kawan

Tuesday 3 May 2011

hikayat carang kulina

Pengenalan
Cerita-cerita Panji adalah cerita-cerita pengembaraan yang berasal dari Jawa dan dari cerita-cerita utamanya dapat digolongkan dalam satu golongan yang sekarang ini dikenali sebagai cerita Panji. Perkataan “panji” adalah berasal dari Jawa dan dengan sendirinya membezakan sastera Panji ini daripada cerita-cerita yang berasal dari Hindu seperti Ramayana, Mahabharata dan lain-lain serta cerita-cerita dari Islam seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Malik Saif al-Yazan dan seumpamanya.
Menurut A. Teeuw, dalam Syair Ken Tambuhan telah menyebutkan cerita-cerita Panji adalah tergolong dalam golongan cerita Jawa-Melayu yang semuanya memberi perhatian kepada Sang Panji. Tema utama dalam cerita Panji ialah Panji yang mengembara mencari kekasih atau pasangannya yang seringkali bernama Candera Kirana yang menghilangkan diri atau melakukan penyamaran.
Perkataan “Panji” atau “Apanji” berasal dari bahasa Jawa kuno yang ertinya menurut S. Prawiroatmodjo adalah gelaran bagi bangsawan, pangkat dalam ketenteraan dan pangkat setingkat Wedana. Manakala, Poerbatjaraka pula menyatakan bahawa dalam babak-babak Jawa dan juga dalam penyebutan nama raja-raja “Jawa Lama” seringkali muncul nama Panji. Dalam cerita-cerita panji, “Panji” tidak semestinya bermakna putera, tengku atau raja kerana gelaran yang sinonim dengan tengku atau raja adalah “Raden”. Raden Inu contohnya bermaksud “raja muda” atau “putera mahkota”. Hal ini samalah juga dengan Perbatasari yang bergelar Raden Inu Ing Kediri dan Galuh Candera Kirana. Gelaran-gelaran demikian sesuai dengan tengku atau raja dan kerana itu tidak sesuai untuk dikatakan sinonim dengan “Panji”.        
Seterusnya, dalam kebanyakan cerita panji, gelaran panji tidak hanya diberikan ketika anak-anak raja itu lahir contohnya Raden Inu Kertapati dalam Panji Kuda Semerang bergelar Kuda Rawesrenga dan kerana tempat tinggalnya bernama Prana-jiwa maka dia dipanggil Pangiran Prana-jiwa. Dalam kebanyakan cerita pula, sebelum dia menggunakan nama panji, dia dipanggil dengan nama ringkas sahaja iaitu Raden Menteri. Kebanyakan nama-nama panji dipakai oleh seseorang watak apabila dia mula mengembara atau akan memasuki sesebuah negeri. Sebagai contoh, Raden Inu Kertapati dalam Panji Kuda Semerang mula bergelar panji ketika dia masuk ke Mataun setelah bertapa dan mendapat ilmu kesaktian di Gunung Danuraja.
Dapat dilihat juga apabila gelaran “panji” itu hanya diberikan kepada pelaku-pelaku utama sahaja, tidak kepada semua anak-anak raja atau orang-orang bangsawan. Dalam kebanyakan cerita, Raja Gegelang dikatakan mempunyai seorang putera bernama Raden Singa Menteri. Di sepanjang cerita, walaupun pada beberapa tempat ia pernah berperang dengan gagah di pihak panji, ia tidak pernah diberi gelaran panji. Dapatlah juga dikatakan bahawa gelaran “Panji” pada mulanya menandakan seseorang itu berketurunan raja atau bangsawan seperti yang disebutkan oleh Pigeaud, tetapi pada beberapa tempat merupakan satu penghargaan yang membawa erti istimewa atau agung.
Latar Belakang Kajian
Pengkaji telah melihat kajian-kajian yang lepas dengan mengambil kajian Abdul Rahman Kaeh melalui bukunya “Hikayat  Misa Taman Jayeng Kesuma”. Dalam buku ini, Abdul Rahman Kaeh telah melakukan kajian terhadap hikayat ini berpandukan tesisnya. Melalui buku ini, Abdul Rahman Kaeh telah mengemukakan pendapat-pendapat sarjana tentang konsep panji dan ciri-ciri cerita panji.
Sarjana Barat iaitu Poerbatjaraka telah mengemukakan Sembilan buah cerita panji dengan membuat singkatan cerita-cerita itu sambil membandingkan unsur-unsur yang dianggapnya pokok. Pada umumnya, segala kajian mengenai cerita-cerita panji, para pengkaji akan menyingkap dua aspek yang terpenting. Pertama sekali adalah mengenai asal-usul cerita panji yang dihubungkan dengan sejarah dan mitosnya dan yang kedua ialah sejarah perkembangan cerita-cerita panji.
Abdul Rahman Kaeh menyatakan bahawa kemungkinan besar cerita panji itu telah ada pada zaman Jawa kuno tetapi keadaannya masih lagi dalam bentuk lisan. Oleh kerana cerita-cerita panji baru wujud, sudah tentu akan mengambil masa untuk mendapat tempat di kalangan masyarakat yang sudah terbiasa dengan cerita-cerita Hindu. Apabila berlaku ekspedisi Pa-Malayu (1227 Masihi), cerita-cerita panji yang baru muncul dalam bentuk lisan ini mungkin dibawa bersama oleh tentera-tentera Jawa yang kemudiannya disalurkan melalui lisan atau wayang topeng. 
Tujuan Kajian
Tujuan kajian adalah untuk mengkaji dan menganalisis cerita panji iaitu Hikayat Carang Kulina (HCK) berdasarkan ciri-ciri cerita panji yang telah dikemukakan oleh Harun Mat Piah dalam bukunya yang berjudul Cerita-Cerita Panji Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1980.

 Kaedah Kajian
Kaedah yang digunakan dalam penyelidikan tentang Hikayat Carang Kulina ialah kaedah perpustakaan. Pengkaji menggunakan bahan sokongan daripada artikel-artikel dari internet dan juga dari buku-buku karya Harun Mat Piah sendiri. Sumber rujukan utama yang digunakan adalah cerita panji yang berjudul Hikayat Carang Kulina yang diselenggarakan oleh Marzukhi B. Nyak Abdullah dan Fatimah Bt. Salleh. Selain itu, bagi menganalisis data pula, penulis telah menggunakan buku Cerita-Cerita Panji Melayu karya Harun Mat Piah. Pengkaji melihat buku ini melalui ciri-ciri utama cerita panji sahaja untuk dianalisis terhadap Hikayat Carang Kulina. Buku ini telah menjelaskan tentang aspek-aspek yang wujud dalam sesebuah cerita panji.
Bahan Kajian
Bahan kajian yang ingin dikaji ialah sebuah cerita panji yang bertajuk Hikayat Carang Kulina yang diselenggarakan oleh Marzukhi B. Nyak Abdullah dan Fatimah Bt. Salleh. Buku ini telah diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd Kuala Lumpur pada tahun 1994. Hikayat Carang Kulina adalah salah satu daripada ratusan karya istana yang ditulis dalam tulisan Jawi. Hikayat ini tergolong dalam cerita panji yang merupakan hasil kesusasteraan dari Jawa yang mempunyai pengaruh yang luas sekali.
Hikayat ini asalnya ialah sastera kekawin bahasa Jawa yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dalang Nangkara yang arif merencanakan lakonan. Hikayat Carang Kulina adalah cerita panji yang mengisahkan tentang seorang raja daripada keturunan keinderaan yang bernama Betara Kerma Sakti dan menjadi Ratu Kuripan. Beliau mempunyai lima orang anak. Yang sulung dirajakan di Kuripan, yang kedua dirajakan di Daha, manakala yang ketiga menjadi Ratu di Gegelang dan yang keempat ialah seorang puteri yang menjadi permaisuri Bali dan anak yang bongsu menjadi raja di Singasari. 
Nama sebenar Carang Kulina ialah Raden Galuh Pesanggit Ninggrat, puteri Daha yang dikatakan sangat cantik rupa parasnya. Dia ditunangkan dengan Raden Inu atau Raden Asmara Jaya dari kecil. Raden Asmara Jaya yang ingin melihat kecantikan Raden Galuh Pesanggit Ninggrat telah menyuruh orang untuk melukiskan wajah Raden Galuh Pesanggit Ninggrat akan tetapi kerana sakit, dia tidak dapat turun ke balai istana. Orang tersebut telah melukis gambar adik Raden Galuh Pesanggit Ninggrat yang tidak cantik dan mempersembahkannya kepada Raden Asmara Jaya. Selain Raden Galuh Pesanggit Ninggrat, Raden Asmara Jaya turut menyuruh orang melukis gambar Puteri Bali bernama  Raden Galuh Cendera Kesuma yang cantik.
Sudah tentulah Raden Asmara Jaya memilih Raden Galuh Cendera Kesuma. Setelah beberapa ketika, Raden Asmara Jaya berkahwin dengan Raden Galuh Cendera Kesuma. Selepas daripada beberapa siri peperangan, Raden Asmara Jaya berkunjung ke Daha dan amat terkejut melihat kejelitaan Raden Galuh Pesanggit Ninggrat. Beberapa kali Raden Asmara Jaya cuba menggoda Raden Galuh Pesanggit Ninggrat namun Raden Galuh semakin benci dan atas hasutan adiknya yang tidak cantik itu.
Raden Galuh Pesanggit Ninggrat telah beberapa kali membunuh binatang kesayangan Raden Asmara Jaya, namun tidak pula dimarahi oleh Raden Asmara Jaya, malah bertambah sayang dan geram akan dia. Namun demikian tahap kesabaran Raden Asmara Jaya sampai ke hujungnya apabila Raden Galuh Pesanggit Ninggrat dengan sengaja membaling pisau dan terkena pelipis Raden Asmara Jaya sehingga luka. Raden Asmara Jaya sangat marah dan berangkat pulang. Raden Galuh Pesanggit Ninggrat dimarahi oleh ayahanda dan bondanya dan tidak mengaku anak, lalu keluarlah Raden Galuh Pesanggit Ninggrat dari Daha mengadu untung nasib di tempat orang. 
Diringkaskan cerita, orang suruhan Raden Asmara Jaya yang ketinggalan terjumpa Raden Galuh Pesanggit Ninggrat yang kusut masai dan membawanya berjumpa Raden Asmara Jaya, sangatlah kasihan akan dia melihat Raden Galuh Pesanggit Ninggrat, akan tetapi bila dia sedar akan perbuatan Raden Galuh Pesanggit Ninggrat dia meninggalkannya semasa Raden Galuh tidur keletihan. Namun begitu, semasa berburu, bertemu jugalah mereka kembali seakan-akan jodoh layaknya. Raden Asmara Jaya mengambil keputusan untuk mengubah wajah dan perwatakan Raden Galuh Pesanggit Ninggrat menjadi laki-laki tanpa disebutkan apa alasannya dan memberi amaran kepada hamba sahayanya.
Kisah seterusnya adalah cerita perlakuan Carang Kulina yang bertujuan untuk menyakitkan hati Raden Asmara Jaya namun hanya menambah belas simpati Raden Asmara Jaya kepadanya. Di akhir cerita Carang Kulina atau Raden Galuh Pesanggit Ninggrat kembali ke Daha dan Raden Asmara Jaya yang kecewa pergi bertapa.

Batasan Kajian
Batasan kajian yang dilakukan adalah hanya berdasarkan kepada ciri-ciri cerita panji yang wujud dalam Hikayat Carang Kulina dengan merujuk kepada ciri-ciri cerita panji yang telah dikemukakan oleh Harun Mat Piah. Ciri-ciri cerita panji yang ada pada hikayat tersebut difokuskan dengan lebih mendalam lagi.
Dalam melakukan kajian ini, penulis membataskan kajian dengan hanya melihat dari aspek ciri-ciri cerita panji sahaja dengan menggunakan buku karya Harun Mat Piah yang bertajuk Cerita-Cerita Panji Melayu. Kajian ini dibataskan bagi melihat aspek cerita panji yang terdapat dalam Hikayat Carang Kulina dengan berpandukan kepada ciri-ciri cerita panji sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Harun Mat Piah.


Konsep
Menurut S. Prowiroatmodjo, “Panji” ialah gelaran langsung bangsawan, pangkat dalam ketenteraan atau yang setaraf dengan pangkat Wedana. Pandangan ini ada kebenaran kerana gelaran ini hanya digunakan oleh tokoh protagonis dan tidak antagonis. Tokoh protagonis (wira) berketurunan bangsawan seperti Raden Inu, putera kepada Raja Kuripan dan tidak daripada orang kebanyakan seperti yang diberikan oleh Pigeaud.
     Pandangan Pigeaud ini telah diberikan terlebih dahulu oleh Poerbatjaraka dan beliau telah menegaskan bahawa nama “Panji” ini telah digunakan dalam susur-galur keturunan raja-raja Jawa sebagaimana yang terdapat dalam kitab “Babad Tanah Jawa” dan gelaran panji digunakan oleh anak panji (Panji) Amiluhur yang menjadi raja di Jenggala.  (M. Ramlan, 1975:5 dan Abd. Rahman Kaeh, 1989:18)
     Gelaran “Panji” sebenarnya hanya diperuntukkan kepada anak raja (khususnya wira dan wirawati) sewaktu mereka berkelana dan mengembara mencari kekasihnya. Gelaran “Panji” ini digunakan sebagi satu perisai yang melindungi diri tokoh agar tidak dikenali orang-orang yang ditemuinya. Gelaran ini juga terpaksa digunakan sebagai azimat kekuatan kerana ketika pengembaraan dan penyamaran inilah tokoh terpaksa melawan segala kemungkinan yang mendatang.


     Dalam beberapa tokoh yang memberikan maksud panji itu, kami akan memberikan ciri-ciri umum cerita panji yang telah dinyatakan oleh Harun Mat Piah dalam bukunya yang bertajuk “Cerita-Cerita Panji Melayu”. Menurut beliau, ciri-ciri umum sastera panji mempunyai sepuluh babak iaitu;
1) Asal usul keturunan raja jawa
2 )Ratu-ratu kuripan dan Daha inginkan anak
3)Penjelmaan dewa-dewa dan kelahiran watak-watak utama
4)Peristiwa yang menyebabkan pengembaraan panji
5)Pembunuhan kekasih panji
6)Perburuan dan sayembara
7)Babak-babak peperangan
8)Galuh atau panji sakit
9)Galuh dan sira panji menyamar
10)Permainan wayang
11)Petemuan akhir dan perkahwinan pelaku-pelaku utama
     Daripada yang disebutkan diatas konsep panji sendiri merangkumi pelbagai maksud yang diberikan bedasarkan apa yang dikaji. Cerita panji sebenarnya adalah berkaitan dengan peristiwa golongan pembesar seperti raja-raja yang diberikan ilmu sakti oleh para dewa dengan diselitkan dengan elemen-elemen untuk menaikkan pengaruh raja-raja tersebut. Cerita panji bagi penulis adalah sebuah teks sejarah yang memaparkan kisah-kisah raja jawa dan perjalanan hidupnya dari cerita sedih sehinggalah menemui kebahagian pada akhirnya.
Plot dan Bentuk Cerita
Salah satu ciri penting dalam cerita-cerita panji ialah adanya satu susunan plot dan bentuk cerita yang berbeza dengan cerita-cerita bukan panji. Pada hakikatnya, tema cerita-cerita panji adalah di dalam lingkungan pengembaraan Panji (Raden Inu Kertapati) mencari kekasihnya (Galuh Candera Kirana). Tema ini terjalin dalam satu plot yang tersusun sehingga dapat dirasa dan dikenal dengan mudah dalam hampir kesemua cerita panji. Panji biasanya dikatakan telah bertunang dengan Galuh Candera Kirana tetapi oleh kerana sesuatu sebab mereka telah berpisah atau terpisah.
Oleh kerana itu, panji telah mengembara dan berusaha mencari kekasihnya setelah menempuh pelbagai kesulitan dan kesusahan yang pada pengakhiran cerita mereka kembali bertemu semula. Mungkin dalam pertemuan ini mereka berkahwin ataupun terus memadu kasih walaupun biasanya salah seorang atau kedua-duanya menyamar menjadi orang lain. Pertemuan itu tidak kekal kerana dengan sesuatu sebab pula kedua-duanya berpisah kembali dan selepas itu masing-masing mengembara mencari yang lain hingga bertemu seketika dan kembali berpisah.
Hanya setelah beberapa pertemuan dan perpisahan, barulah mereka bertemu semula, mengenali pasangan masing-masing dan berkahwin serta hidup sebagai suami isteri yang bahagia. Dalam peristiwa perpisahan dan pertemuan inilah terselitnya pelbagai peristiwa lain yang mana masing-masing mempunyai perkembangan dan penyelesaiannya sendiri. Semasa peristiwa-peristiwa itu berlaku, turut dikemukakan watak-watak lain yang tidak kurang pentingnya daripada watak wira dalam cerita tersebut.
            Terdapat juga hikayat-hikayat panji yang tidak begitu jelas memperlihatkan peristiwa pertemuan dan perpisahan itu. Berbagai-bagai pendapat yang dinyatakan oleh pengkaji terhadap bentuk cerita dan plot yang sedemikian. Sesetengahnya menghubungkan dengan mitologi Greek terhadap perhubungan bulan dan matahari yang sentiasa kejar-mengejar. Rassers misalnya berpendapat bahawa perkahwinan antara panji dengan puteri Daha yang menempuh pelbagai halangan itu mungkin melambangkan perkahwinan antara nenek moyang mereka dalam masyarakat primitive yang masih ada dalam kenangan mereka. Perkahwinan itu terhasil hanya selepas menempuhi pelbagai dugaan dan penderitaan yang mesti ditempuh oleh kedua-dua pihak terutamanya pihak lelaki. Penderitaan sedemikian mungkin berasal dari adat yang meletakkan percubaan-percubaan kepada pihak-pihak itu menurut amalan dalam masyarakat Jawa.
Walau apapun pendapat para pengkaji, dapat dilihat bahawa cerita-cerita panji mempunyai suatu bentuk cerita, susunan plot dan jalinan peristiwa yang tersendiri yang tidak dapat ditemui dalam cerita-cerita klasik Melayu lain yang bukan panji. Dari segi bahasa, cerita-cerita panji memperlihatkan pengaruh Jawa. Manakala dari aspek gaya cerita, kelihatan juga beberapa keadaan yang berbeza misalnya dalam menceritakan pakaian dan perhiasan puteri-puteri raja ketika menghadiri perayaan atau ke medan peperangan. Dalam menggambarkan kecantikan seorang puteri, cerita-cerita panji menggunakan perbandingan kepada bunga yang indah, dihiasi dan diletakkan di tempat yang indah.
 Unsur dan Peranan Dewa
Unsur-unsur dan peranan dewa turut wujud dalam cerita panji. Hampir semua dalam cerita-cerita panji, dewa mempunyai peranan yang luas bermula dari menurunkan watak-watak dalam cerita tersebut, mengadakan peristiwa-peristiwa sehingga kepada tindakan watak tersebut dalam menghadapi peristiwa-peristiwa yang sengaja diaturkan oleh dewa itu. Peranan dewa-dewa dalam sesebuah cerita biasanya dimulai dari babak di kayangan. Dalam perlakuan watak pula yang merupakan punca peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita adalah juga ditetapkan oleh para dewa. Kepercayaan terhadap kekuasaan para dewa telah diwarisi daripada ajaran-ajaran agama Hindu dan Buddha. Kekuasaan itu bukan hanya dalam hal-hal itu sahaja tetapi meliputi semua aspek seolah-olah dewa-dewa itu benar-benar mempunyai kekuasaan yang dapat menjadikan segala-galanya.
Menurut pendapat para pengkaji, unsur dan peranan dewa-dewa dalam cerita panji ini mempunyai kaitan rapat dengan mitologi masyarakat Jawa. Cerita-cerita panji banyak mengandungi unsur-unsur mitos, unsur mistik dan pada beberapa tempat wujud unsur sejarah. Mitos Jawa mempunyai kaitan rapat dengan dewa-dewa dan dalam cerita-cerita panji. Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan menunjukkan dewa-dewa itu amat berkuasa dan sentiasa terlibat dengan kehidupan manusia seharian kerana itu peranan dewa-dewa dalam cerita panji lebih nyata dan penting berbanding cerita bukan panji.


1.6.3 Penjelmaan dan Inkarnasi
Unsur penjelmaan dan inkarnasi juga terdapat dalam cerita-cerita panji. Dewa-dewa dan watak-watak utama dalam cerita itu dikatakan boleh menjelmakan diri menjadi binatang, raksasa, garuda dan sebagainya. Dewa-dewa yang menjelma itu biasanya merupakan musuh kepada watak utama tetapi setelah dikalahkan ia menjadi sahabat kepada watak utama itu.
Watak-watak utama khasnya panji boleh menjelmakan diri menjadi sesuatu yang lain terutamanya dalam peperangan apabila lawannya juga menjelmakan diri kepada benda lain untuk melawannya. Hampir kesemua cerita panji Melayu pada bahagian permulaannya menerangkan bahawa watak-watak utamanya ialah penjelmaan dan inkarnasi dari dewa-dewa. Kepercayaan terhadap penjelmaan dan inkarnasi ini dapat dikatakan sebagai pengaruh daripada ajaran Hindu dan Buddha yang telah begitu mesra dengan masyarakat Melayu dan Jawa.
Pertukaran Nama-Nama Watak
Dalam semua cerita-cerita panji, didapati watak-watak utamanya menukarkan nama-nama mereka dengan pelbagai gelaran. Babak-babak itu berlaku berulang kali sehingga satu-satu watak mempunyai lebih dari satu nama. Raden Inu Kertapati mempunyai lapan nama dalam Hikayat Galuh Digantung manakala Galuh Candera Kirana mempunyai empat nama dalam Hikayat Kuda Semerang.
Dapat dikatakan bahawa pertukaran nama watak-watak ini adalah merupakan satu ciri yang penting untuk mengenali dan membezakan cerita panji dengan cerita bukan panji. Pertukaran nama watak-watak dalam cerita panji mempunyai hubungan rapat dengan tradisi masyarakat Jawa. Bagi orang-orang Jawa, mereka biasanya mempunyai nama waktu lahir yang berlainan dengan nama setelah dewasa.
 Nama Tempat dan Nama Pelaku
Ciri-ciri lain cerita-cerita panji ialah latar belakang tempat. Alam yang digunakan adalah alam Jawa, nama-nama seperti Kuripan, Kediri, Daha, Singasari dan Majapahit adalah tempat-tempat yang sebenarnya wujud di tanah Jawa. Hanya sedikir sahaja disebutkan nama-nama yang lain selain dari Tumasik dalam beberapa buah cerita dan Tanjung Pura, Tanah Melayu, Pahang dan Terengganu yang disebut dalam Hikayat Dewa Asmara Jaya. Dengan melihat latar belakang tempat dalam sesebuah cerita, pembaca akan mudah mengenali dan menggolongkan cerita tersebut sebagai cerita panji. Latar tempat yang disebutkan dalam cerita-cerita panji mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Jawa.
 Analisis data
            Berdasarkan ciri-ciri umum yang dinyatakan dalam Harun Mat Piah penulis akan menganalisis sebuah Hikayat Carang Kulina (HCK) sama ada ada bertepatan dengan apa yang dinyatakan sarjana tersebut. berikut adalah beberapa cirri-ciri terkandung dalam HCK.
 Asal keturunan raja-raja jawa
Menurut Harun Mat Piah dalam semua cerita Panji baik Melayu mahupun Jawa, di mulakan dengan menceritakan asal keturunan raja-raja Jawa, khasnya yang memerintah negeri-negeri Kuripan, Daha, Gegelang, Singgahsari dan kadang-kadang Majapahit. Berikut adalah cerita yang dipetik dalam Hikayat Carang Kulina (HCK) yang berkaitan dengan asal keturunan raja Jawa. (Harun Mat Piah, 1994: 58-59)
Ada raja di Benua Jawa , empat bersaudara. Asal raja itu daripada dewa turun dari keinderaan. Tua, perempuan yang bernama Tila Raja Pati. Kerjanya bertapa juga. Selamanya tiada dia mahu bersuami. Adapun yang panggul naik raja di Kuripan. Dan yang tengah menjadi raja di Daha. Yang bongsu menjadi raja di Bali. Maka ketiganya di atas kerajaan dan terlalu adil dengan murahnya lagi perkasa kepada segala rakyat dan isinya.                                                    
                                                            ( Carang Kulina, hlm 1)

Dari petikan diatas jelas menunjukkan terdapat kisah raja-raja Jawa pada permulaan cerita. Dikatakan bahawa raja jawa berasal daripada empat orang beradik dari kanyangan yang turun ke dunia dan dilantik menjadi raja. yang paling sulung menjadi petapa, kedua menjadi raja di kuripan, ketiga menjadi raja Daha dan yang bongsu menjadi raja di Bali. Petikan tersebut juga menceritakan ketiga-tiga raja ini adalah pemerintah yang adil, pemurah, dan berjasa kepada rakyat dan negerinya.
            Jelas sekali ciri pertama ini amat bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh Harun Mat Piah tersebut kerana pada permulaan cerita dalam HCK telah menerangkan tentang asal usul raja Jawa. Selain itu, pada permulaan cerita turut dinyatakan anak-anak kepada raja tersebut.  Dalam HCK juga turut memberi pujian kepada raja yang memerintah iaitu berkelakuan baik, adil, pandai dalam peperangan dan taat setia.
 Peranan dewa
Menurut Harun Mat Piah hampir dalam kesemua cerita panji, dewa-dewa mempunyai peranan yang luas, mulai dari menurunkan watak-watak dalam cerita itu, mengadakan peristiwa-peristiwanya, hinggalah kepada aktiviti watak-watak itu dalam menghadapi peristiwa-peristiwa yang sengaja diaturkan oleh dewa-dewa itu.  (Harun Mat Piah, 1994: 124 )
Dalam analisis yang ingin dibincangkan berkaitan unsur dan peranan para dewa dalam cerita tersebut.  Dalam  HCK didapati bahawa dewa turun menemui Raden Inu untuk mewasiatkan supaya menjadi pemerintah sebuah negara.
         Maka Betara Kala pun turun mengutusi Raden Inu. Katanya ‘Diwasiatkan, moga-moga engkau jadi besar pada seisi bumi, moga-moga jangan engkau diketahui orang dan segala hamba sahaya pun jangan dikenal orang.
                                                                                 (Carang Kulina, 188)

Peranan dewa dalam petikan diatas bertindak sebagai utusan para dewata yang berkehendakkan seorang raja di Kuripan. Maka dengan itu para dewa berpakat memilih Raden Inu sebagai rajanya dan maksud tersebut telah disampaikan oleh Betara Kala.
Dalam HCK peranan dewa bukan terbatas sebagai utusan sahaja malahan sebagai penyelamat  kepada Raden Inu ketika berada dalam kesusahan,  Dalam HCK dewa hanya berperanan sebagai pengutus sahaja. Tetapi beliau menyuruh Raden Inu bertapa di gunung Alu-alu untuk menjadi lebih sakti dan berkuasa disamping berperanan sebagai penasihat dalam  petukaran nama untuk memudahkan dalam penyamaran untuk mencari Raden Galuh ingDaha.
Peristiwa penjelmaan dewa juga turut berlaku ke atas Raden Galuh ketika beliau keluar mengembara. Oleh kerana peristiwa dimana Raden Galuh dan Raden Inu berkelahi. Setelah itu berlaku peristiwa dimana Raden Galuh merajuk akibat tindakan Raden Inu mengasarinya dengan memukul Raden Galuh dengan rotan sehingga meninggalkan paruk. Dalam pengembaraan itu Betara Kala turun menemui Raden Galuh dan dibawanya ke gunung Pasangan dan diajar ilmu pertapaan sehingga menjadi seorang yang sakti seperti yang dibawah:
Maka Kalangan Aseh pun menangis sambil memeluk kaki Raden Galuh. Katanya, ‘Tuanku kemana kita ini diterbangkan rasanya pedati ini dibawa angin.’
Maka Raden Galuh pun tiada menyahut dan tahulah ia akan pedati itu tinggi rasanya ke atas bukit. Maka Betara Kala pun turun mengutusi Raden Galuh. Moga-moga barang dimana tempatmu, beroleh kebaikan dan kesukaan juga. Maka kata Betara Kala, ‘Aduh cucuku Puspita Ningrat, jangan engkau bercinta. Duduklah cucuku betapa disini juga.
  (Carang Kulina, hlm 168)

Secara keseluruhannya didapati peranan dewa dalam HCK adalah bersesuaian dengan dengan cerita ini. Walaupun berbeza sedikit dengan hikayat lain menurut Harun Mat Piah dalam bukunya. Namun begitu bagi penulis peranan dewa dalam HCK mungkin berbeza sedikit ceritanya berbanding dengan hikayat lain. Namun begitu terdapat sedikit persamaan dari segi jalan cerita yang disadurkan kepada pembaca.
 Pengembaraan panji
Menurut Harun Mat Piah Raden Inu meninggalkan Istana dengan sebab-sebab yang berhubung  dengan kekasihnya. Sama ada kerana kekasihnya yang pertama dibunuh atau tunangannya hilang, dirampas atau sengaja dipisahkan daripadanya dengan kehendak para dewa. (Harun Mat Piah, 1994: 64 )
Tetapi peristiwa yang menyebabkan pengembaraan panji dalam HCK adalah disebabkan ia dimarahi ayahdanya akibat perbuatan melukai peha Raden Inu dengan pisau. Akibat merasa malu dengan tindakkannya Raden Galuh membuat keputusan untuk keluar mengembara.
         Maka hari pun malamlah. Setelah tengah malam, orang pun habis tidur, maka Raden Galuh fikir dalam hatinya”baik aku pergi barang kemana daripada kumalu dihalau bapa aji. Suka aku mati dimakan binatang, supaya jangan panjang Maluku.
         Maka diambil kain putih nbekas tamu itu, dipakainya dan tapihnya pun putih lusuh-lusuhkan kunyit. Segala pakainya itu ditanggalkan. Suatu pun tiada dibawanya. Maka Raden Galuh pun turun berjalan. Seorang pun tiada tahu, lalu ia keluar dari lubang anjung. Maka bulan pun terang seperti menyuluh Raden Galuh berjalan itu. Burung cercap pun berbunyi seperti ia menunjukkan jalan.
                                                                          (Carang Kulina, Hlm 108)

Bagi penulis dalam HCK  akibat Raden Galuh meningalkan istananya maka Raden Inu merasakan dirinya bersalah kemudian keluar mengembara mencari tunangnya itu Disamping  atas rasa bersalah dan desakan daripada ayahnya supaya Raden Inu pergi mencari Raden Galuh. Dalam cerita ini faktor utama Raden mengembara adalah kerana kekasihnya yang telah lari dari istana dan beliau ingin mencarinya.
Raden Inu telah keluar mengembara kerana ingin mencari isteri. Sebelum mengembara Raden Inu telah mengutuskan dua penulis. Penulis pertama diarahkan pergi ke negeri Daha untuk melukis gambar tunang Raden Inu iaitu Raden Galuh ingDaha. Manakala penulis yang kedua diarahkan pergi ke Bali untuk melukis gambar Raden Galuh Bali. Penulis pertama telah pulang dengan membawa lukisan kakanda Raden Galuh iaitu Raden Andiraga yang disangkakan Raden Galuh. Raden Andiraga memiliki rupa yang tidak cantik dan garang. Penulis kedua membawa lukisan Raden Galuh Bali yang cantik. Raden Inu telah melihat kedua lukisan itu dan membuat keputusan untuk mengembara ke Bali untuk mengambil Raden Galuh Bali sebagai isteri. Akibat daripada lukisan yang dibawa balik oleh penulis itu Raden Inu tidak mahu akan tunangnya. Bagi Raden Inu beliau rela mati menjadi petapa di gunung daripada berkahwin dengan Raden Galuh Daha. Walaupun hakikat sebenarnya Raden Galuh Daha adalah perempuan yang tercantik pada masa itu yang tiada tolak bandingannya.
Maka tersebutlah perkataan Seri Nara Indera ingKuripan, selama Raden Inu mengembara itu, terlalulah sangat masygul baginda laki isteri olehnya rindu akan anakanda baginda. Baginda sentiasa menyuruh orang melihat dan bertanyakan di mana Raden Inu dan permaisuri yang lebih sangat bercinta. Sedia kala menangis juga akan anakanda baginda itu.
            Arakian, maka kedengaranlah khabar Raden Inu ada di Bali, beristeri. Maka Seri Bupati pun menyuruh orang menyurat, akan dikirim pada Raden Inu.
                                                                            (Carang Kulina, Hlm 42)



Pengembaraan yang dilakukan oleh Raden Inu dalam HCK bertepatan dengan konsep Harun Mat Piah. Hal ini dapat kerana konsep yang diketengahkan oleh Harun Mat Piah dalam pegembaraan ialah Raden Inu keluar mengembara dengan sebab-sebab berhubung dengan kekasihnya. hal ini dapat dilihat Raden Inu keluar mengembara ke Bali adalah kerana beliau sangat inginkan Raden Galuh Bali dan tidak dapat tahan akan rindunya kepada Raden Galuh Bali serta ingin mengambilnya sebagai isteri. Tetapi selepas melihat rupa sebenar tunangnya Raden Galuh Daha, Raden Inu keluar semula mengembara sehingga menjadi orang yang berkuasa di pada masa itu. Hal ini kerana setiap gunung dan negeri yang dilalui oleh Raden Inu akan diperanginya dan ditawan negeri tersebut. Hal ini adalah semata-mata kerana mencari kekasih hatinya atau tunangnya iaitu Raden Galuh ingDaha.
 Bagi penulis, tindakan tersebut merupakan sesuatu yang lazim berlaku dalam mana-mana cerita panji Melayu,dan sebelum menjumpai Raden Galuh yang sebenar iaitu heroin untuk cerita ini maka berlaku beberapa babak perkahwinan di antara Raden ini dengan puteri raja di negeri yang lain kesan daripada peperangan dan penaklukan ke atas negeri lain. Dari dua petikan dalam HCK faktor pengembaraan disebabkan oleh mencari tunangnya iaitu Raden Galuh ingDaha.
Pemburuan
Dalam ciri-ciri umum yang digariskan oleh Harun Mat Piah pemburuan merupakan diantara elemen penting dalam menyatakan cerita tersebut adalah cerita panji. Menurut  kepada Harun Mat Piah dalam kebanyakkan cerita-cerita panji Melayu terdapat kisah-kisah pemburuan dan sayembara. Tesmasya perburuan merupakan hiburan kepada raja-raja. (Harun Mat Piah, 1994: 67 )
Dalam analisis penulis yang dijumpai hanyalah kisah pemburuan dan tidak menjumpai kisah yang berunsur pertandingan. Dikisahkan bahawa Raden Inu amat gemar memburu sehinggakan pada sedang berehat apabila nampak burung melintas ia akan menyumpitnya. Seperti kenyataan Harun Mat Piah kebanyakkan cerita panji mempunyai kisah berkaitan dengan pemburuan kerana aktiviti masyarakat pada ketika itu adalah berburu untuk menghilangkan rasa bosan.
         Pada rasa hatinya seperti bermain-main dengan Raden Cendera Kesuma di taman itu. Maka dilihatnya pada pohon nagasari itu,  burung-burung pelbagai rupanya, maka ia pun mengucap, lalu turun dari atas kudanya berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam taman itu, seraya membawa sumpitan. Baik rupanya dipandang orang. Maka ia pun gemar melihat burung kekudang hinggap di dahannya seraya berbunyi terlalu riuh. Maka datang Raden Inu ke bawah nagasari, kekudang itu pun terbang pada dahan jambu, di tepi air serta baru ia hinggap memandang ke bawah seperti lalu orang bercermin. Maka Raden inu pun gemar melihat dia, lalu disumpitnya. Kena kekudang itu jatuh ke tanah. Berlari-lari si Wijil mengambil dia. Maka segala kendayan semuanya menyumput. Banyak beroleh burung pelbagai rupa.
                                                                            (Carang Kulina, Hlm 30)

Dalam pengembaraan juga Raden Inu berjumpa dengan Raden Galuh Nawang  Sakara Iaitu ketika beliau sedang mandi-manda bersama pengikutnya ketika sedang menunggu kepulangan ayahda dan bondanya yang sedang pergi membayar kaul. Setelah terpandan Raden Inu terus berkenan dan ingin menjadikannya sebagai teman mengembara ke Bali iaitu pengembaraan yang pertama Raden Inu. Berdasarkan pemerhatian penulis terhadap cerita ini, Raden Inu sememangnya seorang yang gemar berburu bersama pengikutnya iaitu Punta, Kertala, Prasanta dan Jerudeh. di sini dapat dilihat bagaimana kisah pertemuan diantara Raden Inu dengan Raden Galuh.
Peperangan
Menurut Harun Mat Piah menyatakan bahawa dalam cerita Panji, baik Melayu mahupun Jawa terdapat kisah kisah-kisah peperangan dan kepahlawanan watak-watak utamanya. Babak-babak peperangan ini diceritakan secara terperinci, meleret-leret dan bertela-tela hingga kadang-kadang menjemukan. (Harun Mat Piah, 1994: 70-71)
         Setelah dilihat Raden Inu, Ratu Jagaraga masuk perang itu. Maka ia pun tampil segera mendapatkan Ratu Jagaraga. Setelah dilihat Ratu Jagaraga rupa Raden Inu, maka ia pun tercengang berhenti seraya bertanya “Orang mana pila itu? Terlalu elok seperti Indera kulihat rupanya.
         Maka sembah Raden Inu itulah Andekan Rawa Srengga, Tuanku Inu ingKuripan. Maka Sang Nata pun gemar melihat sikapnya seperti Sang Rajuna sedang perang dengan Maharaja. Kerana demikianlah gerangan lakunya. Maka adalah sesal pada hatinya. Baginda hendak undur, maka ia sudah terlanjur, lalu dihalunya gajahnya hamper Raden Inu, dipanahnya. Maka ditangkis oleh Raden Inu dengan panahnya. Anak panah itu pun jatuh terpelanting ke tanah. Maka dibalas Raden Inu, dipanahnya kena dada Ratu Jagaraga terus ke belakang. Dan Jurudeh pun memanah Raden Aria yang mengepalakan gajah Sang Nata itu kena ulu hatinya, lalu ia jatuh ketanah lalu mati.
         (Carang Kulina, Hlm 54)
Daripada ciri-ciri sastera panji yang dinyatakan penulis  telah menjumpai babak yang menunjukkan kisah peperangan berlaku di mana berlaku ketidakpuasan hati diantara Ratu Jagaraga terhadap Raden Inu. Maka berlakulah peristiwa perang iaitu Ratu Jagaraga memanah Raden Inu tetapi panah tersebut dapat ditangkis oleh Raden Inu. 
            Dalam petikan di atas menunjukkan peperangan yang berlaku antara Raden Inu ingKuripan dengan Ratu Jagaraga. Peperangan ini berlaku kerana Ratu Jagaraga merupakan saudara kepada Ratu Singasari dan tidak dapat menerima akan perbuatan Raden Inu yang mengambil Raden Galuh Singasari. Hal ini menyebabkan Ratu Singasari berasa malu yang amat akan perbuatan Raden inu itu. Ratu Jagaraga telah tahu akan hal itu dan akan mengambil Raden Galuh pada tangan Raden Inu dengan cara apa sekalipun. Peperangan telah tercetus akibat Raden Inu berkeras ingin memiliki Raden Galuh Singasari. Dalam peperangan ini Raden Inu telah menang dan Ratu Jagaraga mati. Segala rakyat dalam negeri Jagaraga telah ditawan dan harta benda telah diambil dan dibawa ke  Kuripan. Anak Raden Inu Jagaraga iaitu Raden Sangka Derpa telah diambil oleh Raden Inu sebagai teman bermain dan Raden Puspawati telah diambil sebagai isteri.
            Bedasarkan analisis penulis terhadap babak peperangan ini ialah pada kebiasaan cerita panji sememangnya wujud kisah peperangan Raden Inu dengan beberapa orang raja di negeri-negeri yang pernah dilawatinya. Dalam peperangan di ceritakan bahawa Raden Inu tidak akan tewas dengan sesiapa sahaja. Malah, Raden akan memperisterikan puteri-puteri di negeri yang dikalahkan beliau. Dalam bacaan penulis terhadap HCK menemui sekurang-kurangnya 4 kali Raden Inu berkahwin.
Peperangan juga merupakan perkara yang wajib dalam cerita Panji. Raden Inu telah berperang dengan pelbagai negeri dan tidak pernah kalah dalam setiap peperangan itu. Akibat Raden Inu berperang juga kerana kekasih dan tunangnya iaitu Raden Galuh Daha diculik atau telah dirampas oleh negeri lain.
            Maka hari pun malamlah. Sebagai juga perang tiada diberhentikan lagi. Setelah tengah malam, maka rupa kilat senjata sabung-menyabung bercampur dengan cahaya bula baharu terbit sepert menyuluh orang berperang itu lakunya. Maka Ratu Lasem pun bertemu dengan Raden Inu sama di atas gajah. Maka kata Ratu Lasem, ‘Siapa engkau ini, maka berani lawan aku.’
            Maka sahut Raden Inu perlahan, ‘Akulah Inu ingKuripan yang mengambil puteri Singasari itu.’
            Maka Ratu Lasem pun marah. Katanya, ‘Tahanlah bekas tanganku olehmu. Jika belum, aku berkain kulit kepalamu, kuperbuat sepak raga aku, kain sari perempuan.’
            Maka sahut Raden Inu seraya tersenyum, ‘Menerima kasihlah aku, jika engkau boleh mengambil kulit kepalaku, kubilang laki-laki engkau di dunia ini.’
                                                                            (Carang Kulina, Hlm 75)

            Dalam petikan diatas menunjukkan Raden Inu telah berperang dengan negeri Lasem yang telah berpakat dengan negeri Kebalan. Hal ini berlaku kerana Raden Inu ingKuripan telah merampas tunang Raden Singa Paradas iaitu anak kepada Ratu Kebalan. Raden Singa Paradas telah ditunangkan dengan Raden Galuh singasari yang telah diambil oleh Raden Inu ingKuripan sebagai isteri semasa beliau mengembara ke Bali. Hal ini menyebabkan Ratu Kebalan ingin membalas dendam terhadap perbuatan Raden Inu dengan mengambil tunang Raden Inu yang berada di Daha iaitu Raden Galuh Pesanggit Ningrat. Ratu Kebalan telah menghantar surat kepada Ratu Daha supaya memberi Raden Galuh mereka secara rela, jika tidak mereka akan melancarkan perang. Akibat daripada Raden Galuh telah ditunangkan dengan Raden Inu ingkuripan Ratu Daha terpaksa menghadapi perang tersebut dengan meminta bantuan besannya iaitu Ratu Kuripan. Ratu Kuripan telah menerimanya dengan menghantar kedua-dua puteranya iaitu Raden Inu dan Raden Kerta Buana serta rakyatnya dalam membantu Daha daripada dihancurkan. Dalam peperangan yang berlaku Raden Inu telah menang iaitu Raden Inu telah membunuh Ratu Lasem dan Raden Kerta Buana telah membunuh Ratu Kebalan.
Peperangan yang dilakukan oleh Raden Inu dalam HCK bertepatan dengan konsep Harun Mat Piah iaitu negeri yang ingin melancarkan perang menulis surat dan menghantar utusan meminta kebenaran untuk masuk ke negeri berkenaan. Ratu negeri berkenaan mempunyai dua pilihan iaitu menyerahkan puterinya ataupun peperangan yang besar akan berlaku. (Harun Mat Piah, 1994: 72-73)
 Hal ini dapat dilihat dalam HCK Ratu Kebalan telah menghantar surat kepada Ratu Daha sebagai perundingan iaitu melepaskan puteri mereka kepada Ratu Kebalan ataupun tercetusnya peperangan yang besar. Dalam hal ini Raden Inu telah memenangi perang tersebut. Dalam analisis penulis kebanyakan perang yang dilakukan diantara Raden Inu menemui kemenangan dan tidak juga terdapat babak dalam HCK dimana Raden Inu dan Raden Galuh berperang walaupun ketika dalam penyamaran.
Panji sakit
Menurut Harun Mat Piah satu babak yang selalu terdapat dalam cerita panji Melayu ialah Galuh atau Sira Panji atau kedua-duanya mendapat sakit sama ada penyakit asli atau disengajakan oleh dewa-dewa. Galuh mendapat sakit supaya ia akan diubati oleh panji dengan demikian merupakan sebab pertemuan mereka. (Harun Mat Piah, 1994: 76)
Dari kenyataan diatas dan analisis penulis terhadap HCK berhasil mendapatkan babak yang menunjukkan Raden Inu jatuh kerana terlalu rindukan Raden Galuh. Berikut adalah petikannya:
         Maka kata Ken Bayan, “Tiada sungguh tuan, sahaja kakanda itu hendak bergurau juga kerana paduka kakanda itu banyak bininya. Masa tiada memberi ubat. Jikalau sungguh sakit, mengapa ada bermain?’
         Maka sahut Raden Kerma Jaya, “sungguh kakang, ia sakit kerana mukanya pucat-pucat dan tubuhnya terlalu kurus. Kakang Galuh! Berilah kain ini akan dia agar bangat sembuh.’
         Maka sahut Raden Galuh seraya menjeling Raden Kerma Jaya. Katanya.’Budak gila ini sungguhlah ia gila. Tiada tahu akan sakit hati. Maka ia percaya akan semua yang disakiti itu.
                                                                           (Carang Kulina, Hlm 97)

            Oleh kerana Raden Inu amat rindukan Raden Galuh dan pada masa yang sama Raden Galuh mempunyai seorang adik bernama Raden Kerma Jaya yang masih mentah. Raden Kerma Jaya Juga sangat suka kepada Raden Inu dan sentiasa mendampinginya sepanjang masa. Oleh kerana Raden Inu pandai melayani dalam bermain, berburu dan sebagainya. Raden Inu terpaksa melayani Raden Kerma Jaya kerana ingin menggunakan Raden Kerma Jaya untuk memikat kakandanya Raden Galuh Pesanggit Ningrat yang kecantikannya tiada tandinganya. Akibat terlalu rindukan Raden Galuh, Raden Inu telah jatuh sakit kerana tidak makan dan minum sepanjang hari. Hal ini telah mendorong Raden Inu meminta Raden Kerma Jaya mengambil kain selendang kakandanya sebagai pengubat  rindu padanya.
            Bagi penulis kenyataan Harun Mat Piah amat bertepatan dengan konsep cerita ini iaitu akibat kerinduan melampau Raden Inu Jatuh sakit. Dalam hal pencintaan dalam kebanyakkan karya watak hero akan berusaha memikat heroin dalam pelbagai cara sekalipun. Dalam analisis penulis, perkara yang sama turut berlaku dalam HKC apabila meperlihatkan Raden Inu menggunakan pelbagai cara untuk memikat Raden Galuh. Pekara ini jelas apabila adik Raden Galuh iaitu Raden Kerma Jaya telah diperguna oleh Raden Inu dalam memenuhi hasratnya itu.
Daripada permerhatian penulis Raden Inu telah mengalami penyakit iaitu . telah kurus dan pucat mukanya kerana sakit gila bayan. Raden Inu telah menyuruh Raden Kerma Jaya untuk mengambil tapuk (kain selendang) yang dipakai oleh Raden Galuh untuk mengubati sakit hatinya yang terlalu rindukan akan tuan puteri Galuh itu. Dalam hal ini kita dapat kita buat andaian bahawa kain selendang yang dipakai oleh Raden Galuh dapat menjadi penawar kepada sakit yang dihadapi oleh Raden Inu.
Dalam babak panji sakit juga terdapat babak dimana telah berlaku pertukaran nama iaitu Raden Inu kepada Misa Jelderi, Raden Galuh Pesanggit Ningrat kepada Tila Rara Sahata dan Jerudeh kepada Semar. Misa Jelderi yang sakit hati dan tiada tahu makan minumnya telah pergi mengembara untuk mencari Raden Galuh, tetapi dalam perjalanan Misa Jelderi telah terperangkap dalam tanah jerlus. Semar telah diperintahkan untuk mencari guru yang sakti untuk melepaskannya. Maka Semar telah berjumpa dengan guru yang sakti iaitu Tila Rara Sahata. Tila Rara Sahata setuju untuk menyelamatkan Misa Jelderi dengan Syarat Misa Jelderi menjadi hambanya. Setelah itu semar menyakinkan Tila Rara Sahata bahawa kawannya akan setuju untuk menjadi hambanya. Setelah dilihat oleh Misa Jelderi atau Raden Inu akan rupa Endang Tila Rara Sahata terubat sakit hatinya dalam percintaannya. Lupa Misa Jelderi akan yayi Galuh, malah Tila Rara Sahata juga dihatinya.
         Maka Semar pun datang hampir kepada Misa Jelderi. Katannya, Tuanku angatlah akan diri inilah Semar membawa Endang akan mengubat tuanku.
         Maka Misa Jelderi pun membuka matanya. Dilihat Tila Rara Sahata berdiri jauh sedikit daripadanya. Maka hiduplah rasanya seperti disirami dengan air. Sakitnya itu pun tiadalah berasa lagi. Maka kata Semar, ‘Tuanku berjanjilah baik mengaku jadi hambanya supaya diubatinya.
         Maka kata Misa Jelderi seraya memandang Tila Rara Sahata ‘Mana bicara tuan akan beta dan tuan perhambakan beta oleh tuan. Jikalau tujuh kali tuan jualkan pun sekali beta.
                                                                         (Carang Kulina, Hlm 172)

Daripada perkara diatas kita melihat bagaimana berlaku peristiwa panji sakit dan dalam masa yang sama Raden Galuh yang sedang dalam penyamaran diminta untuk mengubati Raden Inu yang sedang sakit itu. Jelas disini bahawa kenyataan Harun Mat Piah adalah bertepatan kerana hanya Raden Galuh sahaja yang dapat mengubati penyakit Raden Inu.
Penyamaran dan pertukaran nama
Menurut Harun Mat Piah dalam kebanyakan cerita-cerita Panji Melayu diceritakan  kisah Galuh menyamar sebagai lelaki dan Sira Panji menyamar sebagai perempuan. Hal ini berlaku sama ada sengaja watak-watak itu mahu menyamar atau disuruh oleh dewa yang berkenaan. (Harun Mat Piah, 1994:78 )
         Matanya bengkak-bengkak manis akan baiknya juga. Maka kata Raden Inu” Kakang Jerudeh, Punta, Kertala, seorang pun jangan menyatakan yayi Galuh ini. Katakana hamba yayi Galuh aku bawa itu. Barang siapa yang menyatakan yayi Galuh, orang itu akan kubunuh dan sebutnya namanya Carang Kulina.’

         Setelah itu Carang Kulina pun turun dari atas batu itu. Maka diambilnya rambutnya yang disunting itu, dipermain-mainka seraya ia menangis. Katanya”Rambutku ini pun tiada beruntung. Lalu dilontarkan ke atas dahan Nagasari itu.
                                                                          (Carang Kulina, Hlm 114)

Dalam petikan di atas Raden Inu menyuruh yayi Galuh bertukar nama kepada Carang Kulina kerana malu untuk membawa yayi Galuh balik ke Kuripan setelah Raden Inu dilukai oleh Raden Galuh. Walaupun begitu Raden Galuh ingin mengikuti Raden Inu walau kemanapun kerana telah atas perintah ayahdanya. Raden Inu juga memerintah kepada pengikutnya supaya tidak memberitahu sesiapapun akan identiti sebenar Carang Kulina, jikalau ingkar mereka akan dibunuh. Jika di tanya siapa carang Kulina  jawapannya adalah hamba kepada Raden Galuh. Kesan daripada penyamaran itu tiada seseorang pun yang tahu bahawa Carang Kulina itu adalah Raden Galuh Pesanggit Ningrat, kerana menganggap ia adalah seorang lelaki. Hal ini juga disebabkan rambutnya yang lebat itu disimpankan kepada pohon Nagasari.
Berdasarkan analisis yang didapati dalam HCK hanya Raden Galuh sahaja yang menyamar sebagai lelaki dan tidak kepada Raden Inu. Dalam kenyataan Harun Mat Piah menyatakan sebaliknya, namun begitu penulis merasakan mungkin beliau menganalisis berdasarkan kepada kebiasaan yang di selidikinya  ke atas beberapa buah cerita Panji. Tetapi setiap cerita Panji mempunyai perbezaan dan persamaannya tersendiri.
Terdapat juga unsur penyamaran di mana Raden Inu sedang menyamar menjadi seseorang yang begitu rapat dengan Raden Galuh iaitu Seri Nata. Dalam HCK ada menceritakan bagaimana Raden Inu menyamar bertujuan untuk mendapatkan cinta Raden Galuh.
         Setelah Raden Inu melihat Raden Galuh, tiadalah tertahan hatinya, lalu disambutnya Raden Galuh, diribanya, dipeluknya dan diciumnya. Maka Raden Galuh pun dari ribaannya seraya menangis. Katanya “Sampai pakulun bapa aji, tiada baik rupanya dilihat orang kerana patik sudah besar. Apatah kata orang isi negeri ini akan telampakan bapa aji.
         Maka segala inang pengasuh Raden Galuh semuanya hairan tercengang-cengang tiada boleh berkata-kata seperti orang kelu. Maka Raden Inu pun kesian mendengar kata Raden Galuh itu. Lalu diribanya pula seraya katanya”Tuanku yang seperti Kesuma segunung. Pakulun, bukan tuanku Seri Betara. Pan kakang tuan orang gila. Selama tuan pesulang ini, tiada kakanda tahu akan makan dan tidur. Tuan pandang apa? Kakanda dengan ekor mata tuan orang manis dan tegur apa kaknda dengan suara yang merdu akan segala kakang mati, sambil ia menanggalkan kekalungan itu.
                                                            (Carang Kulina, Hlm 100-101)



            Dalam petikan di atas menunjukkan bahawa penyamaran yang dilakukan adalah semata-mata untuk mendekati Raden Galuh. Oleh kerana terlalu cintakan Raden Galuh Raden Inu telah menyamar menjadi Seri Nata ingDaha iaitu bapa kepada Raden Galuh Pesanggit Ningrat. Raden Inu menyamar sebagai Seri Nata adalah untuk memudahkannya masuk ke kamar Raden Galuh dan memujuk Raden Galuh agar terima cintanya. Penyamaran itu berjaya kerana tiada siapa yang mengenali Raden Inu dalam penyamaran itu, sehinggakan Ken Bayan tergesa-gesa memanggil Raden Galuh yang sedang beradu kerana takut akan Seri Nata. Raden Galuh terus datang dan menyembah ayahdanya (Raden Inu menyamar), tetapi disambut dan dicium oleh beliau kerana tidak tahan akan rindunya itu.
Namun demikian, segala kekeliruan tersebut telah terbongkar apabila Raden Inu telah menunjukkan dirinya yang sebenar setelah beliau membuka kalung yang dipakainya. Namun demikian penyamaran ini bagi penulis adalah atas desakan naluri rindu dan Raden Inu membuat satu perancangan supaya mudah baginya masuk ke dalam istana Raden Galuh.  Bagi penulis beberapa unsur penyamaran yang dibuat adalah memudahkan sesuatu perkara dibuat sama ada untuk soal pencintaan, peperangan,dan lain-lain.
Penyamaran yang dilakukan juga adalah mengelakkan dari berlakunya perkara yang tidak diingini semasa pengembaraan dan Raden Inu bertukar nama atas dasar keselamatan kerana janji beliau akan menyerang mana-mana negeri yang dilaluinya semasa pengembaraan. Dengan pertukaran nama ini maka mudahlah bagi Raden untuk bergerak.
 Pertemuan Akhir Dan Perkahwinan Pelaku-Pelaku Utama
Menurut Harun Mat Piah dalam semua cerita-cerita Panji, kelihatan adanya plot yang sama: wira dan wirawati seolah-olah telah ditetapkan untuk bertemu, berkasih, berpisah dan bertemu lagi. Yang akan diperlihatkan di sini ialah babak pertemuan yang mengakhiri drama bertemu berpisah itu dan yang merupakan sebab terbukanya rahsia penyamaran diri masing-masing. Babak ini kemudiannya diikuti dengan perkahwinan rasmi antara Raden Inu  dan Raden Galuh serta putra-puteri yang telah disebutkan dahulu. (Harun Mat Piah, 1994: 83)
                                                                                                                       Maka Sang Nata kedua pun datang memimpin tangan Sira Panji. Maka Ken Lungar Sasa pun disuruh turun menyembah Sang Nata kedua. Maka titah Sang Nata kepada Sira Panji, ‘Tuan, sambutlah tangan adinda, bawa menghindari tuntutan.
Maka segala bini menteri mengiringkan. Maka semuanya gemar melihat Sira Panji dan Ken Lungar Sasa, seperti bulun dan matahari, sama baik parasnya. Setelah tujuk kali berkeliling, maka lalu ke penghadapan. Maka didudukkan oleh Sang Nata atas atas peterana. Maka diwasiatkan oleh segala biku dan Brahman, segala ajar-ajar dan ubun-ubun. Setelah sudah makan nasi, persantapan pun dibawa oranglah. Maka Sira Panji pun santap laki isteri. Setelah sudah, lalu didukungnya isterinya masuk ke peraduan.                                         
                                                                   (Carang Kulina, Hlm 203)

       Penulis mendapati kenyataan yang dibuat oleh Harun Mat Piah bertepatan sama sekali dengan petikan diatas. Dimana watak Raden Inu dan Raden Galuh menemui kebahagiaan akhirnya. Sebelum bahagia hero dan heroin menghadapi pelbagai rintingan dalam perjalanan hidup mereka. Pada akhirnya rahsia penyamaran yang dilakukan oleh mereka terbongkar dengan masing-masing menceritakan hal yang sebenarnya berlaku.
Pertemuan akhir merupakan babak yang menyatakan peleraian cerita iaitu watak  hero dan heroin menemui jalan penyelesaian yang baik kerana diakhiri dengan babak bahagia sampai akhirnya. Namun begitu dalam pemerhatian, penulis mendapati terdapat unsur erotis dengan kedua-dua watak Raden Inu dan Raden Galuh melakukan aksi ghairah di kamar tidur. Unsur ghairah pada pandangan penulis adalah merupakan bentuk yang mengambarkan mereka berdua itu sedang bahagia.
 Kesimpulan
Secara keseluruhannya berdasarkan cirri-ciri umun cerita panji berdasarkan pandangan Harun Mat Piah penulis merasakan Hikayat Carang Kulina (HCK) merupakan sebuah karya sastera Panji kerana banyak ciri-ciri umum yang dinyatakan terdapat di dalamnya. Plot-plot yang yang terdapat dalam HCK dimulakan dengan asal-usul raja-raja Jawa, diikuti pengembaraan watak utama, peperangan dan akhir sekali pertemuan semula diakhiri dengan kebahagian selama-lamanya.
Daripada analisis ini, dapat dilihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh watak-watak dewa, pengikut, dan raja-raja. penulis akui bahawa bukan semua ciri yang dinyatakan oleh Harun Mat Piah terdapat dalam sesebuah cerita Panji. Namun demikian, tidak dinafikan bahawa sebagian besar daripadanya menjadi asas kepada cerita Panji ini. Sebenarnya kajian yang dibuat oleh Harun Mat Piah ini sebenarnya member sumbangan besar kepada masyarakat untuk memahami secara mendalam cerita-cerita Panji yang terdapat pada masa kini.
Jelas kepada kita bahawa HCK merupakan sebuah cerita panji yang dipengaruhi daripada cerita Jawa yang telah disesuaikan dengan masyarakat Melayu terdahulu. Cerita Panji merupakan kisah cerita golongan Istana dan tidak terdapat kisah yang menceritakan tentang rakyat biasa. Jika ada sekalipun ia bukanlah menyeluruh seperti golongan Istana. Namun demikian berdasarkan pemerhatian cerita ini juga banyak memaparkan nilai-nilai murni iaitu ketaatan, keadilan, keberanian dan penyesalan pelaku di atas perbuatannya.



No comments:

Post a Comment