kawan

Wednesday 9 March 2011

Dari hati Mahathir


Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my
2011/03/09

pix_gal0
‘Tun Razak mentor saya’

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Allahyarham Tun Razak Hussein sebagai seorang mentor dan pelindungnya serta banyak belajar daripada Perdana Menteri Kedua itu.
Dr Mahathir berkata, Razak adalah seorang pemimpin ikhlas yang benar-benar mahu melakukan sesuatu untuk negara dan orang Melayu.
“Kecenderungan beliau yang sering menyebelahi saya ketika itu amat ketara sehingga mengundang rasa cemburu dalam parti. Ada juga cakap-cakap saya menjadi budak kesayangannya, namun saya sendiri tidak begitu biasa dengannya ketika itu.

“Kami tidak pernah bersosial, tetapi dalam semua hal politik, saya amat bergantung kepada keputusan dan sokongan beliau,” kata Dr Mahathir dalam bukunya. Dr Mahathir berkata, Tun Razak yang mencadangkan beliau bertanding sebagai Ahli Parlimen Kota Star Selatan pada 1964 dan turut menyenaraikan sebagai ahli dalam Jawatankuasa Politik UMNO.

“Sebagai ahli jawatankuasa itu, saya sering ke rumah Tun Razak dan mengadakan perbincangan mendalam dan itulah permulaan hubungan akrab kami.

“Keyakinannya terhadap saya meningkat selepas saya membantu menyelesaikan demonstrasi pelajar ketika menjadi Menteri Pelajaran. Ketika itu, saya hanya mahu beliau menganggap saya sebagai seorang yang boleh diharapkan dan sedia bertindak,” katanya. 
Dr Mahathir berkata, satu hari pada 1975 di bangunan Parlimen, Tun Razak mengajak ke tepi dan memaklumkan beliau sedang menghidap penyakit berkaitan darah dan akan berlepas ke London untuk rawatan.

“Sebaik kami menghantar beliau ke London dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah), saya menghubungi doktor peribadi Tun Razak dan selepas itu baru saya tahu beliau menghidap leukemia dan sudah mencapai tahap kritikal. Saya tahu, beliau tidak akan pulih kerana tidak ada rawatan berkesan untuk kanser,” katanya.

Tun Razak menghembuskan nafas terakhir di London pada 14 Januari 1976 ketika berusia 54 tahun.

Dr Mahathir yang mendapat tahu pemergian Tun Razak sebaik kembali dari Indonesia bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyifatkan kehilangan beliau sebagai tragedi buat dirinya.

 

Dr Mahathir beri alasan pecat Anwar dalam buku
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my
2011/03/09

Bekas Perdana Menteri nafi bimbang kena cabar timbalan 

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 atas dua sebab iaitu tidak sesuai untuk meneruskan khidmat dalam kerajaan dan menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Dalam buku pengkisahan sepanjang memimpin negara bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau menafikan memecat Anwar kerana bimbang akan dicabar.
“Adalah tidak berasas sama sekali (pecat kerana akan dicabar) dan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri kerana perbuatannya sendiri. 

Dr Mahathir mendakwa beliau pertama kali dimaklumkan mengenai salah laku moral Anwar oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, empat tahun sebelum buku 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri dihantar kepadanya. 

Namun, beliau tidak membacanya kerana yakin ketika itu ia hanya bahan sensasi bertujuan mengaut keuntungan. 

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pada 1997, beliau mula mengesyaki salah laku Anwar apabila menerima surat yang menceritakan secara terperinci mengenai perkara itu daripada Ummi Hafilda Ali, iaitu adik kepada setiausaha politik Anwar, Azmin, dan sebulan selepas itu menghantar satu lagi surat menafikannya. 
Anwar dijatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan rasuah pada 1999 dan sembilan tahun bagi kes liwat pada 2000. Bagaimanapun beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan daripada tuduhan liwat pada 2004. 

Dr Mahathir turut menolak dakwaan bahawa UMNO yang mempelawa Anwar menyertai parti itu kerana Anwar sendiri yang pada ketika itu menjawat jawatan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu menyertai UMNO, iaitu tidak lama selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981. 

“Bila saya bertanya mengapa beliau mahu menjadi sebahagian daripada UMNO, Anwar berkata beliau mahu menyumbang kepada perjuangan parti. 

“Beliau memberitahu mereka (kepemimpinan ABIM), beliau mahu merubah pandangan UMNO kepada ABIM dan mempengaruhi kerajaan daripada dalam dan berkata, agendanya adalah untuk merubah kerajaan kepada kerajaan Islam dan menyertai parti (UMNO) adalah cara paling berkesan,” katanya. 

Ketua pembangkang tuduh Dr M pendusta


2011/03/09

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kandungan buku Tun Dr Mahathir, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh dirinya dan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai pendusta. 

Dalam emel yang dihantar kepada portal berita, Malaysia Insider, semalam, Anwar yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 mendakwa Dr Mahathir mengalami hilang ingatan (amnesia) yang selektif.
“Dr Mahathir pembohong besar, (dengan) amnesia yang selektif,” kata Anwar bagi menjawab perkara yang ditulis Mahathir dalam buku berkenaan.
Anwar berkata, dakwaan Dr Mahathir beliau dibekalkan dengan empat wanita untuk mengadakan hubungan seks pada 1998 bukan sesuatu yang baru dan secara konsisten sudah menjawab isu itu sebelum dipecat. 

“Saya telah menafikan dakwaan ini secara terbuka sejak 1997. Rujukan beliau kepada empat wanita, saya nafikan,” katanya. 

Anwar berkata, beliau tidak mengulas dakwaan berhubung aktiviti homoseksual kerana dari segi konteks yang sebenar beliau sudah pun menafikan dakwaan berkaitan hubungan seks membabitkan empat wanita. 

“Dalam konteks berkenaan, saya tidak menyebut mengenai (dakwaan) liwat,” katanya. 
Anwar berkata, keputusan Dr Mahathir untuk memecatnya bukan disebabkan isu moral, tetapi berhubung keputusannya supaya Price Waterhouse Coopers menyiasat penyelewengan kewangan Perwaja membabitkan Tan Sri Eric Chia. 
Sementara itu, isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, mendakwa Dr Mahathir sengaja melemparkan tuduhan liar terhadap Anwar untuk melariskan bukunya. 

“Percayalah, jika Anwar dibelit dengan isu moral, tidak mungkin Dr Mahathir menyimpan beliau selama 18 tahun dalam barisan penyokong politiknya. ‘Berita’ dan ‘bukti’ keterlanjuran Anwar, jika benar, sudah tentu sampai lebih awal kepada Dr Mahathir untuk diambil tindakan,” kata beliau dalam laman blognya. http://wanazizahblog.com. 

Dr M bukti diri bukan diktator dalam buku


2011/03/09

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengharapkan buku A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditulisnya sejak lapan tahun lalu dapat membuktikan kepada orang ramai yang beliau bukan diktator seperti digambarkan pengkritiknya. 

Menyifatkan buku pengkisahan hidup ketika memimpin negara itu adalah pandangan beliau mengenai Malaysia dan dirinya, bekas Perdana Menteri berkata, selama 22 tahun menerajui negara, pelbagai kritikan dilemparkan termasuk melabelkannya sebagai pemerintah kuku besi.
“Melalui memoir ini saya cuba buktikan yang saya bukan diktator, tetapi sudah tentu ia tidak boleh meyakinkan semua pihak,” katanya pada majlis pelancaran buku itu, di Midvalley Megamall, di sini semalam.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab terbuka dengan wakil media dan orang ramai yang menyaksikan Dr Mahathir menjawab soalan dalam gaya yang bersahaja tetapi sinis. 

Kepada soalan mengenai pemilihan tajuk, Dr Mahathir berkata beliau terfikir untuk menggunakan tajuk seperti Mahathir the Napolean atau Mahathir the Great sebelum memilih tajuknya. 

“Saya patut digambarkan sebagai doktor kerana itu adalah saya,” katanya menyifatkan mentadbir sebuah negara juga ibarat doktor yang menjaga pesakitnya. 

Mahathir berkata, buku itu itu mengambil masa lama disiapkan kerana tidak mahu ia menjadi sebuah memoir yang hanya tertumpu kepada dirinya sehingga menyebabkan pembaca bosan selain faktor dirinya yang tidak menaip tetapi menulis tangan sehingga menyebabkan proses menyiapkan draf mengambil masa. 
Beliau juga menyifatkan penulisan memoir itu seperti menyiapkan versi baru buku kontroversi Malay Dilema yang ditulis pada tahun 1970. 

Menjawab soalan seorang peminatnya dari India mengenai mesej penulisan kepada dunia, beliau berkata ‘orang biasa’ sepertinya mampu melakukan apa saja dengan syarat tidak berputus asa dan terus bangun walaupun terjatuh. 

Beliau yang turut menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘individu yang penuh cabaran’ yang sanggup mencabar sesiapa saja bagi memastikannya dapat menawan Putrajaya. 


petikan





No comments:

Post a Comment