kawan

Saturday 19 February 2011

Semangat cintakan negara vs semangat cintakan bangsa

Penulis Tamu Oleh DR. HASSAN AHMAD
SALAH satu masalah politik atau sosiopolitik yang sering dihadapi oleh negara pelbagai bangsa ialah soal bagaimana hendak menyeimbangkan semangat atau kesedaran `cinta', `taat' atau `terpaut' kepada identiti bangsa atau kumpulan etnik masing-masing dengan semangat cinta dan taat kepada negara.
Kita menggunakan perkataan `menyeimbangkan' kerana kesedaran terhadap bangsa sukar dihapuskan melalui apa jua formula yang bersifat `rasional' (yakni yang tidak mengambil kira subjektiviti, atau perasaan dan emosi bangsa) dalam usaha untuk membina semangat cinta terhadap negara.
Bangsa dan negara adalah dua entiti atau konsep yang berlainan. Bangsa ialah entiti atau kesatuan sosiobudaya manakala negara, atau dalam bahasa Inggerisnya disebut state, adalah kesatuan geografi-politik.
Identiti sesuatu bangsa dibentuk atau dikenali berdasarkan persamaan budaya, bahasa, asal usul sejarah dan mungkin juga agama yang dimiliki atau diwarisi bersama oleh anggota kumpulan bangsa itu sejak turun-temurun, sejak zaman nenek moyang yang asal, tidak kiralah sama ada `nenek moyang yang asal' itu wujud dalam sejarah atau hanya diciptakan melalui mitos dan imaginasi bersama.
Konsep atau kesatuan geografi-politik yang disebut negara itu terbentuk melalui peraturan, institusi dan sistem tertentu yang merentas ciri-ciri atau identiti bangsa, misalnya, ada kawasan geografi tertentu yang dapat diiktiraf oleh negara atau bangsa-bangsa lain sebagai kawasan politik negara atau kawasan pemerintahannya, ada sistem undang-undangnya sendiri, ada kerajaannya sendiri, ada bendera sendiri, ada lagu kebangsaan sendiri, ada raja atau presiden atau perdana menterinya sendiri, ada perlembagaannya sendiri (sama ada yang bertulis atau yang tidak bertulis), dan sebagainya.
Ciri-ciri inilah yang membentuk konsep politiko-legalistik yang disebut `kedaulatan negara' yang harus dihormati oleh masyarakat antarabangsa, dan merupakan syarat utama untuk menjadi anggota pertubuhan kerjasama antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Nama PBB sebenarnya tidak tepat: Sepatutnya namanya ialah Pertubuhan Negara-Negara Bersatu.
Ada bangsa di dunia ini yang tidak mempunyai negara. Misalnya, bangsa Scots atau Welsh, atau bangsa Catalan dan Alsace di Eropah, tidak mempunyai negara sendiri. Jadi dari segi taraf undang-undang dan politiknya bangsa Scots atau Welsh disebut warganegara British atau `Britisher', tetapi bangsanya ialah Scots atau Welsh.
Bangsa Tamil di kawasan Jafna di Sri Lanka berjuang mati-matian untuk menubuhkan negaranya sendiri yang terpisah daripada Sri Lanka. Begitu juga bangsa Chechen, atau bangsa Melayu-Islam di selatan Filipina, mereka juga berjuang untuk mewujudkan negara sendiri terpisah daripada Rusia atau Filipina.
Jadi, daripada contoh-contoh ini kita dapat memahami bagaimana kesedaran kesatuan bangsa menjadi dorongan yang cukup kuat untuk mendesak bangsa itu membentuk negara sendiri, agar terlepas daripada kuasa atau pemerintahan bangsa lain yang lebih dominan. Inilah yang kita sebut kesedaran kebangsaan atau nasionalisme, satu fenomena politik atau sosiopolitik yang sebenarnya bermula dalam sejarah bangsa-bangsa Eropah sejak pertengahan kedua abad ke-18.
Istilah atau konsep negara-bangsa - ini juga ciptaan sejarah politik kebangsaan Eropah - bererti negara yang terdiri daripada satu bangsa sahaja, atau setidak-tidaknya, yang terdiri daripada satu bangsa yang dominan. Hitler cuba melaksanakan konsep ini sepenuhnya apabila dia melancarkan proses `pembersihan etnik' untuk menjadikan Jerman sebagai sebuah negara kebangsaan yang hanya akan terdiri daripada bangsa Jerman tulen sahaja, bangsa super race, yang harus dibersihkan daripada kehadiran semua bangsa lain, terutama bangsa Yahudi, dan juga kaum-kaum gipsi. Bangsa Serb (atau Serbia) cuba melakukan proses yang sama apabila mereka melancarkan perang pembersihan etnik yang dahsyat terhadap bangsa Bosnia-Islam di bekas negara Kesatuan Yugoslavia.
Konsep negara-bangsa menurut gagasan bangsa Eropah itu tidak mungkin dapat dipertahankan lagi pada hari ini memandangkan bahawa kebanyakan negara di dunia hari ini adalah negara pelbagai bangsa atau pelbagai etnik. Maka konsep `negara-bangsa' terpaksa diberikan takrif baru, iaitu sebagai negara yang penduduknya, tidak kira bangsa, dapat menggantikan semangat cinta terhadap bangsa/kumpulan etnik masing-masing dengan semangat atau kesedaran cinta terhadap negara.
Hanya beberapa buah negara mempunyai ciri negara-bangsa menurut takrif ini. Contohnya yang baik mungkin negara-bangsa Jepun. Di Jepun, bangsa Jepun dan negara Jepun beridentikal, maksudnya, bangsa Jepun bersenyawa dengan negara Jepun. Jadi tidak timbul masalah konflik antara cinta kepada bangsa dengan cinta kepada negara. Tetapi Jepun bernasib baik kerana negara itu ialah negara homogeneous, yakni, penduduknya hampir semuanya terdiri daripada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Jepun, walaupun di Pulau Okinawa, penduduk di sana kebanyakannya merupakan kumpulan etnik yang berlainan sedikit daripada bangsa Jepun.
Malaysia ialah negara berbilang bangsa atau etnik, bahasa dan budaya. Maka masalah politik yang dihadapi oleh Malaysia ialah bagaimanakah penduduk pelbagai etnik ini dapat menghapuskan perasaan taat atau keterpautan kepada bangsa masing-masing dan menggantikannya dengan perasaan cinta terhadap negara.
Jikalau perubahan ini tidak berlaku maka konflik etnik/kaum/bangsa akan tetap wujud, sama ada secara ketara mahupun secara tersirat, dan keadaan ini boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi, sosial dan budaya negara. Seperti yang tersebut tadi, perasaan terikat dengan identiti bangsa cukup sukar dihapuskan kerana pembentukan identiti ini bersifat asliah atau `primordial', sudah tertanam dalam minda dan ingatan kolektif sesuatu bangsa itu sejak turun-temurun.
Akibatnya, dalam negara berbilang bangsa, persaingan antara bangsa dalam apa-apa bidang pun - politik, ekonomi, sosial, bahasa dan budaya - akan tetap berlaku, sama ada secara terang-terang mahupun secara tersorok, untuk mempertahankan atau memajukan kepentingan bangsa masing-masing. Inilah yang berlaku di Sri Lanka, misalnya, atau di negara-negara lain yang menghadapi masalah kepelbagaian bangsa/etnik yang sama, dan kita semua tahu bahawa persaingan antara kaum/bangsa ini sedang berlaku, malah nampaknya kian rancak lagi di Malaysia sejak mutakhir ini.
Apakah ini bererti bahawa negara tidak berjaya mewujudkan keadaan yang dapat menarik fokus penduduknya daripada taat kepada bangsa atau kumpulan etnik masing-masing kepada perasaan taat kepada negara ke tahap yang cukup `neutral' sifatnya, yakni bebas etnik, sehingga orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan, tidak akan berasa bahawa kepentingan mereka tidak lagi dapat bergantung pada `jati diri' bangsa masing-masing, tetapi pada negara.
Untuk membentuk perasaan atau kesedaran taat kepada negara inilah kita cuba menggunakan konsep patriotisme sebagai ganti kepada konsep nasionalisme, sama ada nasionalisme Melayu, nasionalisme Cina, nasionalisme India atau kesedaran etnisiti kaum-kaum lain.
Patriotisme bererti semangat cinta kepada tanah air atau taat kepada negara, melepasi perasaan taat kepada bangsa. Negara mempunyai lambang-lambang atau institusi-institusi tertentu yang boleh digunakan untuk membentuk semangat patriotisme ini, misalnya, bendera kebangsaan, lagu kebangsaan (negara), konsep raja sebagai institusi atau lambang kedaulatan negara (walaupun raja itu ialah raja Melayu), perlembagaan negara dan sistem undang-undang negara.
Alat atau institusi ini `bebas etnik' atau `bebas bangsa'. Apabila warganegara patuh kepada alat atau institusi ini, dia dianggap patuh kepada negara, tidak kepada mana-mana kumpulan etnik. Selain ini, negara juga boleh mencipta alat-alat lain yang lebih `populis' sifatnya, misalnya, mencipta `lagu-lagu' atau muzik patriotik yang mengagung-agungkan negara, tidak mana-mana bangsa, atau mencipta slogan-slogan tertentu, misalnya kata-kata seperti `Keranamu Malaysia'.
Selain itu, kerajaan juga boleh menggubal dasar-dasar negara, misalnya, dasar ekonomi, dasar pendidikan, dasar bahasa, dasar kebudayaan, yang boleh memupuk dan membentuk kesedaran `perpaduan bangsa' atau kaum sebagai asas perpaduan negara. Ada teori yang mengatakan bahawa rakyat di negara berbilang bangsa akan cinta dan taat kepada negara jikalau dasar negara itu, dalam bidang apa pun, tidak dianggap atau ditanggapi oleh mana-mana kaum sebagai dasar yang boleh menjejaskan kepentingan kaumnya, dan menguntungkan kaum lain. Dengan kata lain, dasar itu hendaklah bersifat `instrumental' atau bersifat bebas etnik. Barulah rakyat berbilang kaum akan melupakan kepentingan kaum masing-masing dan menumpukan sokongan sepenuhnya kepada dasar itu.
Tetapi, jikalau dasar itu dianggap boleh menjejaskan kepentingan kaum tertentu, atau jikalau dasar itu dianggap `tidak adil' kepada semua kaum, maka penduduk negara akan membentuk apa yang disebut `keterpautan sentimental' atau sentimental attachment terhadap identiti kaum masing-masing, dan mencari jalan, berdasarkan emosi kaum, untuk menentang dasar itu.
Misalnya, di Malaysia, orang Melayu akan menebalkan perasaan cinta terhadap bangsanya sendiri, orang Cina dan India akan menebalkan perasaan cinta terhadap kaum masing-masing. Saya kira ini berlaku di Malaysia, sejak dahulu hingga sekarang. Tetapi dalam persaingan ini, orang Cina masih dapat mempertahankan kepentingannya, misalnya berusaha mengekalkan sekolah Cina, sedangkan orang Melayu menghadapi masalah, tidak tahu lagi, kepentingan Melayu yang manakah yang mesti dipertahankan, kerana segala kepentingan mereka, termasuk bahasa Melayu, sudah dijadikan `alat kebangsaan.'
Hal yang patut disedari ialah cinta atau taat kepada negara tidak sama dengan taat atau cinta kepada pemimpin. Di negara yang mengamalkan ideologi monolitik, seperti yang berlaku di negara komunis atau di negara yang dikuasai oleh diktator, slogan-slogan `patriotik' lebih merupakan ideologi atau propaganda untuk menjajah atau menguasai fikiran atau minda rakyat, atau untuk memuja-muja pemimpin yang ditakuti kerana kuasanya yang mutlak. Jadi, dalam sistem seperti itu, taat kepada negara disamakan dengan taat kepada pemimpin.
Ini bukan patriotisme namanya kerana taat atau cinta kepada negara hanya bererti taat/cinta kepada negara atau tanah air, bukan kepada pemimpin kerana pemimpin, sebagaimana kita tahu, tidak akan kekal - mereka datang dan pergi, tetapi negara tetap wujud.
Bagi kebanyakan orang Melayu pula, taat kepada negara atau kepada tanah airnya iaitu Malaysia (sebelum itu Tanah Melayu) tidak timbul. Di mana lagi tempat untuk mereka mencurahkan taat setia selain negara ini? Di sinilah nenek moyang mereka, sejak asal sejarah mereka, hidup dan mencari rezeki lama sebelum British dan orang asing datang untuk menumpang mencari rezeki mereka di sini. Tidak ada negara lain yang dapat mereka gunakan untuk menghantar lebihan wang dan kekayaan yang mereka peroleh di negara ini ke negara lain.
Jadi, program patriotisme ini janganlah ditumpukan kepada bangsa Melayu semata-mata. Kita boleh bertanya, apakah para tauke yang kaya-raya menghayati program patriotisme kita? Apakah para anggota dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan NGO seperti Dong Zong atau Dong Jiao Zong dan yang lain-lain (termasuk NGO Melayu) dapat berfikir dan bertindak dalam kerangka visi patriotisme itu, tidak sebagai pejuang kepentingan bangsa, kaum atau kepentingan masing-masing?
Sanggupkah orang Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini melupakan identiti bangsa masing-masing untuk menjadi satu `bangsa Malaysia' yang bersatu berdasarkan semangat patriotisme, seperti yang dijelaskan tadi, tidak berdasarkan `nasionalisme' atau kepentingan kaum? Apakah jawapannya?
- DATUK Dr. HASSAN AHMAD ialah Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel hasmad@tm.net.my.

No comments:

Post a Comment