kawan

Saturday, 5 March 2011

Bahasa Melayu warisan ‘Melayu’.

Posted by: abgreds on: 12 Oktober 2010
Salam sejahtera. Penulis (abgreds) fikir mungkin ada sebahagian daripada pembaca blog ini dapat ‘membaca’ sedikit latar belakang penulis.
Walaupun penulis tidak membayangkan secara terang, sebahagiannya ada di dalam hasil tulisan-tulisan penulis di blog.
Sekadar satu pencerahan, penulis akui mempunyai minat dan kecenderungan dalam hal bahasa dan budaya melayu. Sebab itu penulis memilih ‘kosa kata Abgreds’ sebagai slogan blog ini.
Tetapi barangkali menjadi satu kemusykilan pula apabila pembaca menelusuri artikel-artikel di blog ini. Tiada pun artikel mengenai bahasa mahupun budaya? Malahan, sebahagiannya langsung seperti ‘merosakkan’bahasa.
Benar, itu juga penulis akui. Tetapi penulis tidak berniat untuk merosakkan bahasa. Penulis mempunyai alasan serta tujuan tertentu untuk mempersembahkan tulisan dalam bentuk yang demikian.
Bagaimana pun, penulis tidak berhasrat untuk membincangkan perkara tersebut dalam artikel kali ini. Sebaliknya, penulis ingin memberitahu sedikit pandangan peribadi penulis berkenaan isu bahasa di sini.
Beberapa waktu yang lalu, isu bahasa amat dekat di hati penulis. Bermula di zaman persekolahan hingga tamat dan mula bergelar pekerja.
Kempen-kempen berkaitan bahasa seperti Bulan Bahasa Kebangsaan, Cintailah Bahasa Kita, dan macam-macam lagi, sentiasa diberi perhatian penulis. Namun, perhatian penulis sedikit berkurang lantaran komitmen penulis sekarang .
Bukan bererti penulis sudah jemu atau tidak lagi menyayangi bahasa melayu ini. Penulis cuma berasa sedikit lelah dan terkilan. Penulis ada mengikuti perjuangan beberapa tokoh bahasa kontemporari.
Ternyata mereka juga menghadapi hambatan uji yang bukan sedikit. Hanya kerana mahu melihat bahasa melayu menjadi tuan di negara sendiri – banyak usaha, waktu, tenaga dan wang ringgit dikorbankan.
Tetapi hasilnya masih mengecewakan. Malahan hingga hari ini frasa ‘sila rujuk versi Bahasa Inggeris’ untuk dokumen-dokumen tertentu masih kelihatan. Belum lagi isu terjemahan aksara yang kini cuma ditukarkan ejaannya saja.
Banyak lagi isu bahasa jika penulis ingin senaraikan. Tetapi cukuplah sekadar itu. Peranan yang amat penting dan mencabar kini menanti mereka yang profesional di bidang bahasa dan terjemahan ini.
Mereka telah menerbitkan pelbagai karya akademik dan ilmiah tentang bahasa. Tetapi soal perlaksanaan, penggunaan dan memartabatkan bahasa melayu itu sendiri masih merupakan jalan yang panjang.
Penulis masih menaruh harapan agar kalangan pengamal bahasa ini dapat berbuat sesuatu yang boleh memberi kesan langsung terhadap perkembangan bahasa melayu ini.
Penulis juga memohon maaf sekiranya penulis termasuk mereka yang ditakrif sebagai ‘perosak bahasa’, lantaran hasil tulisan penulis di blog ini.
Itu cuma cara penulis mendekati khalayak pembaca. Penulis ingin mereka mesra dengan gaya karya dan artikel penulis terlebih dahulu.
Selebihnya, penulis cuba menyelitkan dan memperkenalkan beberapa aksara yang barangkali tidak diketahui oleh pembaca.Bolehkah ini dinamakan sebagai satu usaha? Terpulang kepada persepsi pembaca sekalian.
Abgreds : belajar berbahas, belajar berbahasa…

No comments:

Post a Comment