kawan

Sunday 20 March 2011

kuasa wanita

TANGAN yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Demikian pepatah keramat yang mengiktiraf kemampuan kaum Hawa. Ia bukan sekadar pepatah tetapi wanita kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Adam. Malah keupayaan golongan wanita dalam menguruskan sesuatu perkara lebih baik berbanding lelaki. Bukan mahu memprovokasi kaum lelaki dalam hal ini tetapi kaum Hawa yang dulunya dikatakan hanya layak berada di dapur dan mengasuh anak, kini berada di barisan depan bersama kaum Adam dalam membuat keputusan penting untuk kepentingan dan keharmonian negara.
Sejajar dengan hasrat tersebut, Kedutaan Amerika Syarikat dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) bersama meraikan sambutan ulang tahun ke-100 Hari Wanita Sedunia 8 Mac lalu dengan membawa tema Get Equality Right for Malaysian Women yang memfokus kepada penglibatan golongan wanita dalam bidang politik.Turut hadir pada majlis tersebut Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Paul W. Jones Sehubungan itu, Empower mendapat geran daripada Pejabat Setiausaha Wanita Global Amerika Syarikat bagi melaksanakan program perintis Menjana Kuasa Wanita bagi membantu Malaysia mencapai matlamat 30 peratus perwakilan wanita di peringkat membuat keputusan.
Selama 100 tahun, wanita berusaha untuk memperjuangkan hak demokratik dan membawa wanita pada tahap kini. “Empower menggesa kerajaan bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita dalam politik di Malaysia. “Kini lebih ramai wanita yang berpendidikan dan membentuk 47.1 peratus tenaga buruh di Malaysia. Sasaran 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan masih belum tercapai mungkin kerana mereka tidak diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan yang ada,” kata Pengarah Eksekutif Empower, Maria Chin Abdullah pada Sambutan Hari Wanita Sedunia kali ke-100 di Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) di Menara Yayasan Tun Razak. Berdasarkan statistik oleh Kesatuan Antara Parlimen (IPU) pada Jun 2008, wanita hanya menyandang 18 peratus daripada kerusi Parlimen di seluruh dunia.
Wanita dalam Parlimen
Bekas Penasihat dan ahli jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Shanthi Dairiam memberitahu, penglibatan wanita dalam Parlimen sudah ramai di negara-negara lain di dunia baik menjawat jawatan sebagai menteri kabinet, majlis tempatan, badan kehakiman dan beberapa bidang pembuat keputusan yang lain.
Menurutnya, jumlah peratus menteri wanita di beberapa negara di Eropah telah meningkat. Di Sepanyol dan Norway, wanita mewakili 50 peratus di kabinet. Di Perancis pula tujuh daripada 16 ahli kabinetnya adalah wanita dan di Denmark, menteri wanita merangkumi 46 peratus di kabinet. “Penglibatan wanita sebagai wakil Parlimen di Malaysia berada di tangga 102 di dunia dengan 9.9 peratus dan tangga kelapan (terakhir) di Asia Tenggara. Malaysia ketinggalan jauh berbanding negara-negara jiran yang lain.
“Apabila 30 peratus wanita berada di peringkat pembuat keputusan, banyak impak akan berlaku. Saya percaya bahawa wanita akan lebih efektif dalam membuat keputusan jika isu-isu tersebut berkaitan dengan isu-isu wanita. Berikanlah golongan wanita peluang dalam masa yang sama hulurkanlah bimbingan dan sokongan kepada mereka,” ujarnya. Sungguhpun begitu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman tidak melihat kuantiti pemimpin wanita sebagai kekangan dalam menangani sesuatu isu.
“Walaupun seperti yang dinyatakan bahawa kita berada di tangga 102, pencapaian kita lebih baik daripada mereka yang mempunyai bilangan Ahli Parlimen mahupun menteri wanita yang ramai. “Wanita yang mahu melibatkan diri dalam politik perlu kuat untuk menghadapi dunia politik yang didominasi oleh lelaki. Ia bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menggesa wanita-wanita Malaysia tampil ke depan bagi memenuhi sasaran 30 peratus yang diberikan oleh kerajaan. “Keluar dari zon selesa dan tonjolkan apa yang anda dapat disumbangkan kepada negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment