kawan

Saturday 7 May 2011

analogi cinta dalam panji semirang

“ Anak panahnya yang dipegangnya seolah-olah hendak gugur ke bumi dari sebab hatinya
amat rawan melihat Raden Inu. Lalu ia mengambil sapu tangan dan ditutupkannya pada
mukanya…”
                                                                                                                             (hal. 71)
“ Masakan, apabila kakanda bersahabat dengan laki-laki, boleh berkasih sayang demikian,
hingga ikat pinggannya kekanda rumrum. Kalau-kalau kekadang bersahabat dengan seorang
perempuan juga, maka kekanda perbuat demikian itu. Banyak juga laki-laki bersahabat
dengan laki-laki dan bersama-sama membuang budi, tetapi budi biasa di balas dengan budi,
tiada seperti yang diperbuat oleh kekanda itu.”
                                                                                                                             (hal. 120)
“ Jikalau hamba belum berjumpa dengan dia, tiadalah hendak kembali ke dalam negeri
Kuripan, …… tiadalah hamba akan berhenti daripada mencari Panji Semirang.

Cerita- cerita panji ialah cerita-cerita roman atau pengembaraan yang berasal dari Jawa. Cerita- cerita panji ialah golongan cerita Jawa-Melayu yang semuanya berpusatkan Sang Panji, Putera Kuripan Yang ada sifat sejarahnya tetapi tidak kurang sifat methologynya. Pokok utama cerita panji ialah Panji yang berkelana mencari kekasihnya, pasangannya yang seringkali bernama Cendera Kirana, Puteri Daha, tetapi hilang atau menyamar diri dan menjelma sebagai orang lain. Selama ia berkelana, Panji mengalami bermacam-macam peristiwa hingga akhirnya ia bertemu semula dengan kekasihnya.
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, penulis memilih falsafah “Kesetian Cinta” berdasarkan Hikayat Panji Semirang. Terangkum dalam pengertian cinta ialah perasaan kasih sayang, kesefahaman, kesetiaan, pengorbanan, kejujuran, hormat- menghormati, cemburu, ingin dipujuk rayu, dan kerinduan. Hikayat Panji Semirang menceritakan tentang pengembaraan Raden Inu Katarpati, Putera Ratu Kuripan mencari tunangnya Galoh Cendera Kirana yang telah lari daripada istana kerana angkara ibu tirinya, Paduka Liku. Semasa mengembara kadang-kadang dua kekasih yang saling mencari ini pernah bertemu tetapi tidak mengenali antara satu sama lain kerana masing-masing menyamar. Pelbagai peristiwa suka duka dialami oleh wira dan wirawati. Akhirnya dua kekasih itu bertemu semula dan saling mengenali. Penyamaran terbongkar, mereka berkahwin dan hidup bahagia selama-lamanya.
Dalam Hikayat Panji Semirang. Falsafah cinta lebih menonjol kepada cinta antara dua kekasih yang telah bertunang iaitu antara Galoh Cendera Kirana dengan Raden Inu Katarpati. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, kedua-duanya apabila ditunangkan oleh orang tua masing-masing merindui. Ini menunjukkan cinta murni dan ingatan dua kekasih yang sedang bercinta.
Sebagai tanda ingatan dan pengganti diri Raden Inu Katarpati mengirimkan patung kencana buatan tangannya sendiri kepada Galoh Cendera Kirana. Galoh Cendera Kirana amat gembira dan bahagia menerima Cenderamata daripada kekasihnya. Patung kencana itu menjadi pengubat rindu dan duka lara dalam kehidupannya. Hadiah itu amat berharga. Ia enggan menyerahkan atau ditukar dengan patung milik Galoh Anjeng. Galoh Cendera Kirana sanggup berkorban menghadapi halangan dan penyeksaan daripada tindakan kejam Ratu Daha demi mempertahankan haknya. Tindakan ini melambangkan kesetiaan ia mempertahankan milik cinta sucinya terhadap Raden Inu Katarpati.
Cinta yang mendalam terhadap kekasihnya membuatkan Galoh Cendera Kirana Senantiasa merindui Raden Inu pada setiap waktu dan di mana sahaja ia berada. Perasaan Ini jelas tergambar ketika Galoh Cendera Kirana berhadapan dengan kekasihnya itu. Ia tidak dapat menahan perasaannya ketika berhadapan dengan orang yang amat dicintainya. Setiap waktu Galoh Cendera Kirana akan merindui kekasihnya.
Demikianlah perasaan Galoh Cendera Kirana terhadap kekasihnya. Setiap malam apabila tiba waktu tengah malam Galoh Cendera Kirana akan bermain-main dengan anak patung kencana pemberian berharga tunangnya. Begitulah keadaan Galoh Cendera Kirana. Di mana sahaja ia berada, tiba waktu malam ia melepaskan rindunya terhadap Raden Inu Katarpati dengan bermain-main bersama anak patung tersebut.
Ketika Raden Inu Katarpati berada di kota Panji Semirang, Galoh Cendera Kirana yang menyamar sebagai Panji Semirang enggan tidur bersama-sama Raden Inu Katarpati kerana bimbang rahsianya terbuka. Ia juga tidak dapat bermain dengan patung kesanyangannya. Semasa berada di Biku Gandasari ketika menyamar sebagai pemain gambuh mengembara hingga ke Gegelang, ia tetap bermain dengan anak patungnya. Di sini jelas menunjukkan bahawa cinta suci Galoh Cendera Kirana pada kekasihnya tidak pernah luput walau di mana sahaja ia berada.
Perasaan rindu jelas dirasai oleh Raden Inu Katarpati. Setiap saat dan ketika, di mana-mana sahaja ia berada belum menemui Raden Galoh Cendera Kirana, selagi itulah rindunya tidak pernah terubat. Walaupun terpaksa melalui perjalanan yang amat sukar penuh onak dan duri, terpaksa memakan apa-apa sahaja yang ada, namum Raden Inu Katarpati tetap tabahkan hati dan semangatnya begitu kental untuk meneruskan pencarian. Hal ini kerana tujuan pengembaraannya semata-mata ingin menemui kekasihnya Galoh Cendera Kirana.
Kesetiaan Raden Inu Katarpati jelas terlihat apabila ia mengetahui bahawa Panji Semirang ialah kekasihnya, setiap malam ia akan mencium tali pinggang yang dihadiahkan kepadanya oleh Galoh Cendera Kirana. Keaadaan tersebut diragui oleh Galoh Ajeng kerana katanya ia tidak pernah melihat orang lelaki yang begitu kasih kepada kawan lelakinya seperti yang dilakukan oleh Raden Inu terhadap Panji Semirang. Namun hakikatnya, hanya Raden Inu yang mengetahui segala-galanya terhadap perlakuan yang dilakukan olehnya.
Perkahwinannya dengan Galoh Ajeng sedikit pun tidak membawa erti dalam kehidupan Raden Inu Katarpati kerana perkahwinan itu dilakukan secara paksaan. Ia tidak menyintai Galoh Ajeng, malah benci dengan sikap Galoh Ajeng. Akhirnya Raden Inu membawa diri mengembara dengan satu tujuan yang kental iaitu mencari tunangnya Galoh Cendera Kirana. Begitulah setianya Raden Inu terhadap kekasihnya. Orang yang bercinta sanggup berkorban apa-apa sahaja. Demikian juga Raden Inu Katarpati, demi cinta sucinya kepada Galoh Cendera Kirana ia sanggup mengembara menempuhi berbagai-bagai rintangan dan kesusahan kerana mencari kekasihnya itu. Raden Inu Katarpati telah bertekad bahawa selagi ia tidak berjumpa dengan Galoh Cendera KiranaIa tidak akan sekali-kali kembali ke negeri Kuripan dan ia tidak akan berhenti mencari Panji Semirang.
Dalam hikayat Panji Semirang ini jelas memperlihatkan falsafah “kesetian cinta.” kedua-dua kekasih yang saling cinta-menyintai akan berusaha menumpukan sepenuh taat setia kepada kekasihnya. Raden Inu Katarpati dipaksa berkahwin dengan Galoh Ajeng. Oleh kerana terpaksa, perkahwinan itu tidak membawa kebahagiaan kepada Raden Inu. Akhirnya Raden Inu melarikan diri daripada Daha. Galoh Cendera Kirana pula setia menunggu dan menanti saat petermuan dengan Kekasihnya Raden Inu Katarpati. Walaupun ia membawa diri, membawa hatinya yang lara kerana menyangka Raden Inu Katarpati gembira berkahwin dengan Galoh Ajeng tetapi ingatan dan perasaanya tetap setia pada kekasihnya itu. Kesetian cinta, serta ingin mempertahankan dcinta sucinya, Galoh Cendera  Kirana dalam masa penyamaran sebagai Panji Semirang cuba sedaya upaya mengelakkan diri  daripada tidur bersama-sama Raden Inu Katarpti. Ia berusaha mempertahankan kesucianmaruah dirinya yang juga bermakna mempertahankan kesucian dan kesetiaan sinta terhadap kekasihnya Raden Inu Katarpati.
Dewasa ini, semakin sukar untuk kita menemui nilai kesetiaan cinta yang sebenar seperti yang digambarkan dalam Hikayat Panji Semirang. Kebanyakkan manusia kini tidak lagi mementingkan nilai kesetiaan cinta dalam sesebuah hubungan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku, kita sepatutnya memupuk nilai-nilai positif dalam sesebuah hubungan agar hubungan yang terjalin akan kekal hingga ke alam syurga yang kekal abadi.


No comments:

Post a Comment