dengan laki-laki dan bersama-sama membuang budi, tetapi budi biasa di balas dengan budi,
tiada seperti yang diperbuat oleh kekanda itu.”
                                                                                                                             (hal. 120)
“ Jikalau hamba belum berjumpa dengan dia, tiadalah hendak kembali ke dalam negeri
Kuripan, …… tiadalah hamba akan berhenti daripada mencari Panji Semirang.

Cerita- cerita panji ialah cerita-cerita roman atau pengembaraan yang berasal dari Jawa. Cerita- cerita panji ialah golongan cerita Jawa-Melayu yang semuanya berpusatkan Sang Panji, Putera Kuripan Yang ada sifat sejarahnya tetapi tidak kurang sifat methologynya. Pokok utama cerita panji ialah Panji yang berkelana mencari kekasihnya, pasangannya yang seringkali bernama Cendera Kirana, Puteri Daha, tetapi hilang atau menyamar diri dan menjelma sebagai orang lain. Selama ia berkelana, Panji mengalami bermacam-macam peristiwa hingga akhirnya ia bertemu semula dengan kekasihnya.
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, penulis memilih falsafah “Kesetian Cinta” berdasarkan Hikayat Panji Semirang. Terangkum dalam pengertian cinta ialah perasaan kasih sayang, kesefahaman, kesetiaan, pengorbanan, kejujuran, hormat- menghormati, cemburu, ingin dipujuk rayu, dan kerinduan. Hikayat Panji Semirang menceritakan tentang pengembaraan Raden Inu Katarpati, Putera Ratu Kuripan mencari tunangnya Galoh Cendera Kirana yang telah lari daripada istana kerana angkara ibu tirinya, Paduka Liku. Semasa mengembara kadang-kadang dua kekasih yang saling mencari ini pernah bertemu tetapi tidak mengenali antara satu sama lain kerana masing-masing menyamar. Pelbagai peristiwa suka duka dialami oleh wira dan wirawati. Akhirnya dua kekasih itu bertemu semula dan saling mengenali. Penyamaran terbongkar, mereka berkahwin dan hidup bahagia selama-lamanya.
Dalam Hikayat Panji Semirang. Falsafah cinta lebih menonjol kepada cinta antara dua kekasih yang telah bertunang iaitu antara Galoh Cendera Kirana dengan Raden Inu Katarpati. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, kedua-duanya apabila ditunangkan oleh orang tua masing-masing merindui. Ini menunjukkan cinta murni dan ingatan dua kekasih yang sedang bercinta.
Sebagai tanda ingatan dan pengganti diri Raden Inu Katarpati mengirimkan patung kencana buatan tangannya sendiri kepada Galoh Cendera Kirana. Galoh Cendera Kirana amat gembira dan bahagia menerima Cenderamata daripada kekasihnya. Patung kencana itu menjadi pengubat rindu dan duka lara dalam kehidupannya. Hadiah itu amat berharga. Ia enggan menyerahkan atau ditukar dengan patung milik Galoh Anjeng. Galoh Cendera Kirana sanggup berkorban menghadapi halangan dan penyeksaan daripada tindakan kejam Ratu Daha demi mempertahankan haknya. Tindakan ini melambangkan kesetiaan ia mempertahankan milik cinta sucinya terhadap Raden Inu Katarpati.
Cinta yang mendalam terhadap kekasihnya membuatkan Galoh Cendera Kirana Senantiasa merindui Raden Inu pada setiap waktu dan di mana sahaja ia berada. Perasaan Ini jelas tergambar ketika Galoh Cendera Kirana berhadapan dengan kekasihnya itu. Ia tidak dapat menahan perasaannya ketika berhadapan dengan orang yang amat dicintainya. Setiap waktu Galoh Cendera Kirana akan merindui kekasihnya.
Demikianlah perasaan Galoh Cendera Kirana terhadap kekasihnya. Setiap malam apabila tiba waktu tengah malam Galoh Cendera Kirana akan bermain-main dengan anak patung kencana pemberian berharga tunangnya. Begitulah keadaan Galoh Cendera Kirana. Di mana sahaja ia berada, tiba waktu malam ia melepaskan rindunya terhadap Raden Inu Katarpati dengan bermain-main bersama anak patung tersebut.
Ketika Raden Inu Katarpati berada di kota Panji Semirang, Galoh Cendera Kirana yang menyamar sebagai Panji Semirang enggan tidur bersama-sama Raden Inu Katarpati kerana bimbang rahsianya terbuka. Ia juga tidak dapat bermain dengan patung kesanyangannya. Semasa berada di Biku Gandasari ketika menyamar sebagai pemain gambuh mengembara hingga ke Gegelang, ia tetap bermain dengan anak patungnya. Di sini jelas menunjukkan bahawa cinta suci Galoh Cendera Kirana pada kekasihnya tidak pernah luput walau di mana sahaja ia berada.
Perasaan rindu jelas dirasai oleh Raden Inu Katarpati. Setiap saat dan ketika, di mana-mana sahaja ia berada belum menemui Raden Galoh Cendera Kirana, selagi itulah rindunya tidak pernah terubat. Walaupun terpaksa melalui perjalanan yang amat sukar penuh onak dan duri, terpaksa memakan apa-apa sahaja yang ada, namum Raden Inu Katarpati tetap tabahkan hati dan semangatnya begitu kental untuk meneruskan pencarian. Hal ini kerana tujuan pengembaraannya semata-mata ingin menemui kekasihnya Galoh Cendera Kirana.
Kesetiaan Raden Inu Katarpati jelas terlihat apabila ia mengetahui bahawa Panji Semirang ialah kekasihnya, setiap malam ia akan mencium tali pinggang yang dihadiahkan kepadanya oleh Galoh Cendera Kirana. Keaadaan tersebut diragui oleh Galoh Ajeng kerana katanya ia tidak pernah melihat orang lelaki yang begitu kasih kepada kawan lelakinya seperti yang dilakukan oleh Raden Inu terhadap Panji Semirang. Namun hakikatnya, hanya Raden Inu yang mengetahui segala-galanya terhadap perlakuan yang dilakukan olehnya.
Perkahwinannya dengan Galoh Ajeng sedikit pun tidak membawa erti dalam kehidupan Raden Inu Katarpati kerana perkahwinan itu dilakukan secara paksaan. Ia tidak menyintai Galoh Ajeng, malah benci dengan sikap Galoh Ajeng. Akhirnya Raden Inu membawa diri mengembara dengan satu tujuan yang kental iaitu mencari tunangnya Galoh Cendera Kirana. Begitulah setianya Raden Inu terhadap kekasihnya. Orang yang bercinta sanggup berkorban apa-apa sahaja. Demikian juga Raden Inu Katarpati, demi cinta sucinya kepada Galoh Cendera Kirana ia sanggup mengembara menempuhi berbagai-bagai rintangan dan kesusahan kerana mencari kekasihnya itu. Raden Inu Katarpati telah bertekad bahawa selagi ia tidak berjumpa dengan Galoh Cendera KiranaIa tidak akan sekali-kali kembali ke negeri Kuripan dan ia tidak akan berhenti mencari Panji Semirang.
Dalam hikayat Panji Semirang ini jelas memperlihatkan falsafah “kesetian cinta.” kedua-dua kekasih yang saling cinta-menyintai akan berusaha menumpukan sepenuh taat setia kepada kekasihnya. Raden Inu Katarpati dipaksa berkahwin dengan Galoh Ajeng. Oleh kerana terpaksa, perkahwinan itu tidak membawa kebahagiaan kepada Raden Inu. Akhirnya Raden Inu melarikan diri daripada Daha. Galoh Cendera Kirana pula setia menunggu dan menanti saat petermuan dengan Kekasihnya Raden Inu Katarpati. Walaupun ia membawa diri, membawa hatinya yang lara kerana menyangka Raden Inu Katarpati gembira berkahwin dengan Galoh Ajeng tetapi ingatan dan perasaanya tetap setia pada kekasihnya itu. Kesetian cinta, serta ingin mempertahankan dcinta sucinya, Galoh Cendera  Kirana dalam masa penyamaran sebagai Panji Semirang cuba sedaya upaya mengelakkan diri  daripada tidur bersama-sama Raden Inu Katarpti. Ia berusaha mempertahankan kesucianmaruah dirinya yang juga bermakna mempertahankan kesucian dan kesetiaan sinta terhadap kekasihnya Raden Inu Katarpati.
Dewasa ini, semakin sukar untuk kita menemui nilai kesetiaan cinta yang sebenar seperti yang digambarkan dalam Hikayat Panji Semirang. Kebanyakkan manusia kini tidak lagi mementingkan nilai kesetiaan cinta dalam sesebuah hubungan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku, kita sepatutnya memupuk nilai-nilai positif dalam sesebuah hubungan agar hubungan yang terjalin akan kekal hingga ke alam syurga yang kekal abadi.


Ekonomi British di Tanah Melayu


Pada zaman penjajahan British telah memberi kesan yang besar ke atas ekonominya. Hal ini disebabkan oleh dasar ekonomi kapitalis yang diamalkan telah memberi suatu tekanan kepada orang Melayu. Apabila ekonomi ini diperkenalkan maka ekonomi tradisional ini terbiar kerana British lebih menfokos kepada ekonomi komesil seperti perdagangan biji timah, getah, kelapa sawit dan lain-lain tanpa mempedulikan orang Melayu. Kerana mengejar tentang inilah maka pembangunan luar Bandar dipinggirkan atas alasan tempat tersebut tidak mempunyai kepentingan untuk dimajukan menjadi bandar. Akibat penerokaan ekonomi yang berkaitan dengan biji timah dan sumber logam lain kerajaan kolonial telah mengimport tenaga kerja dari luar untuk memajukan kawasan tersebut, manakala untuk getah kerajaan kolonial telah membawa masuk tenaga buruh dari india. Disebabkan kemasukkan ini orang Melayu terus dibiarkan hidup dalam keadaan yang sama dan mewarisi pekerjaan bapa mereka.
Kesan pengamalan dasar dan pemerintah ini menyebabkan jurang kemiskinan orang Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Hal ini kerana dasar ini didapati berat sebelah dengan meletakkan kaum berdasarkan bentuk ekonomi. Pegamalan ini menyebabkan orang Melayu terus terpinggir daripada mendapatkan hak mereka di bumi sendiri. Orang Melayu dibiarkan terus menetap di luar Bandar dan tidak diberi peluang untuk turut serta dalam pembangunan moden yang dibina oleh pihak kolonel dan masih kekal dalam bidang ekonomi tradisional. Dasar kolonel  mengekalkan orang-orang Melayu atas tanah luar Bandar untuk menentukan bekalan makanan di Bandar-bandar tidak putus.
Namun demikian, sektor penting orang Melayu iaitu tanaman padi paling rendah keuntungannya. Terdapat juga orang Melayu cuba menanam getah namun begitu tanaman mereka dimusnahkan atas alasan dasar “no rubber” dalam geran yang menjadikan ekonomi untuk memajukan diri mereka diketepikan. Beberapa diskriminasi telah berlaku iaitu kerajaan kolonel memilih tanah terbaik sahaja untuk dimajukan secara besar-besaran. sektor disokong oleh sokongan institusi untuk penyelidikan saintifik dalam menambahbaik mutu pengeluaran. Di samping itu juga kerajaan British telah memberi kemudahan seperti jalan raya, landasan kereta api dan lain-lain. Selain itu kerajaan Kolonial mengamalkan dasar terbuka dengan memberi subsidi kepada kaum india.
Kesan yang berlaku akibat daripada penerokaan dan perlombongan adalah berlakunya percemaran air yang merupakan sumber ekonomi orang melayu seperti bersawah dan menangkap ikan. Kegunaan tanah Melayu juga terhad kerana telah termaktub didalam geran tentang tanaman yang hanya dibolehkan ditanam dalam tanah tersebut. Manakala untuk kerja pelambongan kerajaan Koloneal mendapatkan bekalan air dari kebun untuk disalurkan kepada kapal korek. Dengan ini secara tidak langsung bekalan air tersebut tidak mampu menampung penggunaan untuk pertanian.  Selain itu, masyarakat Melayu tidak mendapat bantuan belanjawan atau pampasan dari Koloneal untuk mengusahakan kembali hasil yang terjejas.