kawan

Sunday, 20 February 2011

karya: Hashim Yaacob

TERBUKTI SUDAH

karya: Hashim Yaacob


Pada minggu lepas aku ke Fakulti Pergigian Universiti Malaya, bertemu dengan seorang Profesor dari London yang kebetulan membuat lawatan sambil belajar ke Fakulti itu. Sewaktu melewati ruang anjung, aku sempat membaca satu kenyataan pada papan kenyataan yang terpampang di dinding, yang dibuat oleh Dame Margaret Seward, Presiden of The General Dental Council of United Kingdom (GDC) pada tahun 1997. Ringkas ayatnya, tetapi padat dan membanggakan :
“Fakulti ini mengeluarkan ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian yang setaraf kualitinya dengan yang terbaik di dunia.”

Aku merasa tersangat bangga membacanya, kerana ayat itu adalah lambang ketinggian pencapaian ilmu Fakulti itu. Akulah orangnya yang meletakan papan tanda itu di situ. Tahun 1997 tahun itu.

Aku masih ingat pada tahun 1987, sewaktu pertama kalinya aku memimpin Fakulti itu. Aku tersangat inginkan supaya ijazah keluaran Fakultiku itu diiktiraf dunia, supaya anak-anak didikku akan dapat merentasi dunia dengan sekeping ijazah milik mereka dari Fakultiku itu. Maka bersama-sama kakitangan Fakulti itu aku bertungkus-lumus membina landasan ilmu yang kukuh dan mantap. Selama dua tahun berikutnya, aku membina dan memperbaiki infrastruktur supaya menjadi canggih, dan meningkatkan kewibawaan ilmu keupayaan pengajaran dan pembelajaran, serta penyelidikan warga Fakultiku. Di dalam dadaku berkobar semangat juang untuk memartabatkan negara melalui penguasaan ilmu dan penggunaan bahasa ibunda Tanah Melayu, iaitu Bahasa Malaysia. Dengan bantuan dan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, kerja kerja peristilahan yang bersangkutan dengan ilmu Kedoktoran Pergigian telah sempurna disenggalarakan. Fakulti Pergigian Universiti Malaya menggunakan Bahasa Malaysia seratus peratus sebagai bahasa pengantar dalam pengajarannya.

Pada awal tahun 1989, segala kerja kerja pemantapan Fakulti Pergigian pun siap. Yang kurang diperbanyakkan; yang lemah dikuatkan; yang pudar digilapkan; yang condong ditegapkan; dan yang lama diperbaharukan. Aku dapat rasakan pada waktu itu betapa sempurnanya Fakultiku itu. Fakulti Pergigian sudah bersedia untuk dinilaikan oleh sebarang badan tauliah dunia. Maka aku pun membuat temujanji dengan ketuaku untuk menyatakan kepadanya hasrat Fakulti yang ingin mengundang sebuah badan tauliah dunia The General Dental Council (GDC) yang berpangkalan di United Kingdom bagi tujuan membuat penilaian dan seterusnya mengakreditasi dan menganugerahkan pengiktirafan ke atas ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian yang dikeluarkan oleh Fakultiku itu. Kebenaran daripada ketuaku hendaklah diperolehi, sebelum usaha ini dapat dilakukan.

“Tahukah saudara bahawa Fakulti mesti berada di dalam keadaan tip-top kalau ingin dinilai oleh GDC? Fakulti mesti mantap dalam semua segi dan berada dalam kategori bertaraf dunia”, kata ketuaku apabila aku menyampaikan hasrat Fakulti untuk dinilai oleh GDC kepadanya.

“ Saya tahu. Kami sekalian ahli-ahli Fakulti sudah pun mempersiapkannya. Dua tahun telah kami bekerja keras menyediakan Fakulti untuk tujuan ini.”

“Saya rasa amat sulit untuk saudara mendapatkan pengiktirafan itu. Tahun dulu, Fakulti Perubatan gagal mendapatkan pengiktirafan daripada General Medical Council United Kingdom kerana katanya Fakulti Perubatan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar pengajaran. Mereka mahu Bahasa Inggeris digunakan.”

Aku terkejut mendengar kata-kata ketuaku itu. Kalau penggunaan Bahasa Melayu sahajalah yang dijadikan alasan untuk menghalang kemaraan ilmu, maka tidak akan dapat berkembanglah ilmu di negara ini di mata dunia. Kalau penguasaan ilmu oleh kita tidak akan dilihat orang semata-mata kerana kita menggunakan Bahasa Malaysia dalam sistem pendidikan kita, maka pastilah Bahasa Malaysia tidak mungkin akan menjadi bahasa ilmu. Aku merasa amat kecewa.

Tiba-tiba aku teringat kepada kawanku Dr. Roberto dari University Bologna, Italy. Dia memperolehi ijazah Kedoktoran Pergigian dari universiti itu yang menggunakan Bahasa Itali sebagai bahasa pengantarnya. Namun begitu, ijazahnya diiktiraf oleh GDC. Aku juga teringat pada kawan-kawanku Johann dari Belanda, Marcia dari Sepanyol, Max dari Germany dan Michelle dari Perancis. Mereka semuanya adalah lulusan universiti daripada negara masing-masing yang menggunakan bahasa ibunda sendiri. Namun ijazah mereka diiktiraf oleh GDC. Kenapa tidak Bahasa Malaysia? Aku mulai merasa lega, kerana aku mempunyai alasan untuk kubawa kepada GDC untuk pertimbangan.

“Kalau betul orang putih yang menguasai GDC itu adil, mereka tentu akan menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar,” bisik hatiku perlahan-lahan.

Aku sepatutnya menulis kepada pihak berkuasa GDC untuk bertanyakan tentang kedudukan Bahasa Malaysia dalam hal ini. Status perkara ini tentu nanti akan menjadi nyata. Aku tidak sepatutnya menerima bulat-bulat kenyataan orang lain selain daripada kenyataan yang sebenar. Aku teringat kepada pepatah yang kupelajari sewaktu di bangku sekolah lama dulu: “Malu bertanya sesat jalan, malu berkayuh perahu hanyut.” Aku pun mengutus sepucuk surat kepada GDC, menanyakan hal bahasaku itu.

“Yang kita mahu lihat ialah tahap kecemerlangan Fakulti tuan dalam segi pentadbiran, kemudahan, kelengkapan dan kandungan silibus, dan penyelidikan, serta kepakaran dan kewibawaan ilmu yang ada pada kakitangan. Bahasa pengantar yang digunakan untuk mengajar tidak penting.” Itulah antara kandungan jawapan surat daripada GDC kepadaku. Tiada terperi lagi gembiranya aku. Aku melompat membawa kerianganku itu hampir ke siling rumahku. Awan yang seketika dulu aku rasakan mendung, rupanya mengandungi cahaya yang mengilau. Rupanya ada cahaya di penghujung terowong. Aku hanya perlu berjalan terus kepenghujungnya.

Tiba tiba, aku dilanda malapetaka. Ketuaku memecat aku daripada menjadi Dekan Fakulti kerana dianggapnya aku tiada berguna lagi. Ditempatkannya aku di bilik kecil di tepi tandas di hujung bangunan Fakulti. Pedihnya amat sukar kutanggung. Biarlah aku tidak menyatakan di sini mengapa peristiwa ini berlaku. Sepanjang yang aku tahu, aku tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadapnya, terhadap universiti atau negaraku. Cukuplah kalau aku katakan bahawa seluruh hidupku pada waktu itu diselubungi oleh malam yang gelap lagi gelita. Tanah yang kupijak terasa rekah berkecai di bawah telapak kakiku. Aku menghadapi hari-hari itu dengan gundah dan gulana. Kusangka panas berlarut ke petang, rupanya hujan di tengahari. Rakan-rakanku yang dulunya sukar dibilang ramainya, sudah ramai pula tidak meluangkan peduli padaku. Di penghujung tahun 1989 peristiwa ini berlaku. Tetapi kalau sudah ditakdirkan begitu, aku perlu banyak bersabar, berfikir dan berikhtiar untuk keluar daripada krisis itu. Aku mesti terus berjalan ke arah bumi yang kukuh.

Dengan pemecatanku sebagai Dekan, dan kehilangan kuasa pimpinan Fakulti maka berkuburlah cita-citaku untuk membawa ijazah Pembedahan Pergigian ke pentas dunia, dan menobatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. Dekan-dekan yang mengambil alih tempatku kemudiannya, tidak seorang pun yang mahu meneruskan perjuangan itu. Tahun demi tahun aku menunggu dengan galakan dan doa, agar mereka mengerjakannya, tetapi sia-sia belaka. Usaha yang telah aku mulakan dulu itu makin lama makin menjadi kaku, dan kelihatan akan mati bersama kematian jawatanku. Segala persiapan yang telah kumulakan dulu mulai hilang dari ingatan sejumlah besar kakitangan Fakulti. Aku sering bertanya, apakah kakitangan Fakulti di bawah pimpinan yang baru tidak sama sekali ingin memartabatkan Fakulti dan Bahasa Ibunda di mata dunia? Apakah kerana mereka takut padaku apabila bersetuju untuk mengerjakannya ketika aku mengetuai mereka dulu? Atau mereka tidak peduli lagi tentang perkara itu? Atau....

Aku sendiri sudah tidak mampu lagi berbuat apa-apa mengenainya. Tetapi aku masih menyimpan harapan, bahawa pada suatu hari nanti, akan datang peluang untuk aku mengerjakan usaha itu semula. Aku menyalakan api perjuangan ini disanubariku, dan aku cuba menyemarakkannya pada setiap penjuru bilik pejabatku yang ditepi tandas itu. Pada mulanya aku dapat mendengar segala bunyi yang dibuat manusia yang mengunjungi kamar kecil itu, tetapi lama kelamaan aku menjadi kalis dengannya. Sudah alah bisa tegal biasa.

Aku mengharapkan ada orang yang akan sedar betapa pentingnya kerja-kerja pemartabatan itu, dan akan melakukannya. Sekiranya begitu, maka aku mengharapkan mereka mengundang aku untuk bersama berjuang mencapainya.

Tiba-tiba, hampir lima tahun kemudian, langit yang mendung bertukar menjadi cerah. Arang yang terconteng di mukaku dibasuh bersih oleh sekendi air bunga tujuh warna. Dengan kehendak Allah S.W.T, jawatan Dekan dikembalikan kepadaku. Aku lantas kembali menebus maruah dan berdiri di atas kaki peribadiku sendiri. Terasa benar aku telah kembali menjadi manusia. Tahun 1993 tahun itu.

Aku pun segera pulang meneliti kerja asalku. Kugembelingkan segala tenaga yang ada bagi merealisasikan hasratku itu. Bila kutanya kakitangan Fakulti yang ada, semuanya ingin bersamaku mendapatkan pengiktirafan GDC ke atas ijazah yang dihasilkan Fakulti, dan sekaligus memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. Ada di antara mereka yang mengatakan bahawa mereka selama ini menunggu aku kembali memimpin mereka ke arah itu. Aku hanya tersenyum mendengar penjelasan itu. Aku tidak peduli walaupun pengucapan itu dibuat dengan hati yang tidak ikhlas. Ikhlas atau tidak, aku sudah memperolehi sokongan mereka.

Maka aku pun segera menyampaikan hasrat Fakulti untuk mendapatkan pengiktirafan daripada GDC kepada ketuaku yang baru. Yang dulu sudahpun lama berlalu.

“Bagaimana kalau saudara tidak berjaya mendapatkan pengiktirafan itu?”, tanya ketuaku. “Fakulti Perubatan pun belum memperolehi pengiktirafannya sejak ianya ditarik balik lama dulu”, ujarnya lagi.

“Dato’ bolehlah mencari Dekan yang baru”, jawabku spontan. Jawapan sebegini telah kurancang seminggu dulu sebelum aku bertemunya.

Ketuaku memberi senyuman yang lebar. Aku tidak pernah melihat manusia ini berbuat begitu. Barangkali hatinya betul-betul tertarik dan mungkin juga terhibur dengan jawapanku itu. Tiba-tiba juga aku menjadi takut. Takut kalau-kalau nanti tidak berjaya usahaku itu. Tapi aku matikan rasa takut itu secepat ianya timbul, bila ku ingatkan bahawa dulu aku pernah bertekad untuk menghadapinya. Aku pernah menulis bahawa aku mesti terus berjalan ke arah bumi yang kukuh. Alang-alang menggenggam bara, biar sampai menjadi abu.

Aku pun segera mengutus surat kepada pihak berkuasa GDC United Kingdom tentang hasrat Fakulti untuk mengundangnya membuat penilaian ke atas ijazah Fakulti. Aku menjelaskan kepada mereka bahawa aku memerlukan dua tahun untuk menyiapkan Fakulti untuk pemeriksaan itu. Mereka menjawab dengan gembira sekali, bahawa mereka bersedia untuk memeriksa Fakulti pada tahun 1997 bulan Oktober. Kami memberi persetujuan dan lantas memperkemaskan diri dan Fakulti. Di hujung terowong, akhirnya sudah kunampak ada api yang bernyala. Aku mesti bergerak menuju ke arahnya.

Akhirnya, Oktober 1997 datang juga. Aku menyambut kedatangan tiga orang pemeriksa pihak berkuasa GDC di tangga halaman Fakulti Pergigian Universiti Malaya. Satu orang dari Dundee, satu dari Glasgow dan satu lagi dari London. Aku menjadi peka dan sedar pada debaran jantungku yang dalam beberapa hari dulu telah mula bertempo cepat, kini sampai kepada kemuncaknya. Aku dapat merasakan seolah-olah pemeriksa-pemeriksa di hadapan aku itu dapat menyelami kegugupanku ketika kami berjabatan tangan pada hari pertama perjumpaan itu.

“Tapi ini perkara biasa. Kalau jantung tidak lagi kuat berdegup pada saat-saat begini, tandanya jantung itu sudah kurang berfungsi”, kata hatiku yang cuba menenangkan fikiranku. Sebetulnya, aku menjadi lebih tenang dengan pegangan itu. Tambahan lagi, pemeriksa-pemeriksa itu kesemuanya menunjukkan perwatakan yang senang didampingi lagi mesra. Sepertimana biasa, aku menulis sebuah puisi bagi menghadapi kegusaranku itu. Aku yakin bahawa puisi mampu memainkan peranan bagi mengubati perasaan yang kurang tenteram. Ini hanya boleh berlaku kalau seseorang itu peka kepada kemampuan bidang ini dalam menyampaikan maksud. Keindahan Bahasa Malaysia dengan perbendaharaankata yang luas adalah keistimewaan bahasaku itu. Aku tersangat yakin Bahasa Malaysia mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa dunia kalau kita hanya bersungguh-sungguh untuk meletakkannya di situ.

Untuk selama tiga hari suntuk seterusnya, pemeriksa-pemeriksa daripada GDC itu menjalankan tugas mereka di Fakulti-Fakulti Pergigian dan Perubatan menilai setiap perkara yang telah mereka dulunya maklumkan. Mereka mewawancara kakitangan Fakulti yang mewakili kategori pekerjaan masing-masing, seperti jururawat, juruteknik, pensyarah muda, pensyarah, profesor madya dan profesor. Mereka juga mewawancara mahasiswa Tahun Pertama, Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima, termasuklah lulusan Fakulti dalam bidang Kedoktoran Pergigian yang telah memegang berbagai jawatan di negara ini. Selepas mewawancara setiap satu daripada dua belas kumpulan ini, aku dijemput untuk berbincang dengan mereka dan menjawab sebarang soalan diatas kapasitiku sebagai Dekan Fakulti. Sesungguhnya sesi-sesi ini amat menakutkan aku. Aku takut kalau-kalau jawapanku kepada mereka bercanggah dengan apa yang telah diberikan oleh kumpulan-kumpulan sebelumku itu. Setiap kali aku berada di pintu untuk memasuki kamar pemeriksa-pemeriksa itu, ada ketikanya apabila aku memandang wajah mereka yang duduk di meja, seribu kegundahan menerpa otakku. Tetapi setiap kali aku berada di pintu, aku tidak lupa mengingati Allah S.W.T yang Maha Pengasih, dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.


Pada petang hari ketiga, setelah wawancara selesai dengan kumpulan terakhir, aku pun dipanggil masuk ke kamar pemeriksa-pemeriksa itu seperti biasa. Aku tahu pada sesi terakhir ini, keputusan akan dibuat mereka. Baik atau buruk akan segera aku ketahui. Jantungku kembali berdebar seperti hari pertama dulu. Tetapi aku sudah lebih bersedia untuk menerima kenyataan. Lagi pun, diriku sendirilah yang mahukan pemeriksaan ini dilakukan.

Ketika aku berada di pintu kamar pemeriksa, tiba-tiba langkahku mati seketika. Aku terpegun melihat tiga orang pemeriksa itu yang diketuai oleh Profesor Grieve berdiri menyambut kedatanganku. Mereka tidak pernah berdiri menyambut kedatanganku dalam sebelas sesi pertemuan sebelum ini. Tiga orang putih warganegara United Kingdom berdiri menyambut seorang Melayu? Perkara seperti ini belum pernah aku saksi. Apakah ini satu tanda penghormatan? Aku melihat wajah gembira masing-masing, dengan senyuman yang cukup manis terukir pada bibir masing-masing.

“Selamat datang kembali”, ujar Profesor Grieve meleretkan senyuman. “Silakan duduk.”
“Terima kasih”, aku menjawab sambil berjabat tangan dengan setiap orang. Kami kemudiannya duduk.
“Kami telah selesai memeriksa apa yang patut diperiksa. Kami berpendapat bahawa ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian keluaran Universiti Malaya telah memenuhi semua syarat untuk diberi pengiktirafan oleh GDC. Kami akan memperakukan kepada Majlis sepulangnya kami ke London supaya ijazah ini diberi status pengiktirafan itu”, kata Profesor Grieve, sambil menghulurkan tangannya kepadaku. Aku sambut dengan segera. Terasa macam di dalam mimpi.

Aku menjadi bisu. Ingin kukatakan sesuatu, tetapi lidahku kelu.

“Kami memanggil saudara untuk memaklumkan perkara ini terlebih dahulu, sebelum kami mengumumkan berita baik ini kepada seluruh warga Fakulti saudara sekejap lagi”, sambung Profesor Grieve, dengan muka yang tersenyum sepanjang pertuturannya.

Profesor Grieve dan rakan-rakannya nampaknya lebih berjaya menunjukkan kegembiraan di atas keputusan itu berbanding aku. Walaupun akulah orang yang paling gembira pada saat itu, tetapi aku rupa-rupanya terkejut dengan berita sebaik itu, hinggakan beku otot senyumanku.

“Terima kasih”, itulah kata secantik bahasa yang dapat kuluahkan pada waktu itu. Rasanya ingin kulompat setinggi langit pada waktu itu.

Ketika aku dan rakan-rakanku mengiringi Profesor Grieve dan rakan-rakannya ke Lapangan Terbang Subang untuk pulang ke Great Britain, Profesor Grieve sempat berbisik padaku “Dalam ilmu kedoktoran gigi, Bahasa Malaysia sudah menjadi bahasa ilmu. Setanding dengan bahasa Eropah yang lain.” Dia mengerdipkan mata kirinya kepadaku. Bibir mulut kirinya ikut terangkat. Aku ikut mengerdipkan mata kiriku kepadanya. Bibir mulut kiriku terasa terangkat sama.

Dua bulan kemudian, aku menerima surat daripada pihak berkuasa GDC, yang menyatakan bahawa Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian daripada Universiti Malaya telah diiktiraf oleh negara itu. Sempurnalah sudah pengangkatan ijazah Universiti Malaya ini ketahap dunia. Sempurnalah sudah Bahasa Malaysia menjadi bahasa ilmu. Terbukti sudah!

ashimyaacob.blogspot.com

No comments:

Post a Comment