kawan

Sunday 27 February 2011

sepak takraw

Pendahuluan


Permainan ini dahulunya dikenali sebagai sepak raga dan mula dikenali semasa sejarah Kesultanan Melayu Melaka., selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga mengemari permainan ini. Dalam buku sejarah Melayu (bab 18) ada menyebut mengenai permainan ini iaitu Tun Besar telah mati dibunuh oleh Raja Muhammad anak kepada sultan Mansor syah, kerana bola raga sepakan Tun Besar terkena destar Raja Muhamad sehingga  terjatuh ke tanah. permainan sepak raga ini dianggap sebagai permainan tradisional atau permainan rakyat bangsa Melayu. Pada pemulaan dimainkan di kawasan lapang   oleh anak-anak pembesar istana. Sepak raga kemudiannya berkembang dan dimainkan oleh semua peringkat masyarakat Melayu.
Permainan ini dimainkan secara berkumpulan dalam bentuk bulatan dan memerlukan kemahiran mengawal dan menimang bola. Pada peringkat awal permainan ini, bola sepak raga dibuat daripada rotan yang mudah diperoleh daripada kawasan hutan di negara kita. Walau bagaimanapun, setelah melalui proses perkembangan teknologi, kini sudah ada bola sepak raga yang diperbuat daripada plastik. Menjelang tahun 1962, sepak raga mula dimainkan di dalam gelanggang dengan menggunakan jaring. Bilangan pemain bagi setiap pasukan pula dihadkan kepada tiga orang, iaitu bagi setiap regu. Kini permainan sepak takraw dimainkan di seluruh pelosok negara di Asia Tenggara dan telah dipersetujui dipertandingkan di peringkat Sukan SEA pada tahun 1965. Nama permainan sepak raga pula telah ditukar dan digantikan dengan nama sepak takraw supaya lebih diterima diperingkat antarabangsa. Di Malaysia permainan ini disebut 'sepak raga', di Filipina 'sipa', di Burma 'chinlone', di Laos 'kator', dan di Thailand 'takraw'.


Perkembangan semasa
Pada dasarnya sukan sepak raga telah mengalami perubahan dari segi permainan bulatan ke permainan berjaring. Versi baru ini dimainkan oleh enam orang permain dengan tiga orang sepasukan. Pada peringkat awal tiada peraturan khusus dan hanya undang-undang mulut diperkenalkan.
 Peraturan awal dicetuskan oleh beberapa orang penduduk pulau pinang dan telah berusaha menubuhkan sebuah badan di peringkat negeri dan persekutuan. Pelapor utama sukan ini telah membuat persembahan  di pulau pinang. Dari situlah merebaknya sukan ini, pertandingan sepak raga jaring pertama diadakan seluruh pasukan pulau pinang untuk merebut piala Tuan S.M Idid dan sebanyak 36 regu pasukan meyertainya. Setelah mendapat  sambutan mengalakkan sepak raga jaring diperkenalkan di negeri-negeri lain. Perlawanan pertama di antara negeri diadakan pada November 1946 di antara pulau pinang dan Kedah.
                          
Kenapa Sepak Takraw popular?
Sesuatu menjadi popular sudah semestinya ada penyebabnya.  Sesuatu menjadi popular kerana terdapat faktor-faktor yang menjadi penarik kepada masyarakat untuk meminati dan menjadi penyokong sesuatu budaya.  Sepak Takraw mempunyai faktor-faktor tersendiri hingga sukan ini mampu diangkat menjadi budaya popular dan dapat dikormesialkan menjadi suatu bentuk perdagangan yang disebut ‘Industri Budaya’. 

   Pertama sekali kita lihat dari segi nilai wang atau ganjaran yang ditawarkan dalam sukan sepak takraw.  Nilai wang merupakan salah satu aspek yang menentukan populariti sukan sepak takraw.  Aspek ini lebih menjurus kepada penglibatan individu secara aktif dalam sukan ini iaitu menjadi seorang atlit sepak takraw.   Penglibatan golongan atlit atau peserta yang menyertai sukan sepak takraw kian bertambah atas dasar memenangi wang yang dipertandingkan dan pada masa yang sama untuk mengharumkan nama diri, keluarga dan Negara di peringkat nasional dan antarabangsa.  Penyertaan dan penganjuran sukan sepak takraw juga merupakan  salah satu cabang dalam industri budaya.  
Kedua, populariti sepak takraw meningkat atas dasar seni permainan itu sendiri.  Hal ini kerana, terdapat pelbagai jenis gaya pukulan atau libasan yang telah  diperkenalkan misalnya libasan gulung, libasan maut, libasan gunting, tekong kuda dan sebagainya.  Kemahiran yang terdapat dalam kalangan pemain sepak takraw inilah yang menarik perhatian golongan masyarakat untuk menjadi peminat kepada sukan sepak takraw ini.  Situasi atau kemahiran yang terdapat pada pemain  melahirkan rasa kagum kepada peminat bagaimana pemain sepak takraw mampu melakukan aksi sedemikian yang tidak boleh dilakukan oleh semua orang.




industri budaya dan teknologi budaya dalam sepak takraw
Add caption
Industri budaya dan teknologi budaya adalah dua perkara yang berkait rapat.  Teknologi budaya memperlihatkan bagaimana bidang teknologi diaplikasikan dalam unsur budaya untuk menghasilkan sesuatu menjadi industri budaya. Dalam Sepak Takraw misalnya, pada zaman dahulu masyarakat Melayu menghasilkan peralatan bermain secara manual seperti menganyam rotan untuk menghasilkan bola dan memintal tali-tali untuk dijadikan jarring. Semua itu merupakan suatu bentuk budaya dalam masyarakat dahulu Sekarang perkembangan teknologi mengambil alih semua ini.  Peralatan Sepak Takraw dihasilkan dengan mesin yang memudahkan pekerjaan disamping menghasilkan peralatan permaianan yang baru dan lebih efektif.  Sebagai contoh, penghasilan bola takraw daripada bahan sintetik yang kurang mendatangkan kecederaan berbanding bola yang lama yang diperbuat daripada rotan dan inilah yang dikenali sebagai teknologi dalam budaya.  Selain itu pelbagai bentuk kemudahan telah disediakan kepada peserta dan peminat untuk keselesaan misalnya stadium dan gelanggang yang lebih moden dan teratur.  
Teknologi budaya juga memainkan peranan penting kepada wujudnya industri budaya. Apabila ada teknologi sudah semestinya ada organisasi atau syarikat yang menguruskan peralatan teknologi yang digunakan dan pada masa yang sama menghasilkan peralatan sepak takraw. Ini semestinya memerlukan tenaga kerja yang banyak sekaligus memberi peluang perkerjaan kepada masyarakat. Melalui kejohanan-kejohanan yang dianjurkan dalam negara banyak peserta dari luar datang dan ini menyumbang kepada ekonomi negara melalui prospek penganjuran sukan seperti sepak takraw.

Masa depan sukan sepak takraw
Pada masa ini terdapat pelbagai kejohanan antarabangsa yang menyelitkan sepak takraw sebagai sukan utama misalnya Sukan Komanwel, Sukan Sea, Sukan Asia, Piala Emas Raja Thai dan lain-lain.  Ini menunjukkan bahawa sepak takraw mula mendapat perhatian diperingkat antarabangsa misalnya penyertaan dari negara-negara seperti Jepun, Korea, Australia dan lain-lain yang dahulunya tidak tahu mengenai sukan ini.  Penyertaan dari golongan wanita dalam sukan sepak takraw juga dapat dilihat dalam kejohanan besar seperti Sukan Sea dan Sukan Asia.  Ini menjadi petanda bahawa populariti sukan ini juga terarah kepada kaum wanita dan tidak lagi dimainkan oleh kaum lelaki sahaja.

Kesimpulan


Sepak Takraw pada asasnya adalah suatu budaya tetapi telah diangkat nilainya menjadi industri budaya Mampu mendatangkan pulangan dari sudut ekonomi kepada pemain dan negara serta masyarakat Malaysia khususnya perlu mengambil inisiatif bagaimana mengatasi Thailand selaku kuasa besar dalam sepak takraw.  Dalam hal ini juga dapat disimpulkan bahawa hubungan antara budaya tradisi industri budaya dan teknologi budaya merupakan suatu bentuk agen perubahan yang mempopularkan sesuatu budaya menjadi suatu bentuk budaya baru yang lebih popular.   Misalnya sepak takraw tidak lagi menjadi alat hiburan masyarakat semata-mata sebaliknya menjadi pemangkin kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara dari aspek ekonomi. 

1 comment: