kawan

Monday 13 August 2012

aku suka cerita nii


Oleh : Dr (HC). Tenas Effendy
1. Pengenalan
Bagi orang Melayu, pantun sudah mendarah daging. Mereka bukan sahaja arif menyemak makna yang terkandung di dalam pantun, tetapi banyak pula yang mahir berpantun. Pada masa silam, pantun memegang peranan penting dalam menyebarluaskan nilai-nilai asas kemelayuan. Oleh sebab itu, pantun dijadikan media tunjuk ajar yang diwujudkan ke dalam beragam jenis pantun, seperti: pantun adat, pantun nasihat, pantun kelakar, pantun sindir-menyindir dan pantun berkasih sayang.
Dalam kehidupan bermasyarakat, pantun sering ditampilkan dalam berbagai-bagai kegiatan, baik dalam upacara adat dan tradisi, maupun dalam pembicaraan sehari-hari. Orang tua-tua sudah “terbiasa” menyelangi percakapannya dengan pantun. Kalau arah pembicaraan kepada nasihat, maka pantun-pantun nasihat akan meluncur dari mulut mereka. Bila percakapan bersifat kelakar dan senda gurau, pantun kelakar atau pantun sindir-menyindir akan dilantunkan. Begitulah seterusnya, sehingga pantun selalu terangkat ke permukaan dengan berbagai pesan moral yang menjadi isinya. Hal ini semakin mendorong orang Melayu untuk mampu berpantun, agar tidak “malu” dalam percakapan, atau supaya dapat menjawab pantun dengan pantun pula.
Walaupun berpantun tidak menjadi kewajipan bagi masyarakat Melayu, tetapi kerana banyak digunakan, menyebabkan orang merasa memiliki dan berupaya agar mampu berpantun dan memahami makna yang terkandung di dalamnya.
Di dalam ungkapan dikatakan:
Di mana orang berhimpun
di sana pantun dilantun
Di mana orang berbual
di sana pantun dijual
Di mana orang berhelat
di sana pantun diingat
Di mana orang berkampung
di sana pantun bersambung
Di mana orang beramai
di sana pantun dipakai
Di mana ada nikah kahwin
di sana pantun dijalin
Di mana orang berunding
di sana pantun bergandeng
Di mana orang bermufakat
di sana pantun diangkat
Di mana ada petuah
di sana pantun ke tengah
Di mana ada dakwah
di sana pantun disurah
Di mana adat dibilang
di sana pantun diulang
Di mana adat dibahas
di sana pantun dilepas
Luasnya peluang untuk berpantun menyebabkan orang mempersiapkan diri untuk dapat berpantun, baik mencipta pantun sendiri maupun menghafal pantun yang sudah ada. Semakin tua umur orang itu, semakin tinggi status sosialnya apalagi sebagai pemangku dan pemuka adat, atau orang yang dituakan oleh masyarakat, semakin banyak ia menguasai pantun. Setidak-tidaknya sebagai pemangku atau pemuka adat ia harus menguasai “pantun adat” atau sebagai orang yang dituakan, ia harus menguasai “pantun tunjuk ajar” dan seterusnya.
Demikian pula halnya dengan para remaja, mereka dituntut mampu berpantun, agar tidak menjadi bahan ejekan atau tertawaan dalam pergaulan, terutamanya dalam kesempatan untuk “berbalas pantun” di kalangan mereka sendiri. Dalam ungkapan dikatakan: kalau takut mendapat malu, pantun memantun hendaklah tahu.
Orang tua-tua menjelaskan bahawa dahulu setiap orang Melayu sejak meningkat remaja sudah dibiasakan mengikuti barbagai-bagai kegiatan pantun-memantun, baik yang dilakukan di lingkungan remajanya, maupun yang lain. Dalam setiap kesempatan, mereka mendapat peluang untuk turut “menjual” dan “membeli” pantun, sehingga kreativitinya dalam pantun memantun dapat berkembang, dan keberaniannya untuk tampil di depan umum semakin kukuh.
Sekarang apakah “pantun-memantun” masih tetap kukuh dalam kehidupan orang Melayu? Secara sekilas, tampaknya tradisi itu masih ada, walaupun tidak seperti masa silam. Dalam kegiatan upacara adat dan tradisi (misalnya upacara perkahwinan adat) serta dalam kegiatan lain, termasuk musyawarah adat, pantun masih banyak dipakai dan masih menjadi semacam kebanggaan bagi masyarakat. Berdasarkan pengamatan di lapangan, walaupun hakikatnya pantun memantun masih hidup dan digemari masyarakat, namun pewarisnya terasa amat menurun. Generasi muda Melayu nampaknya kurang berminat untuk mempelajari pantun secara penuh dan kurang berminat pula untuk mewarisnya secara utuh.
Sebahagian besar anggota masyarakat sekarang menganggap pantun hanya sebagai alat hiburan semata, tanpa menyedari dan memahami keberagaman peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu masa silam. Oleh karena adanya anggapan demikian, tentulah generasi mudanya menganggap pantun sebagai unsur kesenian hiburan, yang tidak memiliki nilai-nilai luhur yang amat mendasar, yang seharusnya mereka warisi dan kembangkan. Apabila pantun hanya dianggap sebagai alat hiburan, tentulah tidak ada kewajiban moral untuk mewarisi apalagi mengambangkannya, kerana masa kini, hiburan sudah teramat banyak, bahkan melebihi pantun berpantun.
Namun demikian, kita masih bersyukur kerana dalam kurun terakhir ini, pantun mulai mencuat ke permukaan, terutama di kalangan pejabat pemerintah dan organisasi kemasyarakatan. Pantun sudah sering diangkat dalam pidato resmi, pantun sering pula dilantunkan dalam pertandingan berbalas pantun, atau dalam upacara perkahwinan adat di kota-kota dan sebagainya. Kegiatan ini tentulah menjadi angin segar bagi kelangsungan hidup pantun. Yang perlu dibenahi lagi adalah bagaimana orang benar-benar memahami bahawa pantun mengandung makna, lambang dan nilai-nilai luhur yang amat berfaedah bagi kehidupan manusia. Dengan pemahaman ini, orang tidak sahaja akan berminat untuk berpantun sebagai hiburan atau peragaan, tetapi juga mampu menyerap dan menghayati nilai-nilai luhur yang terkandung di dalamnya. Kesedaran ini diharapkan dapat menggugah generasi Melayu khususnya dan generasi di luar puak Melayu untuk mewarisi pantun secara utuh dan benar, yang dapat menyebarluaskan pesan-pesan moral serta nilai-nilai luhur yang dikandungnya. Dengan demikian, pantun tidak lagi dipandang hanya sebagai alat hiburan saja, tetapi sebagai media yang bermanfaat dan serbaguna dalam pengembangan kebudayaan bangsa serta pembentukan kepribadian atau jati diri dalam arti luas.
2. Peranan Pantun Dalam Kehidupan Orang Melayu
Hakikatnya, peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu adalah untuk menyampaikan pesan-pesan moral yang sarat berisi nilai-nilai luhur agama, budaya dan norma-norma sosial masyarakatnya. Melalui pantun, nilai-nilai luhur itu disebarluaskan ke tengah-tengah masyarakat, diwariskan kepada anak cucunya. Selain itu, pantun berperanan pula dalam mewujudkan pergaulan yang seresam, mengekalkan tali persaudaraan, hiburan serta penyampaian “aspirasi” masyarakat.
Orang tua-tua mengatakan dengan pantun banyak yang dituntun. Di dalam ungkapan dikatakan pantun dipakai membaiki perangai atau pantun mengajar bersopan santun.
Di dalam penyebarluasan agama, pantun berperanan pula untuk menanamkan nilai-nilai keagamaan seperti tercermin dalam ungkapan melalui pantun syarak menuntun.
Untuk melihat sejauh mana peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu, dapat disimak dari untaian ungkapan berikut:
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian adat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengingat petuah amanat
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk mengangkat tuah Melayu
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian budak
Apa guna orang berpantun
Untuk mengajar hukum dan syarak
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain cindai
Apa guna orang berpantun
Untuk membaiki laku perangai
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian nikah
Apa guna orang berpantun
Untuk menyampaikan petuah amanah
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain pelekat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengkaji adat istiadat
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain selerang
Apa guna orang berpantun
Untuk mengisi mana yang kurang
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk menimba berbagai ilmu
Kalau orang melabuh pukat
Carilah pancang kayu berdaun
Kalau kurang mengetahui adat
Carilah orang tahu berpantun
Kalau kayu hendak ditarah
Keratlah cabang dengan daunnya
Kalau ilmu hendak bertambah
Dekati orang dengan pantunnya
Apalah guna daun kayu
Untuk tempat orang berteduh
Apalah guna pantun Melayu
Untuk tempat mencari suluh
Di dalam untaian syair tunjuk ajar dikatakan:
Wahai ananda dengarlah pesan
Pantun Melayu jangan tinggalkan
Pakai oleh mu untuk pedoman
Di dalamnya banyak tunjuk ajaran
Wahai ananda intan dikarang
Pantun Melayu jangan dibuang
Di dalamnya banyak amanah orang
Untuk bekalmu di masa datang
Wahai ananda kekasih ibu
Pakai oleh mu pantun Melayu
Di dalamnya banyak mengandung ilmu
Manfaatnya besar untuk diri mu
Wahai ananda permata intan
Pantun Melayu jangan abaikan
Di dalamnya banyak mengandung pesan
Pegang olehmu jadi pedoman
Wahai ananda cahaya mata
Pantun Melayu jangan dinista
Isinya indah bagai permata
Bila dipakai menjadi mahkota
Wahai ananda bijak bestari
Pantun menjadi suluh negeri
Ilmu tersirat payah dicari
Bila disemak bertuahlah diri
Wahai ananda dengarlah amanat
Pantun memantun sudah teradat
Di dalamnya banyak berisi nasihat
Bila dipakai hidup selamat
Selanjutnya dalam untaian ungkapan adat dikatakan:
Apa tanda Melayu jati
memanfaatkan pantun ia mengerti
Apa tanda Melayu jadi
dengan pantun menunjuk ajari
Apa tanda Melayu jati
dengan berpantun ilmu diberi
Apa tanda Melayu jati
dengan berpantun membaiki budi
Apa tanda Melayu jati
dengan pantun membaiki pekerti
Apa tanda Melayu bermarwah
dengan pantun menyampaikan dakwah
Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun memberi petuah
Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun memberi amanah
Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun menyampaikan sunah
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun memberi nasihat
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun meluruskan kiblat
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun membangkitkan semangat
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun membaiki umat
Apa tanda Melayu terbilang
dengan pantun mengajari orang
apa tanda Melayu terbilang
dengan pantun mencelikkan orang
Apa tanda Melayu berbudi
dengan pantun membaiki diri
Apa tanda Melayu berbudi
dengan pantun mencari kaji
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun menerangi jalan
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi amaran
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun mengenal Tuhan
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun membuka jalan
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi pedoman
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi pelajaran
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun ilmu disempurnakan
Apa tanda Melayu bersifat
dengan pantun ia berwasiat
Apa tanda Melayu bersifat
dengan pantun memberi ingat
Apa tanda Melayu pilihan
dengan pantun ilmu diturunkan
Apa tanda Melayu pilihan
dengan pantun ilmu disampaikan
Apa tanda melayu pilihan
dengan pantun ilmu dikembangkan
Ungkapan-ungkapan di atas menunjukkan betapa pentingnya peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu. Melalui pantun, tunjuk ajar disebarluaskan, diwariskan, dan dikembangkan. Melalui pantun pula nilai-nilai luhur dikekalkan dan disampaikan kepada anggota masyarakatnya.
Acuan ini menyebabkan pantun Melayu, apa juga jenisnya, tetap mengandungi nilai-nilai luhur yang patut dan layak dijadikan pegangan oleh masyarakatnya. Kerananya orang tua-tua mengatakan bahwa di dalam pantun kelakar atau pantun sindiran atau pantun remaja, tetaplah terkandung nilai-nilai luhur itu. di dalam ungkapan dikatakandi dalam kelakar terdapat tunjuk ajar; di dalam seloroh ada petaruh; di dalam menyindir, terdapat tamsil. Maksudnya, di dalam pantun kelakar, pantun yang bersifat seloroh dan sindir-menyindir ataupun pantun remaja, tetap terdapat nilai-nilai luhur yang dijunjungi masyarakat, walaupun kebanyakannya tidak sesarat yang ada di dalam pantun tunjuk ajar atau pantun adat dan sejenisnya. Sudah difahami orang Melayu, dalam berpantun haruslah tetap menampilkan nilai-nilai luhurnya, menampilkan budi pekerti dan perilaku terpuji. Dalam ungkapan dikatakan di dalam berpantun, ingat sopan santun. Ungkapan lain menegaskan pantang Melayu membuang cakap, maksudnya dipantangkan bagi orang Melayu berkata yang tidak berfaedah, termasuk dalam pantun memantun. Dengan demikian, walaupun pantun itu bersifat pantun kelakar, misalnya, di dalamnya tetap terkandung nilai-nilai moral, setidak-tidaknya pantun itu tetaplah mengacu pada sopan santun Melayu. Acuan ini menyebabkan pantun semakin berperanan dalam kehidupan orang Melayu.
Dalam pantun “sindir-menyindir” misalnya, terdapat kritikan-kritikan dan “sindiran”, baik terhadap sesama anggota masyarakat mahupun terhadap penguasaannya. Namun, kritik dan sindiran dimaksud dilakukan secara halus dan penuh kesopanan, tidak mengghina dan menista, apalagi membuka aib malu orang, dan sebagainya yang dapat menimbulkan pertelingkahan atau perpecahan. Dalam ungkapan dikatakan menyindir jangan mencibir, maksudnya, menyindir ataupun mengkritik orang lain jangan menghina. Ungkapan lain menegaskan dalam menyindir gunakan fikir, maksudnya, menyindir atau mengkritik janganlah semena-mena, tetapi dilakukan secara arif dan benar, menggunakan akal dan fikiran, tidak memfitnah membabi buta dan sebagainya.
Acuan ini semakin menunjukkan betapa besarnya peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu, kerana melalui pantun “aspirasi” masyarakat dapat disalurkan dengan baik tanpa menimbulkan perpecahan ataupun perselisihan antara sesamanya.
Peranan lain dari pantun adalah untuk “ajuk mengajuk” antara bujang dan dara. Lazimnya acara dilakukan dalam kesempatan tertentu di mana bujang dan dara berpeluang berbalas pantun. Dalam kesempatan itulah mereka “ajuk mengajuk” hati masing-masing yang sering berlanjut menjadi ikatan batin, pertunangan dan perkahwinan.
Pantun remaja (bujang dan dara) ini pun hendaknya dilakukan secara sopan dan santun serta halus, penuh dengan ungkapan-ungkapan. Orang tua-tua mengatakandalam berbalas pantun, ingat sopan santun. Ungkapan lain mengatakan tanda orang baik hati, dalam berpantun ia berbudi atau bila hendak tahu orang berbudi, pantunnya mengandung budi pekerti.
Dalam mendendangkan anak atau menidurkan anak (dahulu lazimnya di dalam ayunan), orang tuanya membawakan lagu-lagu yang bait-bait pantunnya mengandung doa, petuah amanah, sebagai cerminan menanamkan nilai-nilai luhur mereka kepada anaknya sejak dini.
3. Kandungan Isi Pantun Melayu
Hakikatnya kandungan isi pantun Melayu adalah “tunjuk ajar” yang di dalamnya terdapat nilai-nilai luhur agama, budaya dan norma-norma yang dianut masyarakatnya. Penyampaiannya bervariasi, ada melalui kelakar, melalui sindiran, melalui nyanyian dan sebagainya, sehingga timbul anggapan bahawa pantun Melayu ada yang berisi tunjuk ajar dan ada pula yang hanya hiburan semata-mata. Padahal, bila disemak secara lebih menukik, apapun wujud pantun, tetaplah tidak terlepas dari nilai-nilai luhurnya. Namun memang ada yang tunjuk ajarnya terasa kental dan ada pula yang tersirat yang hanya dapat disemak oleh mereka yang memahami budaya Melayu atau oleh mereka yang memahami hakikat pantun Melayu.
Orang tua-tua mengatakan adat berpantun, pantang melamun, maksudnya dalam berpantun, dipantangkan menyalah atau menyimpang dan melanggar etika dan norma-norma sosial masyarakatnya. Isi pantun haruslah bersifat memberi ingat, tunjuk ajar dan nasihat tidak boleh memfitnah, merendahkan martabat orang lain atau menjatuhkan air muka orang, tidak boleh mengada-ada dan sebagainya yang bersifat negatif.
Di dalam ungkapan lain ditegaskan hakikat pantun menjadi penonton, maksudnya pantun hakikatnya menyampaikan petuah amanah, menyampaikan tunjuk ajar dan nilai-nilai luhur yang dapat jadi tuntunan masyarakatnya. Acuan ini menyebabkan orang Melayu berlaku hati-hati dalam berpantun. Mereka selalu mengingat ketentuan itu, sehingga apapun bentuk pantun yang diucapkannya, selalu mengandung nilai-nilai luhur, sekurang-kurangnya tidak menyalahi nilai-nilai agama, budaya dan norma sosial yang mereka anuti.
Di dalam untaian ungkapan dikatakan mengenai isi pantun Melayu antara lain:
Di dalam pantun Melayu terdapat ilmu:
Ilmu dunia ilmu akhirat
Ilmu tersurat ilmu tersirat
Ilmu dipakai membawa manfaat
Ilmu disemak membawa berkat
Ilmu dikaji membawa rahmat
Ilmu dipegang hidup selamat
Di dalam pantun ada penuntun:
Menuntun kepada yang berfaedah
Menuntun kepada yang semenggah
Menuntun dengan syarak dan sunah
Menuntun dengan adat lembaga
Menuntun dengan amanah petuah
Di dalam pantun ada petunjuk:
Petunjuk kepada yang elok
Supaya badan tidak terpuruk
Petunjuk kepada yang baik
Supaya badan tidak terindik
Petunjuk kepada yang lurus
Supaya badan tiada terjerumus
Petunjuk kepada yang berfaedah
Supaya aib tidak terdedah
Petunjuk kepada yang bermanfaat
Supaya hidup tidak tersesat
Di dalam pantun ada pengajar:
Pengajar kepada yang benar
Supaya hidup tiada tercemar
Pengajar kepada yang betul
Supaya selamat dalam bergaul
Di dalam pantun tersimpan pesan:
Pesan tua untuk pusaka
Pesan muda untuk berjaga
Pesan ilmu untuk diramu
Pesan sunah untuk dimamah
Pesan syarak untuk disemak
Pesan adat untuk diingat
Pesan ibu untuk ditunggu
Pesan bapa untuk dibawa
Pesan saudara untuk dipelihara
Pesan sahabat untuk pengikat
Pesan berisi syarak dan sunah
Pesan berisi petuah amanah
Pesan diturut membawa tuah
Pesan dipakai membangkitkan marwah
Pesan diikut membangkitkan tuah
Di dalam pantun tersimpan adat:
Pertama adat sebenar adat
Kedua adat yang diadatkan
Ketiga adat yang teradat
Bila dikaji ilmunya dapat
Bila dipakai hidup selamat
Bila diikut tiada sesat
Bila diturut banyaklah berkat
Bila diamalkan hidup mufakat
Bila ditaati sengketa tak dekat
Bila difahami hidup bersifat
Bila disemak sentosalah umat
Di dalam pantun tersimpul amanah:
Bila disemak hidup bertuah
Bila dipakai hidup semenggah
Bila digenggam naiklah marwah
Bila dipegang membawa berkah
Bila diturut meluruskan langkah
Bila diikut membetulkan tingkah
Bila dijaga bercahayalah rumah
Di dalam pantun terkandung dakwah:
Menunjukkan orang ke jalan Allah
Menuntun orang kepada akidah
Menerangi orang dengan sunah
Meluruskan dari segala yang salah
Membaikkan dari segala yang menyalah
Membetulkan budi menghaluskan tingkah
Membersihkan hati melembutkan lidah
Di dalam pantun tersirat agama:
Menunjukkan jalan dunia akhirat
Menjauhkan orang dari maksiat
Membersihkan hati yang berkarat
Meluruskan akal yang tersesat
Membaikkan orang yang salah niat
Menghapuskan segala dengaki dan hasad
Mengikis segala perbuatan jahat
Supaya selamat dunia akhirat
Di dalam pantun ada ibarat:
Siapa menyemak maknanya dapat
Siapa faham beroleh berkat
Siapa arif mendapat manfaat
Siapa bijak hidup selamat
Di dalam pantun ada teladan:
Siapa menyemak mendapat pedoman
Siapa cerdik dapat pelajaran
Siapa pandai terbuka jalan
Siapa bijak mendapat sandaran
Di dalam pantun terkandung contoh:
Siapa menyemak hidup senonoh
Siapa memakai takkan bergaduh
Siapa meneladan takkan terkecoh
Siapa memahami takkan terjatuh
Siapa mengkaji takkan mengeluh
Selanjutnya, orang tua-tua menjelaskan pula tentang keberagaman pantun dan kandungan isinya dengan ungkapan-ungkapan antara lain:
Ada pantun “bersenda gurau”
Membuang gelabah menjauhkan risau
Siapa menyemak takkan meracau
Siapa memahami takkan mengacau
Contoh Pantun:
Pisau belati bertali pandak
Dititik-titik matanya hancur
Risaulah hati berbini pekak
Awak berbisik dia tertidur
Sesaplah ladang berilah tanda
Semaknya dapat dibuat suluh
Sedaplah orang berbinikan janda
Anaknya dapat disuruh-suruh
Kalahlah beruk bermain gasing
Kepala bengkak ditampar tupai
Sudahlah duduk kain tersingsing
Di bawa tegak seluar terburai
Sejak Belatuk pergi kahwin
Siang malam Bayan meradang
Sejak beruk jadi pemimpin
Halal haram dimakan orang
Singapura dilanggar todak
Todak melanggar sehari bulan
Orang tua-tua gilakan budak
Bagaikan beruk kena belacan
Besarlah rumah orang di teluk
Dilihat indah tempat bermain
Besarlah tuah si orang gemuk
Pangkat rendah disangka pemimpin
Leguh legah orang tadarus
Orang tadarus pahalanya besar
Sungguh bertuah si orang kurus
Orang kurus seleranya besar
Besar puntung gesek bergesek
Nyalanya belum sampai sejengkal
Besarlah untung berhidung pesek
Kalau mencium sampai kepangkal
Ada pantun “sindir menyindir
Mengajak orang untuk berfikir
Supaya orang tidak pandir
Supaya ketiak tidak berlendir
Supaya hidup tak kena cibir
Contoh pantun:
Sejak pepuyu jadi almarhum
Banyaklah udang pergi menjenguk
Sejak penghulu jadi peminum
Banyaklah orang jadi pemabuk
Kerana tugal disangka antan
Banyaklah orang tidak ke ladang
Kerana bilal lupakan azan
Banyaklah orang tidak sembahyang
Sejak sepat mecari pepuyu
Banyak buaya naik ke pantai
Sejak mendapat bini baru
Banyaklah kerja tidak selesai
Berpucuk sudah berkuntum sudah
Tinggal berbuah saja yang belum
Berpeluk sudah bercium sudah
Tinggal menikah saja yang belum
Ada pantun “berkasih sayang
Ajuk mengajuk dara dan bujang
Berbalas pantun mata bertentang
Di situ disukat lebih dan kurang
Di situ diukur pendek dan panjang
Di situ dikaji untung dan malang
Di situ ditengok muka belakang
Di situ melekat hukum dan undang
Di situ adat sama dipegang
Contoh pantun:
Naik turun orang ke balai
Bulan balik malam dan petang
Adik sepantun kembang setangkai
Hendak dipetik haram dipegang
Naik turun orang ke rumah
Bulak balik mengejar lalat
Adik sepantun kembang merekah
Hendak dipetik melanggar adat
Dzulkaidah bulan yang baik
Banyaklah orang berhelat jamu
Lemahlah badan mengenang adik
Hendak meminang adat tak tahu
Hendak memepah hari lah petang
Hendak berjalan malam lah larut
Hendak berpisah hati tak tenang
Hendak sepergian belumlah patut
Naik turun menjala ikan
Memasang jala di siang hari
Adik sepantun cahaya bulan
Hilang kemana kan abang cari
Petang jumaat bawa mengaji
Sudah waktunya bawa sembahyang
Abang tak ingat kepada janji
Sesudah layu hamba dibuang
Adat disebut “pantun adat”
Pantun berisi pepatah adat
Pantun mengandung petuah nasihat
Pantun dipakai dalam helat
Pantun dikaji dalam musyawarah
Pantun dicurai mencari mufakat
Pantun dibilang mencapai sepakat
Isinya luas tiada terhad
Di situ undang sama disukat
Di situ hukum sama diangkat
Di situ pusaka sama diingat
Di situ soko sama di tingkat
Di situ umat menunjukkan adat
Contoh Pantun:
Adat kayu berdiri tegak
Tegak tinggi besar bertambah
Adat Melayu bersendi syarak
Syarak bersendi Kitabullah
Pahat mana yang kita pegang
Pahat besi bergagang kayu
Adat mana yang kita pegang
Adat jati orang melayu
Urat mana yang kita cencang
Urat kayu di tengah laman
Adat mana yang kita pegang
Adat Melayu zaman berzaman
Kuat kayu bercabang besar
Pucuknya tinggi akar melilit
Adat Melayu dibentang lebar
Menutupi bumi dengan langit
Pucuknya tinggi akar melilit
Dahan menjulai berpucuk lagi
Menutup bumi dengan langit
Dalamnya sampai ke perut bumi
Ada disebut ‘pantun dakwah‘
Berisikan syarak beserta sunah
Berisikan petuah dengan amanah
Berisikan jalan mengenal Allah
Berisikan ilmu memahami akidah
Di situ disingkap benar dan salahnya
Di situ dicurai halal dan haramnya
Di situ dibentang manfaat mudaratnya
Di situ didedahkan baik buruknya
Di situ ilmu sama disimbah
Di situ tempat mencari tuah
Di situ tempat menegakkan maruah
Contoh pantun:
Adat orang berjalan malam
Membawa suluh jadi pedoman
Adat orang beragama Islam
Lidah senonoh hati beriman
Orang berkain menutup aurat
Sesuai dengan Quran dan hadis
Orang Muslim hidup beradat
Perangai sopan muka pun manis
Di bulan ramadhan orang puasa
Menahan selera mengekang nafsu
Orang beriman hidup sentosa
Kepada Allah tempat bertumpu
Elok kaki dapat melangkah
Elok tangan dapat memegang
Elok hati mengingat Allah
Elok iman tiada bergoyang
Kalau berlabuh pada yang tenang
Bila berhenti pada yang teduh
Kalau kukuh mengerjakan sembahyang
Di dunia terpuji di akhirat senonoh
Ada disebut “pantun tunjuk ajar”
Di dalamnya terhimpun tunjuk dan ajar
Ada syarak tempat bersandar
Ada adat tempat berkisar
Ada lembaga tempat manakar
Ada amanah menjauhi mungkar
Ada petuah membuang makar
Ada nasihat menghilangkan ingkar
Ada petunjuk ke jalan benar
Ada amanat memelihara sama sabar
Ada ibarat untuk didengar
Ada teladan untuk iktibar
Contoh pantun:
Mengapa sibuk orang di Pekan
Orang membeli sambal ketupat
Buah yang mabuk usah dimakan
Batang berduri jangan dipanjat
Apabila kaki bertumbuk langkah
Surut kembali ke pangkal jalan
Apabila hati kemaruk serakah
Duduk berdiri ditinggalkan kawan
Apabila pelita tidak bersumbu
Mana kan dapat dibuat suluh
Apabila kepala tidak berilmu
Mana kan dapat hidup senonoh
Mengapa banyak lalang tumbuh
Kerana tidak berladang padi
Mengapa banyak orang bergaduh
Kerana tidak mengenang budi
Kalau hendak memilih kain
Pilihlah kain bertapak catur
Kalau hendak memilih pemimpin
Pilihlah pemimpin berakhlak jujur
Dari uraian di atas terlihat betapa beragam dan bervariasinya kandungan isi pantun Melayu. Namun, sebagai inti dari keseluruhan kandungan isinya, tetaplah mengakar kepada syarak dan adat. Apapun bentuk dan jenis pantunnya, nilai agama, budaya, dan adat serta norma-norma sosialnya tetap ada. Orang tua-tua mengatakan bila pantun tidak mengandungi nilai luhur, samalah artinya dengan meracau ataumerapik atau menyalah. Melalui ungkapan dikatakan:
Kalau pantun tidak bernilai
Mulut berbuih tak ada memakai
Siapa berpantun tidak berbudi
Tanda dirinya bususk pekerti
Siapa berpantun tidak senonoh
Hatinya kusut fikiran keruh
Siapa berpantun menyakitkan hati
Hatinya busuk fikiran dengki
Siapa berpantun menghina orang
Hatinya busuk akal pun kurang
Bagi orang Melayu sebutan seperti dituangkan dalam ungkapan di atas amatlah mereka jauhi, kerana bukan saja menimbulkan aib dirinya, tetapi memalukan pula kaum kerabat dan orang sekampungnya. Kerananya dalam berpantun, mereka amatlah cermat dan mengikuti “adat berpantun” sehingga pantun yang disampaikannya adalah pantun yang baik dan benar, dan tidak menyalahi maksud dan tujuannya. Hal ini tercermin dari “pantun pembukaan” dalam upacara berbalas pantun yang berbunyi antara lain:
Setambun anak-baranak
Sisiknya lendir berlendir
Minta ampun kepada orang banyak
Pantun kami sindir menyindir
Selanjutnya dalam bagian penutup upacara disampaikan pula “pantun penutup” yang antara lain berbunyi:
Kuala Daik airnya tenang
Di sana biduk menambatkan tali
Mana yang baik bawalah pulang
Bila buruk tinggalkan kami
Menurut orang tua-tua Melayu, “pantun pembukaan” dan “pantun penutup” isinya permintaan maaf seandainya di dalam melaksanakan upacara atau kegiatan itu terdapat kesalahan, baik di sengaja ataupun tidak. Selanjutnya, pantun itu memberi tahu kepada seluruh yang hadir bahawa antaranya mungkin sahaja timbul pantun yang sifatnya sindir menyindir atau kelakar dan sebagainya. Dengan diucapkannyapantun pembukaan dan kemudian ditutup dengan pantun penutup maka segala kesalahfahaman, atau kekeliruan yang terjadi dalam upacara atau kegiatan itu supaya dimaafkan, dan tidak menjadi silang sengketa atau dendam kesumat. Ketentuan ini secara turun temurun sudah difahami oleh orang Melayu.
Kalaupun nantinya ada yang tersalah cakap, tersalah sebut atau tersalah bawa, sudah dimaklumi oleh yang hadir, dan tidak dimasukkan ke dalam hati. Orang tua-tua mengatakan: “kalau sudah meminta ampun, hilang segala dosa berpantun”.
Dalam ungkapan lain ditegaskan pula kewajipan menyampaikan maaf sebelum dan sesudah acara berbalas pantun dilakukan. Ungkapan itu mengatakan antara lainsebelum berpantun, jari disusun; sesudah bermadah, luruskan sembah.
4. Penutup
Ketentuan dan penyusunan rangkap pantun mencerminkan kearifan orang tua-tua Melayu, kerana mereka sudah memahami bahawa dalam berpantun, banyak orang yang melakukan kejanggalan atau kesalahan. Apalagi pemantun yang masih belajar. Kekeliruan itu dapat berupa kesalahan isi pantun (kerana menurutkan emosi berlebihan, perasaan yang tidak senang, dan seterusnya) dapat pula berupa cara penyampaiannya yang kasar langgar, kurang adab, kurang tersusun kalimatnya, dan lain-lain.
Dari sisi lain yang perlu diingat dan dicermati adalah dalam membuat pembayang pantun, banyak terjadi kejanggalan dan kekeliruan, kerana pembayang dibuat semata-mata untuk mencari kesamaan bunyi pada akhir ayat pantun. Padahal, pembayang mencerminkan kearifan kepiawaian orang Melayu dalam memahami perilaku alam sebagai latar, yang dijalin dengan penuh logika, wawasan, kewajaran, keindahan dan perpaduan yang masuk akal. Seorang pembuat pantun seharusnya memilih latar dan kata yang mengandungi nilai, tidak sekadar untuk “pelengkap” sahaja. Itulah sebabnya orang tua-tua mengingatkan membuat pembayang pantun hendaklah dengan akal dan santun; atau dikatakan membuat pembayang, akal nampak fahamnya panjang.
Dengan adanya ketentuan dimaksud, mereka terhindar dari ejekan atau cemuhan, dan terhindar pula dari prasangka buruk pendengarnya. Kalaupun mereka melakukan kejanggalan atau kekeliruan, hal itu dianggap wajar, dan perlu dimaafkan. Adanya saling pengertian ini menyebabkan pantun semakin berkembang dan merata, kerana melalui pantun dapat disampaikan berbagai isi hati dan nilai-nilai luhur serta dapat pula melepaskan perasaan secara terbuka dan bebas di depan khalayak ramai.
Kebebasan berpantun sudah dijamin oleh adat, sepanjang pelaksanaannya tidak menyimpang dari agama, adat, dan norma-norma sosial masyarakatnya. Orang tua-tua mengatakan hendak bebas diberi bebas, asal tidak lupakan diri.
_______________________
Dr (HC). Tenas Effendy, adalah Budayawan Melayu Riau, pernah menjabat sebagai Ketua Majelis Kerapatan Adat, Lembaga Adat Melayu Riau. Beliau juga sebagai pendiri dan penasehat Tenas Foundation.Tunjuk ajar adalah ungkapan-ungkapan bijak yang dikemas dalam pantun atau syair – di lain waktu ia juga bisa berupa gurindam atau hikayat – berisi petuah, pengajaran atau nasehat orang tua kepada anak secara turun-temurun – atau dari orang tua-tua kepada generasi muda – dari generasi ke generasi dalam masyarakat Melayu. Defenisi ini adalah hasil tafsiran saya sendiri terhadap Tunjuk Ajar Melayu ini. Oleh sebab itu, mungkin, belum terlalu tepat benar.

Tunjuk ajar ini, dahulunya, hanya tersimpan dalam minda dan tersebar melalui tutur dari mulut ke mulut (ungkapan). Dan (mungkin) sejak era kepengarangan Raja Ali Haji ada upaya untuk “menyimpan” – dan juga menggubah – hal semacam ini dalam bentuk nukilan atau karya sastra. Tapi, tetap saja jumlah yang ternukil itu tak seberapa jumlahnya dibanding yang tersebar dalam tutur. Demikianlah betapa banyaknya ungkapan-ungkapan bijak ini jumlahnya.
Dewasa ini, di Riau, salah seorang budayawan yang amat berkhikmad dalam upaya menghimpun kembali Tunjuk Ajar ini dalam bentuk buku adalah BapakTennas Effendy. Untuk menyebarluaskannya lebih jauh lagi, sebagian dari apa yang telah beliau himpun dalam buku yang bertajuk Tunjuk Ajar Melayu itu, saya kutipkan di sini. Selamat menikmati.
Wahai ananda hendaklah ingat,
hidup di dunia amatlah singkat
banyakkan amal serta ibadat
supaya selamat dunia akhirat
wahai ananda dengarkan peri,
tunangan hidup adalah mati
carilah bekal ketika pagi
supaya tidak menyesal nanti
wahai ananda dengarlah madah,
baikkan laku elokkan tingkah
banyakkan kerja yang berfaedah
supaya hidupmu beroleh berkah
wahai ananda dengarlah pesan,
kuatkan hati teguhkan iman
jangan didengar bisikan setan
supaya dirimu diampuni Tuhan
wahai ananda peganglah janji,
berbuat khianat engkau jauhi
banyakkan olehmu bertanam budi
supaya kelak hidup terpuji
wahai ananda cahaya mata,
janganlah tamak kepada harta
mencari nafkah berpada-pada
supaya hidupmu tiada ternista
wahai ananda sibiran tulang,
betulkan kaji, tegakkan sembahyang
umur yang ada jangan dibuang
supaya hidupmu dipandang orang
wahai ananda belahan diri,
kerja menyalah jangan hampiri
berbuat maksiat jangan sekali
supaya hidupmu diberkahi Ilahi…
Ini hanya sebagian kecil saja dari yang ada. Boleh jadi, di lain masa, akan saya kutipkan juga petuah-petuah yang lainnya. Semoga bermanfaat.
1. Sifat Tahu DiriPada hakikatnya,yang dimaksud dengan sifat "tahu diri " dalam acuan budaya melayu kedaran diri pribadi terhadap hakikat hidup,tujuan hidup, akir hidup,serta berbagai hak dan kewajiban yang harus dipenuhi. baik sebagai bagian masyarakat maupun sebagai hamba Allah. orang tua-tua mengatakan , orang tahu diri memiliki kesadaran yang tinggi dalam hidupnya, dengan tahu diri, ia akan tahu menempatkan diri dalam pergaulan berumah tangga maupun bermasyarakat. orang tahu diri akn berkelakuan terpuji, karena ia telah memahami kekurangan dan kelebihan dirinya dan orang lain. orang yang tahu diri akan sadar akan tangung jawabnya , baik tangun jawab terhadap diri,keluarga,masyarakat maupun bangsa dan negaranya.
Di dalam ungkapan adat disebut 
yang dikatakan tahu diri
tahu hak dan kewajiban 
tahu hutang beserta beban 
tahu adat jadi pegangan 
tahu syara' jadi sandaran
tahu sunnah jadi pedoman
tahu pusaka jadi warisan
tahu ico jadi pakaian 
tahu adat dengan sopan 
tahu dimana tempat makan 
tahu dimana tempat berjalan
tahu hidup berkesudah
tahu mati berkekalan

TUNJUK AJAR MELAYU SARAT DENGAN NILAI-NILAI ISLAM

Judul Buku : Tunjuk Ajar Melayu
Pengarang : Tenas Effendy
Penerbit : Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu
bekerjasama dengan Penerbit AdiCita, Yogyakarta.
Tahun Terbit : 2006
Tebal : xi + 688 halaman
Presenter : Satria

Saat membaca judul buku ini penulis tertarik untuk mengkajinya selain sebagai tugas tambahan juga sebagai bekal atau panduan bagi penulis selaku generasi muda Melayu dalam mengarungi samudera kehidupan ini. Dalam proses mengkaji, metode yang digunakan adalah mengetahui terlebih dulu sub tema yang disajikan dengan melihat daftar isi. Untuk memahami secara umum isi dari buku ini penulis membaca bagian pendahuluan dan kesimpulan.
Pesatnya perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi tidak saja menyebabkan dunia terasa mengecil tetapi membawa berbagai perubahan dalam tatanan kehidupan manusia (Effendy, 2006: 1).
Ilmu dan teknologi canggih yang diserap secara mentah-mentah tidak mustahil dapat menjebak manusia dalam pergeseran dan perubahan pola pikir dan perilaku yang melecehkan nilai-nilai luhur agama, budaya dan norma-norma sosial yang terdapat dalam masyarakatnya. Akibatnya besar kemungkinan mereka akan kehilangan nilai-nilai luhur itu yang lambat laun dapat pula menyebabkan hilangnya kepribadian dan jati diri seseorang (Effendy, 2006: 2).
Bagi orang Melayu, ilmu dan teknologi tidaklah menjadi pantangan. Sebaliknya, keduanya wajib dipelajari, diserap, dan dimanfaatkan dengan sebaik dan sebanyak mungkin (Effendy, 2006: 2).

Pengertian Tunjuk Ajar Melayu
Effendy (2006: 7) mengartikan, tunjuk ajar adalah segala jenis petuah petunjuk, nasihat, amanah, pengajaran, dan contoh teladan yang bermanfaat bagi kehidupan manusia dalam arti luas.
Tunjuk ajar Melayu adalah segala petuah, amanah, suri teladan dan nasihat yang membawa manusia ke jalan yang lurus dan diridhai Allah yang berkahnya menyelamatkan manusia dalam kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Berikut kutipan ungkapan tentang tunjuk ajar.

Yang disebut tunjuk ajar
Petuah membawa berkah
Amanah membawa tuah

Yang disebut tunjuk ajar dari yang tua
Petunjuknya mengandung tuah
Pengajarannya berisi marwah
Petuahnya berisi berkah
Amanahnya berisi berkah
Amanahnya berisi hikmah
Nasehatnya berisi manfaat
Pesannya berisi iman
Kajinya mengandung budi
Contohnya pada yang senonoh
Teladannya di jalan Tuhan

Kandungan Isi Tunjuk Ajar

Tunjuk ajar harus mengandung nilai-nilai luhur agama Islam dan juga sesuai dengan budaya dan norma-norma sosial yang dianut masyarakatnya (Effendy, 2006: 9

Apalah isi tunjuk ajar
Syarak dan sunnah ilmu yang benar

Apalah isi tunjuk ajar
Segala petunjuk ke jalan yang benar


Kedudukan Tunjuk Ajar

Tunjuk ajar ditempatkan pada kedudukan yang penting bahkan teramat penting karena kandungan isinya yang luhur.

Apa tanda Melayu jati
Tunjuk ajarnya dipegang mati

Apa tanda Melayu berbudi
Tunjuk ajarnya dijunjung tinggi

Mereka menyadari, bahwa tanpa tunjuk ajar atau petuah amanah, banyak nilai luhur yang terabaikan dan banyak manfaat yang terbuang percuma, bahkan tidak mustahil dapat menyebabkan orang menjadi sesat ataupun gagal dalam hidupnya (Effendy, 2006: 12).
Orang Melayu sekuat tenaga mempelajari, memahami, dan mewariskan tunjuk ajar secara turun-temurun.

Tunjuk ajar dibesarkan
Petuah amanah dimuliakan
Nasehat amanat diingat-ingat
Supaya tunjuk berpanjangan
Supaya ajaran berkelanjutan
Supaya petuah tidak punah
Supaya amanah tidak musnah
Supaya nasehat memberi manfaat
Supaya amanat memberi berkat

Manfaat Tunjuk Ajar
Orang tua-tua Melayu mengatakan, bahwa tunjuk ajar amat besar manfaat dan nilai positifnya bagi kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat, baik bagi pribadi maupun bagi masyarakat, bangsa dan negara.

Kalau hendak menjadi orang
Tunjuk ajar hendaklah pegang

Pewarisan Tunjuk Ajar

Untuk mewujudkan manusia bertuah, berbudi luhur, cerdas, dan terpuji, orang Melayu mewariskan tunjuk ajarnya dengan berbagai cara, baik ungkapan lisan maupun melalui contoh dan teladan ( Effendy, 2006: 15).
Sebagaimana ungkapan
Sebelum mengajar, banyak belajar
Sebelum memberi contoh, bersifatlah senonoh
Sebelum memberi teladan, betulkan badan
Sebelum menasehati orang, nasehati diri sendiri

Kewajiban adat yang menyuruh untuk mewariskan tunjuk ajar mendorong orang Melayu untuk melakukan pewarisan sejak dini.

Adat hidup berlaki bini,
Tunjuk ajar beri memberi

Adat hidup anak beranak
Tunjuk ajar sama dipinak

Selain mewajibkan pewarisan tunjuk ajar, adat Melayu menyimpulkan pula bahwa sebelum memberikan tunjuk ajar, seseorang terlebih dahulu wajib memahami, mencerna, dan menghayati nilai luhur yang terdapat di dalam tunjuk ajar.
Di dalam kehidupan tradisional orang Melayu, kebanyakan dari mereka lebih mempercayai contoh dan teladan nyata yang dapat mereka lihat dengan mata kepala dari pada mendengar pembicaraan. Orang tua-tua mengatakan, “ mencontoh kepada yang nampak, meniru kepada yang nyata”.

“mulut bermadu, perangai macam hantu” , “bila bercakap bercabang lidah, seumur hidup tidak dipercaya orang”. Bila bercakap bercabang lidah, pantang sekali memegang amanah” (Effendy, 2006: 19).
Bila pewarisan tunjuk ajar dikaitkan dengan pembangunan bangsa, maka dapat dilihat adanya titik temu, mengingat tunjuk ajar mengandung nilai-nilai luhur yang amat diperlukan terutama dalam meningkatkan kemampuan sumber daya manusia (Effendy, 2006: 24).
Nilai-nilai luhur budaya lokal amat diperlukan untuk menapis dan menyaring unsur budaya asing.
Kalau cerdik tidak beriman
Lambat laun menjadi setan

Kalau pandai tidak beradat
Lambat laun hidup kan sesat

Upaya Penyebarluasan Tunjuk Ajar
Untuk menyebarluaskannya diperlukan penggalian, kajian, dan penafsiran secara lebih mendalam agar tunjuk ajar benar-benar menunjukkan nilai-nilai luhurnya yang bermanfaat bagi kehidupan masa kini dan masa mendatang. Karena tunjuk ajar Melayu mempergunakan bahasa kiasan, perumpamaan, dan lambang serta lain sebagainya yang sarat berisi nilai-nilai luhur, maka pemahamannya memerlukan pengetahuan mengenai kebudayaan Melayu. Ungkapan-ungkapan tunjuk ajar Melayu amat dalam maknanya. Untuk memahaminya diperlukan pengetahuan bahasa, adat istiaat, lambang-lambang, serta sastra lisan Melayu (Effendy, 2006: 26).
Upaya penyebarluasan tunjuk ajar akan lebih maksimal hasilnya bila dilakukan oleh para intelektual Melayu, terutama dari kalangan generasi muda. “Permata tunjuk ajar itu akan lebih cemerlang bila digosok oleh jauharinya”. Di tangan mereka tunjuk ajar Melayu akan seperti “ yang setitik jadi lautan yang sekepal menjadi gunung”.

Butir-Butir Tunjuk Ajar
Butir-butir tunjuk ajar ialah kandungan isi tunjuk ajar yang dipilah-pilah ke dalam beberapa kategori untuk membantu penelaahannya secara lebih terarah (Effendy, 2006: 29).
Adapun butir-butir tunjuk ajar tersebut terdiri dari
1. Ketakwan kepada Tuhan Yang maha Esa
2. Ketaatan kepada Ibu dan Bapak
3. Ketaatan kepada Pemimpin
4. Persautuan dan kesatuan, Gotong-royong, dan tenggang rasa
5. Keadilan dan kebenaran
6. Keutamaan menuntut ilmu pengetahuan
7. Ikhlas dan rela berkorban
8. Kerja keras, rajin dan tekun
9. Sikap mandiri dan percaya diri
10. Bertanam budi dan membalas budi
11. Rasa tanggung jawab
12. Sifat malu
13. Kasih sayang
14. Hak dan Milik
15. Musyawarah dan mufakat
16. Keberanian
17. Kejujuran
18. Hemat dan cermat
19. Sikap rendah hati
20. Bersangka baik terhadap sesama makhluk
21. Sifat perajuk
22. Sifat tahu diri




aku bercerita kosong - kosong


Tak tahu nak kata apa sebenarnya, pekara pertama nak kata zaman remaja ni indah banyak pancaroba. Kalau silap pilih jalan kita akan tersesat juga. Namun dalam hal ni nak dikatakan aku masih penggangur sebab belum ada pekerjaan yang dibuat menjamin masa depan. Sebenarnya aku ini minat dalam bidang penulisan tapi belum tahu dimana nak mula. Nak sambung cerita kerja sekarang aku ialah kerja orang kampung buat mengail, penoreh, dan lain-lain. Kata orang Cuma cukup tanggung diri sahaja. Suatu masa memang hijrah juga aku ni azam lepas raya.

Kedua nak cerita ialah memang cinta itu memberi kesan mendalam pada seseorang macam-macam yang  terjadi. Tapi orang kata tula yang matangkan usia. Tapi ada juga cinta ni dalam diam, tak tahu kenapa sampai sekarang masih tersimpan cinta ni. Sebab dia saya pilih ialah mempunyai ciri islamik lasak dan juga seorang yang berani buat sesuatu. Kalau selidik dia suka kucing dan kanak-kanak. Aku cuba luahkan tapi dia macam tak sudi terima. Aku ni sebenarnya penakut pada perempuan nak cakap pun segan. Setiap kali online memang saya tengok gambar dia. Boleh setiap hari istikarah supaya dapat petunjuk dan moga ada jodohku. Tapi tak nampak-nampak. Biarlah takdir menentukan.

Cerita ketiga. Fenomena biasa bila tiba ramadan memang sah terawih luar biasa ramainya. Bila akhir tak tahula mana perginya. Tapi memang best  tazkirah agama kat kaca segi empat ni.

Sampai sini dulu la cerita dulu banyak lagi nak nukil dalam ni. Tapi tiada kerajinan nak menulis lain masa la bila rajin ni mari plok.....